PRODUK SEJUK BEKU

PENGENALAN

Rakyat Malaysia telah terkenal dengan pelbagai jenis makanan samada kuih muih tradisional atau moden. Budaya dan adat resam yang masih diamalkan oleh semua penduduk menyatukan semua rakyat Malaysia dan semua kaum boleh makan makanan dari kaum lain. Umumnya, nasi lemak, roti canai, kuew teow, laksa baba nyonya, karipap, popia, donut, kuih vadey, kuih bakul, maruku dimakan bersama sama selagi ianya segar, halal dan bersih. Kuih muih dan makanan ini boleh didapati dengan mudah oleh peniaga samada di pasar, gerai makanan, restoren atau mana mana gerai yang menjual makanan.

Namun, bagi para ibu atau suri rumah yang sibuk dan bekerjaya di zaman urbanisasi ini, akan sukar untuk menyediakan makanan atau kuih muih ini dalam masa yang singkat.. Walaupun setiap rumah pasti mempunyai peti ais yang digunakan untuk menyimpan makanan sejuk, tetapi penghasilan produk sejuk beku memerlukan kemahiran dan masa untuk menyediakan pelbagai makanan dan kuih muih tersebut. Penyelesaian untuk masalah diatas adalah dengan membeli produk sejuk beku yang banyak di jual di pasaraya, kedai, secara online atau jualan terus.

Produk sejuk beku ini dijual dalam 3 bentuk iaitu bahan mentah (ayam, daging, itik, kentang fries, dan banyak lagi), separa proses (karipap, popia, samosa, nugget, pizza, sosej, sushi, roti jala, roti canai dan sebagainya) dan sedia dimakan (ais krim dan ais krim putar). Contoh produk sejuk beku yang menjadi pilihan kegemaran pengguna adalah seperti nugget, kentang, kuih muih tradisional (karipap, pau, samosa, popia, pau dan sebagainya), pelbagai jenis pastri (roti canai, roti pratha, roti bom dan banyak lagi).

Pada awal pengenalan produk sejuk beku kepada umum, ramai pengguna yang mempersoalkan soal kualiti kesegaran produk tersebut. Rata-rata antara pengguna menyatakan bahawa kandungan nutrien produk sejuk beku akan hilang jika disimpan terlalu lama dalam suhu yang rendah. Akan tetapi, perkembangan teknologi dan pelbagai kajian telah dijalankan sama ada dari pihak kerajaan atau badan berkaitan mengenai kesihatan produk sejuk beku telah memastikan bahawa produk sejuk beku selamat untuk dimakan malah kandungan lemak yang terdapat didalamnya juga terkawal

Selain rasanya sedap, ianya juga bersih dan kadangkala ianya lebih berkhasiat berbanding dengan produk atau jualan terus. Ini kerana kandungan minyak yang digunakan adalah minima terutama kepada produk makanan bergoreng. Harga yang ditawarkan kepada pengguna ke atas produk sejuk beku ini lebih murah dan mudah untuk disediakan. Kaum ibu hanya perlu menggoreng, memanggang atau dihangatkan di dalam ketuhar dalam masa kurang dari 10 minit bergantung kepada jenis masakan atau kuih.

Ramai kaum ibu yang telah celik ilmu tentang kepenggunaan telah mula memilih makanan yang tidak mengandungi bahan pengawet, pewarna makanan berlebihan atau bahan kimia yang akhirnya akan mendatangkan kesan jangka panjang kepada kesihatannya. Pengusaha produk sejuk beku berusaha untuk memberikan produk yang sihat kepada kesihatan masyarakat.

Pada asasnya, kaum ibu juga boleh membuat produk sejuk beku sendiri kerana ianya mudah asalkan mereka faham dengan apa yang diperlukan dalam bagi memastikan produk makanan sejuk beku tersebut dalam keadaan baik, tidak rosak, basi dan berkhasiat. Yang penting, ilmu mengenai bagaimana cara untuk membekukan produk sejuk beku dan ianya boleh dipraktiskan untuk keluarga sendiri.

ASAL USUL TEKNOLOGI PRODUK SEJUK BEKU

Clarence Birdeye adalah insan pertama yang memperkenalkan kaedah sejuk beku kerana ianya terilham daripada proses pembekuan ikan yang diamalkan oleh masyarkat suku Indian Inuit. Selepas kejayaannya meniru kaedah pembekuan ikan, beliau mencuba kaedah tersebut ke atas makanan ikan seperti daging dan ayam. Bermula dari itu, masyarakat Amerika telah mula mengamalkan kaedah pembekuan seperti yang dilakukan oleh Clarence Birdeye. Masyarakat Amerika tidak lagi risau sekiranya makanan yang tidak sempat dimasak akan rosak atau reput, kerana mereka memilih untuk menyejukbekukan makanan.

3 keadah pembekuan yang dicadangkan oleh Clarence Birdeye ialah
i. Pembekuan menggunakan sedikit suhu bilik dan di atas suhu 150C
ii. Pembekuan dengan suhu diantara 4-100C
iii. Pembekuan dengan suhu dibawah 00C

Tujuan utama pembekuan pada suhu yang berbeza ini adalah untuk mengelakkan pertumbuhan mikrobacteria yang akhirnya akan merosakkan produk makanan. Pada suhu tertentu, ada sesetengah mikrobacteria tidak aktif, terbantut perkembangan dan musnah. Tetapi perkara ini tidak menjanjikan bahawa mikrobacteria tersebut musnah keseluruhannya kerana keadah pembekuan bukanlah cara utama untuk mematikan sel. Mikrobacteria akan termusnah pada suhu melebihi 800C – 1000C.

Clarence Birdeye terus melangkah ke hadapan dengan mendapatkan hak patern apabila kaedah pembekuan yang diamalkan berjaya menemui kaedah pembekuan lapisan ais berbanding dengan pembekuan secara tradisional. 2 bentuk pembekuan yang ditemui adalah pembekuan cepat (quick freezing) dan pembekuan lambat (slow freezing). Pembekuan cepat berlaku apabila produk yang dibekukan mempunyai krital ais halus. Air yang terbentuk akan diserap oleh jaringan makanan apabila dicairkan. Hanya sedikit sahaja air yang terkeluar menjadi titisan air manakala pembekuan lambat dikatakan berlaku apabila produk yang dibekukan menghasilkan krital ais yang besar dan tajam akan keluar sebagai titisan air semasa dicairkan. Titisan yang terhasil menyebabkan pati utama makanan akan terbuang dalam kandungan yang banyak dan dikhuatiri mengurangi kandungan zat makanan.

Clarence Birdeye berjaya memperoleh anugerah “Babcock Hart Award (1949)” daripada Institute of Food Technologies setelah menjual hak patern teknik pembekuan kepada perusahaan makanan General Food Coorporation. Di atas usaha murni beliau, nama nya telah dikenang pada Food Engineering Hall of Fame.

TEKNIK PEMBEKUAN MAKANAN / PRODUK SEJUK BEKU

Kaedah penyimpanan makanan secara pembekuan adalah salah satu cara pengawetan makanan, tanpa melibatkan bahan kimia sebagai bahan utama proses pengawetan makanan. Pembekuan makanan ditafsirkan sebagai pengawetkan produk makanan dibawah suhu tertentu (dibawah 00C) dengan mengubah keadaan asal produk yang mengandungi air menjadi kristal ais. Pada waktu itu, semua mikrobiologi dan enzim produk tersebut akan terhenti dan tempoh jangka hayat dan daya tahan produk tersebut akan panjang selagi mana ianya tidak dikeluarkan dari persekitaran yang beku dan mencair.

Produk sejuk beku akan disimpan pada suhu -18 darjah Celcius dan perlukan kaedah pembungkusan yang baik. Ada sesetengah produk akan dibuang divacum udara. Ianya juga kaedah untuk memastikan kesegaran produk tersebut. Produk sejuk beku sesuai disimpan di peti sejuk beku (freezer), berbeza dengan peti ais konvensional kerana peti ais biasa kebiasaanya beroperasi pada suhu diantara -100C hingga 00C sahaja.
Semasa proses penyimpanan produk sejuk beku, seeloknya jangan ditindih diantara satu sama produk tersebut. Biarkan ianya di rak berbeza supaya semua bahagian produk menjadi beku dan kristal ais akan terbentuk di sekeliling produk. Setelah produk membeku, barulah boleh disusun berlapis.

Makanan yang dinyahbeku perlu dikendalikan dengan baik selepas dikeluarkan dari peti ais beku kerana secara tidak langsung, proses pencairan produk akan mengaktifkan semula mikrobakteria seperti yis, kulat dan bakteria. Pengendalian makanan seperti daging atau ayam perlu diberikan perhatian khusus kerana ianya akan menyebabkan perubahan nilai nutrien dalam nilai sedikit.

MASA DEPAN POTENSI PASARAN

Produk sejuk beku adalah pilihan tepat bagi semua untuk menikmati makanan kegemaran dalam masa yang singkat, senang dan murah. Ianya jua penyelamat dalam situasi “tetamu yang datang menziarah” secara tiba tiba. Penguna hanya perlu mengeluarkan produk tersebut, nyahbeku ais di produk dan dimasak sama ada digoreng, dipanggang, direbus atau dikukus.

Produk sejuk beku ini merancakkan lagi industri makanan di Malaysia di mana ramai pengusaha yang telah mengeluarkan pelbagai produk yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Usahawan – usahawan seperti Ramly Burger, Azmy, Ayam Mas, Fatihah Frozen, Az-Zain dan ramai lagi adalah syarikat bumiputera Malaysia yang telah berjaya dalam penghasilan dan pemasaran produk sejuk beku dalam kategori masing masing. Malah produk mereka telah berjaya dipasarkan ke seluruh Malaysia dan di luar negara.

Pihak kerajaan dengan kerjasama agensi seperti FAMA dan MATRADE membantu usahawan Malaysia untuk memasar dan mempromosikan produk ke seluruh dunia. Sijil Halal JAKIM yang tertera di pek pembungkusan produk sejuk beku memberikan satu kelebihan kepada pengusaha kerana pengguna tidak akan ragu ragu untuk menggunakan produk tersebut kerana ianya telah disahkan halal, bersih, dan selamat.

Perkembangan penyelidikan dan pembangunan mengenai makanan dari pelabagi agensi seperti MARDI, FAMA dan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam penghasilan teknologi dan kaedah yang boleh memajukan industri makanan di Malaysia. Banyak bahan makanan yang mempunyai jangka hayat yang pendek seperti sayur- sayuran berbuah, cendawan dan lain lain kini telah diubahsuai menjadi produk hiliran. Teknik pembungkusan dan teknologi pengawalan suhu yang betul memastikan produk sejuk beku ini terus segar, tidak rosak/ busuk dan tahan lama. Kajian mengenai tarikh luput sesuatu produk sejuk beku juga perlu diberi perhatian bagi memastikan produk yang dibeli pengguna tidak rosak

Perusahaan produk sejuk beku mempunyai potensi yang besar untuk berkembang maju. Ianya juga suatu jihad kepada Allah bagi menyediakan makanan yang halal dan bersih kepada umat manusia sekaligus menjaga kesucian agama islam. Pemakanan dari sumber yang baik, halal dan bersih yang boleh mendatangkan perilaku yang baik manakala makan dari makanan yang tidak elok boleh memberikan kesan dan tindakbalas negatif. Tindakannya menjurus kepada hawa nafsu dan mengikut telunjuk syaitan.

Sesuai dengan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 168 hingga 169 yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada dibumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adala musuh kamu yang terang nyata bagi kamu. Ia menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara perkara yang keji dan menyuruh kamu supaya berkata dusta terhadap Allah, apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya)”.

Harress
Latest posts by Harress (see all)

About Harress

Senior Editor myagriDotComDotMy yang serius sewaktu berkebun.
This entry was posted in Pemprosesan Makanan and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply