JAMBU BATU

 

Jambu Batu

Jambu Batu

Jambu batu sangat terkenal dalam kalangan masyarakat Malaysia,terdapat gerai-gerai ditepi jalan menjual jambu segar dan juga diproses untuk hasilkan jus jambu. Jambu batu atau nama saintifiknya Psidium guajava merupakan buah-buahan tropika yang datang dari famili Myrtaceae. Jambu batu dipercayai berasal dari kawasan antara Peru dan Mexico iaitu di kawasan tropika Amerika. Jambu batu tersebar ke merata kawasan tropika dan sub tropika. Di Malaysia kawasan penanaman secara komersil bermula pada pertengahan tahun 1980 di Perak. Sekarang ditanam di seluruh negeri seperti Johor,Selangor dan Pahang.

Secara umumnya Buah jambu batu (Psidium guajava) ada yang bulat, bujur, memanjang atau berbentuk seperti buah pear. Apabila masak, kulit buah jambu batu varieti komersial yang ditanam di Malaysia biasanya berwarna hijau muda. Namun, ada juga varieti yang kulitnya berwarna kuning. Isi jambu batu warnanya putih, kuning pucat, merah jambu atau jingga kesumba (salmon). Tekstur isi berjulat dari rangup hingga lembik. Apabila masak buah jambu biasanya manis dan beraroma. Terdapat banyak biji di dalam buah, tetapi ada juga varieti yang tiada biji.

Pokok jambu batu tumbuh rendang dengan cabang-cabang yang terbuka. Tingginya boleh mencapai sehingga 6-9 m. Pokok ini tidak panjang jangka hayatnya (lebih kurang 40 tahun) dan berbuah lebat selama 15-25 tahun. Pokok klon biasanya berbuah dalam masa setahun selepas ditanam. Di Malaysia pokok jambu batu berbuah sepanjang tahun .

Jambu batu sesuai dengan keadaan tropika. Ia lebih tahan terhadap kemarau dan lebih baik daripada kebanyakan buah tropika yang lain. Ia juga sesuai dengan pelbagai jenis tanah dan mampu hidup dalam tanah cetek yang kurang subur.

Jambu batu mempunyai lebih dari 15 klon yang telah didaftar oleh jabatan pertanian sejak 2005. Terdapat beberapa klon yang biasa ditanam oleh pengusaha ladang iaitu C 62 (Jantung), C61 (Betawi) dan C 63 (Subang), Kampuchea, Taiwan, Gloom Toon Klau, Gloom Sali, Thai Seedless, Bangkok Apple, MAHA 65 (GU5), Beaumont dan Burma Red.

KAEDAH PEMBIAKAN

Kaedah pembiakan jambu batu ada beberapa jenis iaitu secara biji benih, keratan tut,cantuman mata tunas dan tisu kultur/klon.

  1. Biji benih

Walaupun buah jambu batu banyak bijinya, biji ini tidak digunakan untuk pembiakan walaupun ia tahan hidup lama (beberapa bulan) dan biasanya bercambah dalam masa 2-3 minggu. Sebabnya ialah ciri-ciri pokok induk tidak dapat dikekalkan oleh biji-biji ini. Namun, biji-biji ini boleh digunakan dalam program pembiakan dan pemilihan atau untuk menghasilkan pokok penanti untuk cantuman bagi kultivar terpilih.

Biasanya, biji yang matang sepenuhnya dalam musim semasa digunakan untuk penyemaian. Biji ini disemai di nurseri atau dalam beg polietilena. Biji disemai dalam medium pertumbuhan yang bersaliran baik. Lebih 90% biji benih akan bercambah dalam masa 15-20 hari. Anak benih dari dalam nurseri atau beg polietilena dipindahkan ke ladang apabila berumur 6-8 minggu. Pokok daripada biji benih mengeluarkan buah yang pelbagai saiz dan kuantiti, tetapi pokok sedemikian tahan hidup lama.

Walaupun tidak mudah mencantum pokok jambu batu, pembiakan tampang diamalkan dengan meluas bagi memastikan bahawa pokok yang tumbuh menepati jenisnya dan berbuah awal. Beberapa teknik didapati sesuai untuk cantuman jambu batu dan disenaraikan seperti berikut.

  1. Cantuman mata tunas

Anak benih yang dibesarkan di nurseri mungkin dibiakkan secara cantuman mata tunas atau cantuman sisi apabila lilitan batang mencapai ukuran 12-20 mm, batang yang lebih besar diameternya lebih sesuai untuk cantuman mata tunas. Cantuman mata tunas lebih digemari berbanding dengan teknik cantuman yang lain kerana tunas ini tumbuh dengan pantas dan setiap tunas pada sion atau kayu mata tunas ialah pokok yang berpotensi. Untuk cantuman, kaedah cantuman sisi paling kerap digunakan. Kayu sion atau kayu mata tunas disediakan lebih kurang 10-14 hari sebelum dipotong, dengan membuang daun dari batang. Amalan ini menggalakkan mata tunas aksil membesar dan mempercepatkan pertumbuhan selepas cantuman.

  1. Tut

Pokok yang dibiakkan secara tut biasanya matang lebih awal berbanding dengan yang dibiakkan melalui cantuman mata tunas. Campuran tanah yang digunakan untuk mengetut ialah bahan organik dan tanah atas pada nisbah 1:2. Tanah ini memerlukan air untuk dibentuk kepada bebola tanah.

Dahan yang dicantas boleh digunakan sebagai bahan pembiakan, begitu juga dengan keratan akar. Akar pokok (kecuali yang terlalu kecil dan yang terlalu besar) dikerat sepanjang 12.5-20 cm. Akar ini diletakkan mendatar di tapak semaian yang telah disediakan dan ditutup dengan tanah setebal 5-20 cm, tapak ini hendaklah sentiasa lembap.

KEPERLUAN TANAMAN

  • Cuaca :

Jambu Batu tumbuh dengan baik di kawasan tropika dengan suhu tahunan 27 – 30 darjah celcius dan taburan hujan 2,000 mm setahun. Ianya memerlukan musim kering untuk pengeluaran bunga.

  • Tanah :

Jambu Batu boleh ditanamn dipelbagai jenis tanah. Tanah yang kurang sesuai seperti tanah bekas lombong memerlukan langkah-langkah pemulihan tanah sebelum penanaman dijalankan.

  • Jarak Tanaman :

Sistem tanaman ialah sistem tanaman empat pada jarak 4 m X 4 ( 625 pokok/ha)

  • Menanam :

Lubang tanaman berukuran 0.3 m X 0.3 m X 0.3 m perlu disediakan dan bahan organik (5 kg/lubang), Triple Superphosphate CIRP (200 gm/lubang) dan Ground Magnesium Limestone ( 100 gm/lubang) digaul bersama tanah semasa menanam. Gangguan kepada akar pokok hendaklah diminimakan semasa menanam.

  • Cantasan :

Cantasan perlu dijalankan semasa tumbesaran pokok . Pada permulaan cantasan pembentukan dilakukan untuk membentuk supaya ianya berbentuk terbuka dan mengurangkan ketinggian pokok serta membentuk dahan yang kuat untuk menampung buah. Pucuk matang pula perlu dicantas untuk mengurangkan pertumbuhan sulur air yang berlebihan dan juga untuk menggalakkan pengeluaran bunga.

  • Pembajaan

Pokok jambu batu mempunyai potensi mengeluarkan hasil sepanjang tahun apabila diurus dengan baik kerana pertumbuhannya pantas dan berterusan

  • Penjarangan dan pembalutan buah

Selepas musim buah dan selepas pemangkasan dibuat, bunga akan terbentuk pada celah-celah daun pucuk baru.

Pada kebiasaannya terdapat 1-3 putik buah pada satu tangkal.  Untuk memperolehi saiz buah yang besar, penjarangan putik buah digalakkan, iaitu dengan meninggakan hanya satu putik sahaja pada satu tangkai. Membalut buah dengan beg kertas dan dibalut apabila buah mencapai saiz sebesar telur ayam.

Pokok jambu batu yang dibiak secara tampang akan mengeluarkan hasil bermula 1 atau 2 tahun.manakala secara biji benih 2-3 tahun. Di Malaysia jambu batu boleh berbuah disepanjang tahun. Walau bagaimana pun, ada dua musim utama, iaitu selepas musim kemarau yang menggalakkan pembentukan bunga.

Selamat menanam!

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Jambu Batu and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply