PROSES MEMBUAT SILAJ TERNAKAN

Pengenalan

Kos makanan ternakan yang semakin meningkat merupakan salah satu perencat industri ternakan ruminan di Malaysia. Justeru itu, setiap pengusaha ternakan ruminan wajib tahu apakah itu silaj dan cara pemprosesan silaj. Silaj merupakan makanan ternakan ruminan yang terdiri daripada bahan rufaj yang berkelembapan tinggi diantara 35% hingga 75% kandungan air yang diperolehi melalui proses penapaian dan disimpan dalam keadaan kedap udara atau pun anaerobik. Silaj adalah satu sumber bekalan makanan ternakan berkualiti utama untuk ternakan ruminan. Silaj dapat dihasilkan dan boleh diproses daripada pelbagai bahan rufaj seperti rumput, batang jagung, pelepah kelapa sawit dan lain –lain bahan. Silaj juga mempunyai kelebihan nutrisi pemakanan berbanding dengan rumput segar dan hay.

Faktor yang utama di dalam penghasilan silaj adalah bekas simpanan silaj atau silo yang digunakan. Bekas silaj yang praktikal harus dinilai daripada segi pengendalian dan mesti dalam keadaan kedap udara. Antara bekas silaj yang sesuai adalah berbagai bentuk seperti bunker, stack, tower, tong plastik dan lain­lain. Perkara pokok dalam membuat silaj ialah mempastikan keadaan yang kedap udara dan kandungan karbohidrat larut air yang mencukupi. Keadaan kedap udara diperolehi dengan memadatkan bahan tanaman bagi mengelakkan berlakunya proses pereputan bahan hijau dan separa hijau yang memerlukan udara.

Foder yang mempunyai bahan kering lebih daripada 35% akan menyebabkan keadaan silaj menjadi kurang mampat dan ini akan menggalakkan pertumbuhan kulat. Bagi foder yang terlalu lembap (kurang 25% bahan kering) pula akan menghasilkan silaj yang masam, disamping kehilangan air dan nutrien yang banyak. Keperluan air ialah 65­75% (25­35% bahan kering). Masa yang sesuai untuk mendapatkan kandungan air pada peratus tertentu bergantung kepada jenis tanaman. Foraj jagung perlu dipotong semasa berumur 75 hari manakala rumput gajah pula hendaklah dipotong pada umur tidak melebihi 40 hari.

Kaedah membuat silaj

Bahan membuat silaj atau Foder seperti jagung, rumput napier dan lain – lain hendaklah dipotong pendek 3­15 cm supaya mudah dipadatkan. Foder di dalam silo hendaklah dipadatkan dengan secepat mungkin dalam masa dua hari selepas dipotong bagi menghindarkan udara daripada terperangkap. Keadaan ini dapat mengurangkan pernafasan sel dan aktiviti enzim. Foder yang telah dipadatkan hendaklah diperam selama sebulan bagi menghasilkan silaj yang baik. Bahan silaj yang mengandungi kurang karbohidrat perlu ditambah dengan asid bukan organan (sulfurik, hidroklorik, fosforik) atau boleh juga diguna asid organan (formik, propionik), tetapi bahan­bahan tersebut mahal adalah mahal. Bahan asid organan atau bukan organan boleh diganti dengan jenis­jenis karbohidrat yang boleh didapati dengan lebih murah seperti gula merah dan bijirin. Ini dapat mengurangkan kos pembuatan silaj.

Semasa proses pemeraman perubahan bahan kepada produk tertentu dalam silaj akan berlaku. Secara am, karbohidrat dalam bahan hijau/segar yang diperam ditukarkan menjadi asid laktik atau asetik. Proses penukaran dilakukan oleh bakteria anaerobik dengan bantuan haba yang dihasilkan oleh sel tanaman yang masih hidup. Asid­asid yang dikeluarkan, terutamanya asid laktik akan merendahkan pH dan ini menyebabkan proses biokimia yang terjadi pada bahan silaj terhenti. Dengan itu, bahan yang diperam akan dapat disimpan dengan baik dan kualiti pemakanannya dapat dikekalkan.

Rumusan Pemeraman silaj

Proses pemeraman merupakan penentu kualiti silaj yang dihasilkan. Kehadiran udara di dalam silo merupakan faktor utama kerosakan silaj. Udara menyebabkan bahan silaj rosak akibat tindakan bakteria aerobik. Apabila kerosakan berlaku, silaj tersebut tidak boleh lagi digunakan sebagai makanan ternakan kerana tercemar oleh kulat, aromanya tidak enak serta mendatangkan mudarat kepada ternakan. Kualiti silaj dapat diukur berdasarkan kepada beberapa parameter iaitu warna, baud an nilai pH. Silaj berwarna kehitaman serta berbau tengik adalah silaj yang telah rosak. Nilai pH yang rendah menunjukkan tahap fermentasi asid laktid dalam silaj yang baik. Nilai pH antara 3.8 hingga 4.2 adalah silaj yang berkualiti baik. Manakala pH melebihi 4.5 dianggap kualiti yang kurang baik. Nilai pH melebihi 5 adalah dianggap rosak. Cara pemampatan dan sistem penutupan silo yang tidak sempurna yang menyebabkan keadaan erobik sekaligus merosak silaj. Bagi mengelakkan udara terperangkap di dalam silo, bahan silaj mesti dipadatkan semasa mengisi ke dalam silo. Bila bahan diisi dengan padat, udara terperangkap berkurangan. Semakin kurang udara terperangkap, semakin baik kualiti silaj yang dihasilkan.

Artikel akan datang kita akan lihat jenis – jenis silo atau bekas penyimpanan silaj.

Kongsikan!
  • 73
  •  
  •  
  •  
    73
    Shares
This entry was posted in Kambing, Lembu fidlot and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply