LADA HITAM: KAEDAH PENANAMAN

Lada hitam dibiakkan melalui kaedah keratan batang dan juga penanaman biji benih, akan tetapi kaedah kedua jarang dilakukan. Kaedah keratan batang lebih mudah kerana sistem akar adventitus yang terbentuk pada bahagian buku keratin batang akan membantu pucuk melekat pada tiang sokongan. Keratan batang dari pokok lada muda yang berusia 1 hingga 2 tahun dan mempunyai banyak akar di buku terlibat akan diambil. Ianya mestilah bebas dari serangan penyakit, serangga dan kelihatan sihat (cukup zat).

1

Kebiasaanya keratan batang yang mempunyai 5 buku akan diambil sebagai benih. Pada peringkat pertumbuhan keratan pucuk utama, daun akan keluar pada setiap buku. Buku 1 hingga buku 3 akan ditanam dalam tanah pada sudut 30 hingga 35 darjah. Buku 4 ditanam pada aras tanah manakala buku 5 ditanam atas paras tanah (Pusat Latihan Dan Pengembangan Lada, Lembaga Lada Malaysia)

Lada sesuai ditanam di kawasan tanah liat berpasir kuning kemerahan kerana ianya kaya dengan kandungan organik, nutrien dan zat galian manakala kawasan berpasir dan tanah gambut tidak sesuai untuk ditanam lada kerana penanaman lada tidak memerlukan kawasan yang bertakung air yang banyak.

Dolomite sebanyak 0.5kg hingga 1.0kg boleh ditabur dikawasan penanaman lada bagi mengurangkan kemasaman tanah 3 minggu sebelum pemindahan benih ke tapak projek. Jarak tanaman lada adalah 7’ x 7’ dan busut tanah dibahagian pangkal buku 5 keratan batang lada disyorkan bersaiz 20cm tinggi x 90 cm lebar. Pengunaan lalang sebagai pelindung kepada keratan batang yang baru ditanam diperlukan bagi mengekalkan kelembapan dan pendedahan kepada panas.

Tiang sokongan (2.5m hingga 3.7m) daripada kayu perlu dipasak atau diikat pada anak pokok yang telah bercambah. Pokok lada akan menjalar sehingga 2 m dan dipangkas setiap 2 hingga 4 bulan. Bagi memulihara tanah, tanaman tutup bumi seperti Centrosema Pubescens atau Arachis Pintoi akan ditanam di setiap selang batas bagi mengurangkan hakisan tanah dan memperbaiki struktur tanah.

Pokok lada akan dicantas pada 6 bulan pertama selepas keratan batang ditanam bagi menggalakkan pembentukan kanopi. Pangkasan kedua pula dilakukan pada tempoh 12 hingga 14 bulan manakala pemangkasan terakhir dilakukan apabila pucuk utama telah mencapai bahagian atas tiang sokongan.
Parit dan saliran bersaiz 60cm (dalam ) x 60 cm lebar disyorkan pada selang baris tanaman bagi mengalirkan lebihan air di setiap baris pokok dan mengurangkan serangan penyakit. Parit pemisah disetiap 5 hingga 6 baris pokok dihubungkan dengan parit utama.

TUAIAN HASIL

Pokok lada boleh tumbuh subur 5 hingga 8 tahun. Hasil pertama pokok lada biasanya dikeluarkan pada musim hujan tahun kedua penanaman. Pengutipan hasil akan dijalankan pada bulan Mac hingga Ogos. Apabila sebiji lada hitam telah mula merah, seluruh tangkai boleh dipetik.

Bagi menghasilkan biji lada hitam yang berkualiti, pengusaha akan menjemur lada matang dibawah cahaya matahari manakala penghasilan lada putih dilakukan dengan merendam biji lada dengan air bersih bagi mengeluarkan lapisan isi buah (perikarpa) sebelum dikeringkan.

70 peratus lada akan dieksport sebagai lada hitam manakala lebihan 30 peratus akan dijadikan lada putih, perisa makanan dan lain lain produk lada. Penduduk kampong yang mengusahakan penanaman lada secara kecil kecilan akan menjual secara borong kepada peraih yang akan dipasarkan di kawasan Bandar (State Farmer Organisation Sarawak).

Kajian dari Lembaga Lada Malaysia mendapati harga komoditi lada hitam pada Mei 2011 boleh mencecah RM 13000/tan manakalan harga lada putih adalah RM 22000/tan. Hasil yang tinggi boleh dijana dengan penjagaan dan pengurusan tanaman yang baik.

Kongsikan!
  • 13
  •  
  •  
  •  
    13
    Shares
This entry was posted in Herba and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply