Nota Tani: Penanaman Cili secara Konvensional

Pengenalan

Cili merah, cili hijau atau cili api merupakan sayuran yang sangat sinonim dalam masakan dikalangan rakyat Malaysia. Ianya bukan sahaja sebagai sayuran, malah ia berfungsi sebagai rempah bagi menambahkan kepedasan sesuatu masakan. Kandungan capsaicin yang terdapat dihujung kulit cili yang akan memberikan rasa pedas bagi spesis cili. Jika kurang kandungan capsaicin didalam cili tersebut, maka kuranglah rasa pedas cili itu. Cili mempunyai sumber Vitamin A, C dan E serta potassium bergantung kepada warna dan varietinya.

cili1

Nama saintifik bagi cili ialah Capsicum annum yang berasal dari keluarga Solanaceae. Ianya dikatakan berasal dari Mexico, Amerika Syarikat dan telah ditanam secara meluas dan mendapat pasaran yang tinggi sebagai sayuran penambah rasa pedas. Diatas faktor geografi dan logistik telah memungkinkan penghijrahan tanaman cili dari Tanah Barat Amerika sehingga ke kawasan Asia terutama di Asia Tenggara. Pelbagai varieti yang ditanam di Malaysia terutama di kawasan tanah rendah.

Penanaman cili merupakan komoditi yang paling memberi keuntungan yang tinggi kepada pekebun akan tetapi ianya merupakan komoditi tanaman yang mempunyai risiko yang tinggi dengan serangan penyakit dan serangga. Pelbagai jenis penyelidikan dijalankan oleh pelbagai agensi bagi menghasilkan cili yang mempunyai ciri ciri yang baik seperti tahan lama disimpan, kandungan pepejal yang tinggi, pedas dan tahan serangan penyakit.

Cili boleh ditanam di atas tanah atau di dalam polibeg dimana perkembangan kemajuan pertanian telah memperkenalkan penanaman di dalam polibeg yang lebih menjimatkan serta mengurangkan kos pengurusan tanaman. Selain itu, ianya juga boleh mengurangkan risiko serangan penyakit bawaan tanah dan juga memudahkan pengairan. Tanaman cili di atas batas lebih murah berbanding menggunakan media cocopeat di dalam polibeg. Kos penggunaan polibeg akan melibatkan pembelian cocopeat, polibeg dan kos buruh. Petani disyorkan membuat kajian pertanian atau menghadiri kursus sebelum memulakan apa apa pertanian bagi mendapatkan gambaran jelas kerana tanaman cili ini mempunyai risiko yang tinggi.

Varieti cili

Berikut merupakan 8 jenis sayuran cili seperti yang telah didaftarkan di ‘National Listing’ di Jabatan Pertanian pada Julai 2013
1. Varieti KULAI SERDANG (CA1)
2. Varieti MC11 (CA2)
3. Varieti CT01P (CA3)
4. Varieti SOLOK (CA4)
5. Varieti GREEN EAGLE (CA5)
6. Varieti BARA (CA6)
7. Varieti BANGI (CA7)
8. Varieti SEMERAH (CA8)

Pembiakan Biji Benih

Secara umumnya, pekebun disyorkan untuk membuat kajian pasaran terlebih dahulu sebelum memilih jenis varieti cili yang hendak ditanam. Keadaan ini bagi mengelakkan berlakunya lambakan cili akibat tidak memenuhi kehendak pasaran.

Pekebun akan menyemai benih cili pada tray semaian. Tray semaian akan diisi dengan media percambahan seperti tanah Holand atau tanah campuran dengan kadar 2:1 (tanah hitam atau tanah bakar). Media percambahan ini mempunyai kadar nutrien yang tinggi yang akan mempercepatkan kadar pertumbuhan anak pokok cili.

1 atau 2 biji benih diletakkan di dalam lubang tray semaian dan lubang tersebut dikambus dengan tanah sebelum disiram dengan air bagi menggalakan percambahan biji benih. Tray semaian seeloknya dibungkus dengan menggunakan plastik hitam atau ditutup dengan surat khabar di bawah rumah semaian.

Penyiraman anak benih cili dilakukan setiap hari pagi dan petang selama 2 minggu menggunakan semburan halus. Dalam tempoh 7 hari, anak pokok cili akan muncul dan membesar di dalam tray semaian. Anak pokok cili akan dibiarkan tumbuh membesar sehingga minggu ke 3 atau minggu ke 4 di dalam rumah semaian sebelum diubah ke ladang untuk disemai.

Penyediaan Tapak Tanaman

Di lapangan, tanah perlulah dibajak dan digembur. Bagi tanah yang mempunyai kadar keasidan yang tinggi, pengapuran perlulah dilakukan dengan kadar yang betul kerana tanah perlulah dalam PH diantara 5.8 – 7.0. Tanah tersebut perlulah digaul bersama tahi ayam reput dengan kadar 25 kg bagi tapak tanaman yang berkeluasan 500 kaki persegi.

Batas yang disediakan berukuran 1.2 meter lebar dan 9 hingga 12 inci tinggi. Jarak antara batas adalah 1.5 kaki dan panjang batas mengikut keluasan kawasan. Batas yang disediakan perlulah mempunyai sister perparitan yang efektif kerana air yang bertakung semasa penyiraman atau selepas hujan akan mendatangkan masalah kepada tanaman. Batas juga boleh dihamparkan plastik hitam ‘silver shine’ bagi mengelakkan pertumbuhan rumpai.

Anak benih yang telah berusia 4 minggu boleh diubah ke dalam tanah yang telah dilubangkan sebanyak 10cm. Jarak antara 1 anak pokok dengan yang lain diantara 90 cm. Penyiraman secara berkala diwaktu pagi dan petang bagi menggalakan pertumbuhan anak pokok. Tunas air perlu dibuang dengan membuang daun anak pokok yang tumbuh sebelum cabang pertama pokok cili pada minggu ke 2 atau 3 selepas tanam. Tujuan pembuangan tunas air adalah untuk membuatkan pokok cili tumbuh lebih tinggi dan mempunyai bilangan buah cili yang banyak. Tunas air yang tidak dibuang akan menyerap semua kandungan baja dan air yang dibekalkan dan nutrient yang baik tidak akan sampai ke bahagian pokok cili utama.

Sokongan kayu digunakan bagi menyokong partumbuhan pokok cili. Pokok cili yang memasuki minggu ke 5 atau 6 akan mempunyai ketinggian sehingga 1.0 meter dan ianya mudah tumbang apabila ditiup angina atau semasa hujan. Pancang kayu akan diikat dibahagian batang pokok cili menggunakan tali raffia sama ada bentuk ‘H’ atau ‘X’. adalah disyorkan penggunaan kayu kayu terpakai atau apa jua besi binaan yang murah kosnya.
Kawasan ladang perlulah bersih dari sebarang rumput kerana ianya akan mengurangkan risiko serangan perosak selain memberikan suasana pemandangan yang lebih menarik berbanding kawasan ladang yang semak dan tidak terurus.

Pembajaan

Pembajaan yang teratur dan sistematik adalah faktor kejayaan pertanian dan ianya merupakan elemen terpenting bagi mengekalkan kesuburan pokok cili. Baja NPK Hijau 15:15:15 ditabur disekeliling anak pokok bermula minggu pertama pemindahan anak pokok dengan kadar 10 gram bagi setiap pokok. Baja hijau ini ditabur sehingga anak pokok mengeluarkan bunga. Bunga pokok cili akan muncul dalam tempoh minggu ke 4 atau ke 5 selepas penanaman.

Baja NPK Biru 12:12:17:2 pula akan mula ditabur selepas kemunculan bunga pokok cili. Sebanyak 10 gram baja ditabur disekeliling anak pokok dalam tempoh selang 2 minggu sekali. Taburan baja adalah tidak terlalu rapat atau terlalu jauh dari pangkal pokok dan jika baja ditabur tepat pada pangkal pokok, ianya akan menyebabkan anak pokok cili terkena simptom pokok lecuh

Kawalan Penyakit & Serangga

Tanaman cili seringkali mengalami serangan penyakit dan serangga perosak sekiranya pengurusan tanaman tidak diselengara dengan baik. Berbagai bagai jenis serangga perosak yang dikenalpasti menyerang pokok cili pada pelbagai peringkat pertumbuhan. Berikut merupakan jenis penyakit dan serangga perosak yang sering menyerang tanaman cili:

Screen Shot 2015-09-25 at 00.19.23

Hasil Tanaman

Cili akan dipetik dalam tempoh 8 minggu pertumbuhan pokok cili. Bagi kawasan 400 kaki persegi, hasil cili sihat boleh mencapai 100 hingga 200 kg dan pungutan dilakukan selang 3 atau 4 hari sekali bergantung kepada kawasan penanaman. Hasil bagi 1 pokok cili diantara 0.8 kg hingga 1.5 kg. Harga pasaran bagi cili hijau ialah RM 4.00 hingga RM 6.00 sekilogram manakala harga bagi cili merah ialah RM 5.00 hingga RM 8.00 sekilo mengikut jenis varieti cili yang ditanam.

Pembungkusan yang sesuai supaya memberi perlindungan daripada berlakunya kerosakan buah cili semasa pengendalian dan pengangkutan. Perhatian yang rapi perlulah diambil bagi mengelakan kecacatan buah dan akhirnya merencatkan pendapatan petani.

cili2

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Cili, Nota Tani and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply