Penanaman Ubi Kayu

PENGENALAN

Famili : Euphorbiaceae
Genus : Manihot
Spesies : Manihot esculenta

Ubi kayu merupakan tumbuhan tropika dan subtropika dan juga makanan tradisi dikalangan masyarakat dunia terutama di kawasan Asia dan Afrika malah kedua kedua benua ini merupakan penyumbang atau pengeluar ubi kayu di seluruh dunia . Sebanyak 76 juta tan metrik ubi kayu dikeluarkan oleh negara ASEAN terutama Thailand dan Indonesia. Pada tahun 2013, negara Thailand menghasilkan sebanyak 29.19 juta metrik ubi kayu dengan tanaman seluas 1.18 hektar tanah manakala Indonesia menghasilkan sebanyak 20 juta metric ubi kayu dengan tanaman seluas 1.05 hektar tanah.

ubi kayu 1

Di Malaysia, tanaman ubi kayu secara komersial ditanam di negeri Selangor dan Johor. Berbanding dengan negara asia lain, hasil pengeluaran ubi kayu sedikit berbanding dengan negara ASEAN lain, akan tetapi hasil produktiviti ubi kayu Malaysia agak tinggi sebanyak 27.5 tan metrik sehektar. Ubi kayu dalam bentuk makanan ringan dihasilkan dan dieksport ke negara seperti Australia, USA, India, Hong Kong dan China.

Ubi kayu merupakan makanan tradisi malah ianya salah satu bahan makanan ruji ketika Asia Tengara terutama negara Malaysia dijajah oleh pihak Jepun bagi menggantikan beras atau gandum yang telah dirampas. Ubi kayu secara tradisionalnya akan direbus atau dibakar dan dimakan bersama kelapa atau sambal belacan. Ubi kayu merupakan tanaman umbisi yang mudah untuk ditanam dan mengambil masa 9 hingga 12 bulan untuk dituai.

Nama saintifik bagi ubi kayu Manihot esculenta ialah dan tanaman ini ditanam secara komersial untuk dijadikan bahan utama bagi penghasilan tepung ubi kayu dan juga monosodium glutamat (MSG). selain itu, ubi kayu juga boleh diproses untuk menghasilkan ethanol dan kanji (industri pembuatan plastik). Kulit ubi kayu tidak boleh dimakan kerana ianya mengandungi asid hidrocianik yang membahayakan kesihatan, maka adalah tidak digalakan untuk membakar ubi kayu sebelum dimakan.
Kajian daripada Jabatan kesihatan Masyarakat UKM mendapati 75% masyarakat orang asli Pos Sinderut, Kuala Lipis menghadapi penyakit beguk akibat amalan pembakaran terus sebelum mengambil ubi kayu sebagai makanan ruji. (Jamal& Zaleha, 2008). Kandungan goitrogen yang tinggi akibat pembakaran karbon di dalam ubi kayu menyebabkan kelenjar tiriod untuk membengkak dan akhirnya menyebabkan penyakit beguk. Sebaiknya ubi kayu perlu dikupas kulitnya dan direbus sebelum dimakan.
Selain dijadikan kerepek, isi ubi kayu juga boleh dimasak sebagai juadah kuih muih seperti bingka ubi dan tapai. Daunnya sering dibuat gulai atau ulam ulaman dan juga boleh dijadikan makanan untuk ternakan seperti kambing atau lembu.
Secara tradisi, daun ubi kayu juga mempunyai pelbagai khasiat bagi merawat pelbagai jenis penyakit seperti demam, sakit kepala, ciritbirit, hilang selera makan dan luka bernanah. Daun ubi kayu akan diambil dan direndam di dalam air panas beberapa minit sebelum ditumbuk halus. Daun tersebut diletakkan dibahagian yang mengalami kesakitan seperti di kepala, perut atau ditempat yang luka. Pokok ubi kayu juga boleh dijadikan kaedah alternatif untuk mengawal pertumbuhan lalang.

MORFOLOGI POKOK UBI KAYU

Ubi kayu merupakan tumbuhan umbisi yang tertanam dan membesar didalam tanah dan keratan batang ubi kayu yang dikambus mengambil masa 2 hingga 4 bulan untuk berakar dan akhirnya menghasilkan ubi. Ianya tumbuhan yang mudah tumbuh dan tidak memerlukan penjagaan dan pengairan yang rapi. Ianya boleh tumbuh pada semua jenis tanah dan memerlukan kandungan air yang tinggi pada fasa pertama pertumbuhan akar ubi kayu.

Berikut merupakan morfologi pokok ubi kayu:

ubi kayu 2

VARIETI UBI KAYU
Di Malaysia, terdapat 5 jenis varieti ubi kayu yang ditanam untuk pengeluaran setempat. Kebiasaannya pekebun atau petani akan menanam varieti yang menjadi pilihan pengusaha kerepek, makanan ringan dan pengeluaran komersial. Berikut merupakan 5 jenis varieti ubi kayu ialah black twig, C5, ubi medan, CM 982-7 dan klon MM92.

ubi kayu 3

PENYEDIAAN & PENANAMAN

Ubi kayu boleh ditanam diatas pelbagai jenis tanah terutama tanah gambut, tanah mineral atau tanah lom berpasir. Kawasan ladang atau kebun perlu dibersihkan dan tanahnya dibajak sebanyak 2 kali dan disisir. Bagi varieti klon MM92, pembajakan tidak perlu dilalukan bagi penanaman di atas tanah gambut kerana tanah gambut mempunyai tekstur tanah yang lembut dan lembap. Akan tetapi, pembajakan perlu dilakukan semasa pengapuran (0.5 -1.0 tan) dilakukan sebanyak 3 kali setahun.

ubi kayu 4

Jarak tanaman yang disyorkan untuk tanaman ubi kayu adalah 3 kaki x 3 kali (0.9m x 0.9m) atau 2 kaki x 2 kaki (0.6m x 0.6m). Benih ubi kayu disediakan dengan mengerat atau memotong bahagian batang ubi kayu yang telah matang sepanjang 15-20cm. Tanah seluas 1 hektar memerlukan 605 batang keratan ubi kayu.

Keratan ubi kayu yang telah sedia untuk ditanam dibawa ke batas yang telah disediakan. Adalah disyorkan untuk menanam keratan ubi kayu dengan cara membaring atau cucuk 45 darjah dari paras tanah sedalam 10cm dan dikambus. Penyiraman dilakukan sebanyak 2 kali sehari.

Berikut merupakan jadual pembajaan mengikut jenis tanah:

ubi kayu 5

Kawalan rumpai dan rumput memerlukan penjagaan yang rapi dari pekebun/peladang. Ini kerana persaingan untuk mendapatkan sumber cahaya matahari, air dan makanan berlaku antara anak pokok ubi yang sedang membesar dengan rumput disekelilingnya. Kawalan boleh dilakukan dengan menyembur racun alanchor/metolanchor sebanyak 2 liter dan dicampur dengan 2 kg floumeturon. Campuran racun tersebut melewatkan percambahan benih rumput yang akan memberikan saingan kepada anak pokok ubi.
Kebiasaannya tanaman ubi kayu akan dimakan oleh binatang seperti monyet, tikus atau babi hutan. Pekebun atau peladang perlulah memagar kawasan kebun mereka dengan pagar yang sesuai atau mengambil petua seperti meletakkan rambut manusia dan menanam disekelilingi pokok ubi kayu bagi mengelakkan gangguan babi hutan. Selain itu, parit sedalam 1 meter juga boleh dikorek bagi mengelakkan dari serangan binatang yang akhirnya akan memakan dan merosakkan tanaman ubi kayu.

SERANGAN PENYAKIT

Terdapat 3 jenis penyakit yang sering menyerang pokok ubi kayu seperti bintik daun, hawar bakteria dan penyakit akar putih. Ketiga tiga penyakit ini tidak mendatangkan kecacatan atau kerosakan pada pokok ubi kayu. Pekebun atau peladang hanya perlu membuang atau membakar batang pokok ubi kayu selepas proses penuaian. Antara kawalan yang boleh diambil ialah jangan menanam ubi kayu pada tempat atau kawasan yang sama dan amalkan penggiliran tanaman dengan menanam varieti tumbuhan lain supaya pada masa yang sama kadar nutrient dalam tanah dalam dikembalikan.

PEMUNGUTAN HASIL

Ubi kayu yang telah mencapai tahap kematangan boleh dituai mengikut varieti yang ditanam. Isi ubi akan dicabut dari tanah dan dipotong dibahagian batangnya. Bahagian isi ubi kayu akan dikumpulkan dan dibawa ke rumah lepas tuian untuk proses pembersihan dan pengasingan gred. Semua proses ini dilakukan dengan penuh berhati hati bagi mengelakkan isi ubi kayu rosak dan cacat.

ubi kayu 6

Pelbagai inovasi dilakukan oleh penyelidikan bagi menjadikan ubi kayu bukan sahaja digunakan untuk dijadikan kuih muih atau kerepek, malah pemprosesan ubi kayu juga digunakan dalam penghasilan produk kecantikan, kesihatan, biodiesel dan sebagainya.
Menurut Utusan Melayu, seorang usahawantani muda yang berasal dari Johor Bharu telah mengusahakan tanaman ubi kayu sebagai tanaman kontan. Fong Yew Loong yang berusia 23 tahun menanam ubi kayu dengan mengambil masa 6 bulan sahaja untuk mendapatkan hasil kerana kebun beliau sering diganggu oleh babi hutan. Ubi kayu yang dituai oleh Yew Loong boleh dipasarkan walaupun tempoh matang sebenar ubi kayu sekitar 9 hingga 12 bulan. Ini kerana tanaman ubi kayu hidup subur jika pembajaan dilakukan dengan baik. (Utusan Melayu, 2013)

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Ubi Kayu and tagged , . Bookmark the permalink.

2 Responses to Penanaman Ubi Kayu

  1. hj Jamaludin Ali says:

    saya duduk dikampung n disana dapat ubi berbagai jenis seperti ubi pikul, ubi roti, ubi 3bulan,ubi lilin, ubi pulut, ubi pahang, ubi kedah, ubi jepun etc etc. Harap cdapat pencerahan dari pihak tuan yang mana lebih sesuai untuk dimakan secara rebusan dan yang daunnya sesuai untuk buat .

Leave a Reply