Penanaman Ulam Sebagai Tanaman Hiasan

Umumnya, ulam-ulaman ditanam untuk dimakan. Namun begitu, tidak salah jika ianya ditanam sebagai tanaman hiasan. Kebanyakan ulam-ulaman mempunyai nilai estetika dan keunikan yang tersendiri. Jadi, disamping ianya menyumbang kepada keindahan laman, dapat juga dipetik untuk dibuat ulam dengan nasi. Tumbuhan ulam yang berbatang lembut, renek dan berbunga sesuai ditanam di dalam pasu manakala tumbuhan ulam yang datangnya dari pokok berkayu sesuai di tanam di atas tanah saja.

Penanaman ulam-ulaman sebagai tanaman hiasan tidak asing lagi dalam kalangan penduduk kampung. Namun bagi penduduk bandar yang lebih moden, tanaman hiasan mereka pastinya terdiri daripada pokok-pokok seperti mawar, pokok bunga Lily, Golden pothos, kaktus, orkid dan sebagainya. Tidak dinafikan pokok-pokok tersebut cantik dan mampu menyegarkan udara namun tidak kurang juga ulam-ulaman. Sebenarnya ulam-ulaman juga cantik. Cuba kita lihat pokok ulam raja ( Cosmos caudatus) dengan bunga sederhana kecilnya yang bewarna merah jambu, daun pegaga (Centella asiatica) yang berbentuk seperti payung nyonya, daun kadok (Piper sarmentosum) yang berbentuk hati, pokok lidah buaya (Aloe vera) yang jauh lebih cantik dari pokok lidah jin, dan cekur (Kaempferia galanga) yang begitu cantik jika ditanam di dalam pasu.

Pokok ulam adalah pokok yang asalnya hidup melata. Ianya lebih tahan penyakit dan mudah dijaga kerana tidak memerlukan penjagaan rapi. Ulam-ulaman tidak banyak musuh dan penyakit memandangkan daunnya pahit. Serangga yang kerap dijumpai di sekitar pokok ulam-ulaman hanyalah kupu-kupu.

img_5263

v3

Ulam-ulaman adalah tumbuhan yang memberi manfaat kepada kesihatan tubuh manusia. Sebagai contoh, ulam raja mengandungi costunolide, stigmasterol, lutein dan bipyridine yang dikatakan dapat merencatkan aktiviti sesetengah bakteria dan fungus seperti candida albicans dan Bacillus subtilis dan juga E.coli. Sementara daun kadok pula dapat menyembuhkan penyakit sembelit, sakit gigi, demam malaria, lemah dan sakit-sakit dalam tulang.  Daun kadok juga menyembuhkan panyakit panau, menghilangkan batuk-batuk serta membunuh cacing dalam perut.

Kesimpulannya, tumbuhan ulam seperti daun Kadok merupakan khazanah dari negara kita yang perlu dimanfaatkan. Oleh itu, para penyelidik perlu membuat kajian dengan lebih terperinci berkaitan varieti, kaedah pembiakan, pakej amalan teknologi tanaman, amalan agronomi, pengurusan lepas tuai, sistem pemasaran dan yang paling utama ialah teknologi pemprosesan. Kalau moyang kita telah menggunakan ulam-ulaman dengan yakin, tidak mustahil pada masa akan datang kita akan dapat gunakan khasiat ulam-ulaman dalam bentuk jus, ekstrak, pil, kapsul dan sebagainya.

Kongsikan!
  • 2
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares
This entry was posted in Herba and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply