TANAMAN CILI PADI

CILI PADI (Capsicum frustecens Linn) merupakan sejenis tanaman daripada keluarga Solanaceae yang memberikan rasa pedas kepada makanan. Ianya merupakan salah satu tanaman yang sangat mudah ditanam. Nama lain bagi cili padi adalah seperti cili api, cili rawit (lombok rawit), cabai burung, lada jarum atau lada tunggeng dan bermacam lagi. Cili padi sangat popular digunakan sebagai bahan perasa di dalam masakan terutama di Asia Tenggara seperti di Malaysia, Indonesia dan Thailand. Di Malaysia, cili padi ditanam di sekeliling rumah untuk kegunaan masakan harian, kini ditanam secara komersial. Terdapat permintaan yang tinggi untuk cili padi daripada pasaran isi rumah dan sektor perkilangan setiap hari.

Pokok cili padi merupakan tumbuhan renek sederhana besar dan boleh mencapai ketinggian 0.5 – 2.0 m. Batangnya separa berkayu, liat dengan cabang yang banyak, sederhana besar dan tersusun bersilang serta berdaun tunggal. Pokok cili padi mempunyai bunga berwarna putih dan kedudukan bunga terletak di celah cabang tunas. Buah cili padi berbentuk menirus dan tumbuh menegak ke atas. Panjang buah cili padi adalah 3 – 5 cm bergantung kepada varietinya. Buah cili biasanya akan matang di dalam masa 80 – 90 hari selepas dipindahkan ke ladang. Buah cili padi mempunyai biji serta berwarna hijau dan apabila matang warnanya akan bertukar menjadi merah. Bijinya kecil berbentuk leper berwarna kuning memenuhi rongga buah. Walau bagaimanapun, cili padi boleh digunakan pada peringkat tidak matang (berwarna hijau) dan matang (berwarna merah). Manakala untuk tujuan pemasaran, cili padi biasanya dijual berwarna hijau dan merah sahaja atau dengan mencampurkan buah hijau dan merah. Kebiasaannya, cili padi dibiakkan daripada semaian biji benih.

Terdapat pelbagai jenis varieti cili padi yang sesuai ditanam di Malaysia. Kesemua jenis cili ini mempunyai ciri tersendiri. Antara varieti yang disyorkan untuk penanaman secara fertigasi adalah centel dan bara. Walau bagaimanapun, benih varieti hibrid F1 adalah digalakkan untuk tanaman fertigasi. Ini kerana benih hibrid F1 dapat memberikan prestasi pertumbuhan dan hasil yang menggalakkan dengan pengurusan dan penjagaan yang tepat. Satu pokok cili padi mampu mencapai purata hasil sebanyak 1.5 kg dan jangka hayat ekonomi tanaman cili padi fertigasi adalah enam bulan. Manakala tuaian hasil boleh dibuat 3 – 4 hari sekali, bergantung kepada bilangan atau keluasan tanaman.

Keluasan kawasan penanaman cili padi di Malaysia adalah 2,850 ha dengan pengeluaran sebanyak 32,780 mt setahun. Manakala, jumlah permintaan keperluan cili padi pada tahun 2010 adalah sebanyak 493,000 mt. Walaupun terdapat pengusaha di negara ini yang mengusahakan penanaman cili padi secara komersial, namun pengimportan cili padi dari Thailand, Indonesia dan Vietnam masih tinggi. Ini kerana pengeluaran cili padi tempatan masih tidak mencukupi. Ini disebabkan serangan penyakit seperti layu bakteria, kerinting daun, bintik daun atau serangan serangga perosak seperti hamama, kutu daun, aphids serta lalat putih. Ditambah pula dengan kekurangan kemahiran teknikal petani menyebabkan penghasilan cili padi masih di bawah potensi hasil yang sebenarnya.

Nilai pasaran tahunan cili padi diunjurkan pada RM395 juta. Penanaman cili padi di negara ini dilihat berpotensi besar untuk dimajukan, kerana permintaan cili padi terus meningkat dari masa ke semasa dan harganya akan terus naik. Dengan purata hasil sebanyak 1.5 kg sepokok, cili padi mampu memberikan pulangan baik kepada pengusaha. Justeru itu, penanaman cili padi secara fertigasi boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan yang lumayan. Ianya boleh dijalankan secara perusahaan keluarga atau secara komersial.

This entry was posted in Cili padi, Fertigasi, penanaman sayur and tagged , , , , . Bookmark the permalink.