Siri Herba Malaysia – Kunyit

Kunyit

Famili : Zingiberaceae (temu-temuan)
Genus : Curcuma
Spesies : Curcuma domestica Val

PENGENALAN

Kunyit (curcuma) adalah sejenis tanaman herba yang tumbuh meliar di semak sekitar kawasan beriklim Tropika. Ia berasal dari Binar, India tumbuh pada ketinggian 1300 – 1600 meter dan kemudian tanaman ini disebarkan ke Malaysia, Indonesia, Australia malah ke Afrika. Kunyit mempunyai banyak nama seperti Kha Min (Thailand), Manjal (India), Haldi (Hindi), Kurkum (Arab), Kunyir, Janar (Indonesia) Turmeric, Indian Saffron , Yellow Ginger (Inggeris). India merupakan negara pengeluar dan pengeksport utama kunyit dan dijadikan sebagai tanaman komersial.

Kunyit merupakan bahan penting dalam masakan iaitu sebagai rempah bagi menyedapkan dan memberi warna kepada sesuatu masakan..Di India, industri tekstil menjadikan ekstrak kunyit sebagai bahan pewarna pakaian manakala rakyat Indonesia merebus kunyit untuk dijadikan jamu untuk tujuan kecantikan dan untuk kesihatan ibu selepas bersalin. Selain itu, kunyit digunakan sebagai ubat-ubatan bagi merawat pelbagai jenis penyakit termasuk kanser dan alzheimer. Ia juga boleh dijadikan ulam dan daun kunyit itu boleh dicampur di dalam rendang bagi menyerlahkan bau masakan.

Terdapat 4 jenis variasi kunyit yang hidup subur di kawasan beriklim iaitu kunyit kuning, kunyit hitam, kunyit putih dan kunyit merah. Setiap jenis kunyit ini mempunyai tempoh matang yang berbeza beza di antara 190 hari hingga 285 hari (Mardi, 2005).

Kunyit2MORFOLOGI KUNYIT

Kunyit terbahagi kepada 2 bahagian iaitu daun dan isi kunyit. Daun kunyit berwarna hijau,, licin, berbentuk elips dan bujur meruncing. Ia mempunyai ketinggian diantara 40 cm hingga 100 cm dan biasanya mempunyai 6 hingga 10 daun pada satu tempoh matang (semusim).Ia juga mempunyai tangkai yang panjang dan bunga kunyit yang berwarna kuning akan tumbuh di celah-celah daun.

Rizom atau dikenali sebagai rizom ialah bahagian yang tertanam di dalam tanah. Ia berbentuk memanjang dan berjejari berwarna coklat muda dab bersisik. Isi kunyit ini biasanya berwarna kuning bergantung kepada variasi.

KAEDAH PENANAMAN

Kunyit sesuai di tanam di tanah lom, alluvium (telah di gembur) serta mempunyai pengairan dan saliran yang baik. Ia juga memerlukan cahaya matahari untuk tumbuh subur dan PH tanah di antara 4.3 hingga 7.4. Taburan hujan di antara 1000 hingga 2000 mm setahun adalah faktor pengalak untuk menghasilkan pengeluaran kunyit yang sihat.

Kunyit di tanam dari cebisan rizom yang telah matang yang berukuran 4 cm. Rizom yang terpilih perlu cukup tua, sihat dan mempunyai 2 hingga 3 tunas. Bagi memastikan hanya rizom yang terbaik dipilih, ia perlulah direndam di dalam larutan racun kulat (benomyl atau 1% larutan Bordeaux) selama 15 hingga 30 minit dan kemudian dikeringkan.

Di tapak penanaman, pengusaha perlu membuat batas yang berukuran 1 hingga 2 meter lebar dan tinggi 20 cm. Jarak antara batas ke batas yang lain ialah 45 hingga 60 meter. Rizom yang telah dikeringkan perlulah di tanam di dalam tanah sedalam 6 hingga 8 cm dan jarak antara 1 pokok kunyit ialah 25 m.

Kunyit akan mula bercambah pada minggu kedua hingga minggu ke empat selepas penanaman. Daun kunyit yang berwarna hijau akan tumbuh dan mengeluarkan aroma yang wangi. Bunga dan rizom akan mula tumbuh pada minggu ke lima dan ke tujuh akhirnya ia aktif membentuk kunyit selama 7 hingga 10 bulan bergantung kepada variasi kunyit.

Kunyit memerlukan baja organik (tahi ayam) pada 3 hingga 5 hari sebelum penanaman. Baja sebanyak 4 -5 t/ha perlulah digaul dalam tanah di batas. Selain itu, baja NPK Biru juga perlu di tabur di sekeliling pangkal rumput kunyit. Selepas pembajaan, pangkal kunyit perlulah ditimbun tanah bagi mengurangkan hakisan baja dan mengelakkan rizom yang bercambah muncul dipermukaan tanah. Pengurusan ladang perlu dilakukan dengan sistematik bagi mengurangkan persaingan tumbuhan dengan rumpai. Selepas 9 – 10 bulan di tanam, kunyit boleh dituai dengan menggali menggunakan cangkul.

SERANGGA DAN PENYAKIT

Antara serangga yang sering di dapati di tanaman kunyit adalah ulat pengorek batang (Dichrosis sp) yang menyerang bahagian pangkal akar menyebabkan tunas menjadi layu dan tunas menjadi kering dan membusuk. Belalang hijau yang akan memakan bahagian pucuk daun menyebabkan pokok kelihatan tidak sihat. Racun Malathion 0.1% perlu di sembur di bahagian pokok dan bahagian yang terjejas perlu dibuang bagi mengelakkan dari berjangkit kebahagian pokok yang lain.

Bintik Daun (Colletorichum sp) dan Reput Rizom (Phytium sp) adalah 2 penyakit yang sering berlaku dihadapi oleh tanaman kunyit. Bintik daun yang menyerang daun kunyit yang tua menyebabkan daun kunyit berwarna karat di bahagian sisi atas dan bawah daun manakala reput rizom menyebabkan kulit akar mengering, mengelupas dan membusuk. Oleh itu, racun kimia Dithane M-45 atau campuran Bordeaux boleh digunakan dengan merendamkan benih rizom sebelum proses penanaman.

KEGUNAAN & KHASIAT

Kunyit mengandungi zat yang sangat berkhasiat antaranya kurkumin, minyak asitri, lemak, protein, karbohidrat, Vitamin C dan zat besi. Secara umumnya, kunyit digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit dan luka. Ia bermanfaat sebagai antiseptik, antibakteria dan antioksida bagi mencegah kerosakan dan mutasi sel disebabkan radikal bebas. Masalah penyakit kulit dan diabetes boleh dimanfaatkan dengan pengambilan kunyit dengan kadar yang bersesuaian.

Kunyit kini bukan hanya sebagai bumbu (ramuan) dalam masakan, akan tetapi ia sangat berguna dalam bidang farmasutikal dan bidang kecantikan. Kunyit telah dikomersialkan dalam bentuk serbuk, kapsul dan pil.

Kunyit3

Kunyit4

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Herba and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply