Agensi dan Jabatan Kerajaan serta Fungsi di dalam Industri Pertanian

Setiap Jabatan, Agensi atau Lembaga di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mempunyai fungsi dan peranan masing – masing di dalam industri pertanian. Ikuti artikel di bawah bagi mengetahui peranan mereka di dalam industri pertanian di negara kita.

Jabatan Pertanian atau DOA

DOA berfungsi memberi khidmat pengembangan dan pembangunan pertanian melalui pemindahan teknologi berteraskan Amalan Pertanian Baik di sepanjang rantaian nilai bagi meningkatkan pengeluaran dan pendapatan serta memastikan pengeluaran bahan makanan yang mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan. Selain daripada itu, DOA juga membimbing dan mewujudkan pengusaha pertanian yang progresif bagi meningkatkan produktiviti ladang dan pengeluaran pertanian negara, serta mewujudkan kumpulan tenaga yang terlatih dan mahir untuk keperluan industri pertaniam. DOA juga bertanggungjawap melindungi tanaman industri dan makanan daripada ancaman perosak dan penyakit melalui program perlindungan tanaman dan perkhidmatan biosekuriti tumbuhan serta menentukan keluaran hasil-hasil tanaman makanan yang berkualiti dan selamat serta memelihara alam sekitar. DOA juga mengawal bahan-bahan tanaman dan bahan janaplasma negara daripada di bawa keluar negara dan terancam pupus.

Jabatan Perikanan atau DOF

DOF bertanggungjawap membangunkan industri perikanan yang dinamik berpandukan pasaran melalui pendekatan kreatif dan inovatif serta menguruskan sumber perikanan negara secara efisyen, inovatif dan mesra alam berasaskan maklumat saintifik dan tadbir urus yang rapi. Selain daripada itu DOf juga melonjakkan sistem penyampaiannya berteraskan modal insan yang berkemahiran, berpengetahuan dan profesional. DOF meletakkan sasaran pengeluaran ikan untuk tujuan makanan sebanyak 3.02 juta tan metrik pendapatan tahun 2020 melalui sumbangan perikanan tangkapan yang optimum sebanyak 1.577 juta tan metrik dan akuakultur sebanyak 1.443 juta tan metrik serta ingin nencapai kadar pertumbuhan purata tahunan pengeluaran rumpai laut dan ikan hiasan sebanyak 10% dan 12%. DOF juga ingin menepati tadbir urus yang rapi dengan aktiviti-aktiviti utama Jabatan memperolehi Pensijilan ISO menjelang tahun 2020. DOF ingin membangunkan dan mengkomersialkan 10 teknologi baru menjelang tahun 2020. Selain daripada itu DOF juga ingin Memastikan pendapatan kumpulan sasar Jabatan yang terlibat dalam aktiviti perikanan melebihi RM 3000 sebulan dengan pelaburan tambahan swasta mencapai RM10 bilion menjelang tahun 2020.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar atau DVS

DVS bertanggungjawab mengawal, mencegah, dan menghapuskan penyakit haiwan dan zoonotik.
Selain daripada itu DVS juga mengawal selia pengeluaran ternakan, hasil ternakan dan makanan haiwan di dalam negara. DVS juga menjalankan pemeriksaan daging, susu, telur, makanan haiwan,rumah sembelih dan loji pemprosesan hasilan haiwan serta mengawal import dan eksport ternakan dan hasil haiwan dan perkhidmatan kuarantin. DVS juga menyediakan latihan bagi industri ternakan dan haiwan peliharaan. DVS juga melakukan aktiviti pengembangan pengeluaran ternakan dan kesihatan haiwan serta kesihatan awam veterinar serta penyelidikan penyakit haiwan, dan sumber genetik haiwan. DVS juga mengawal kebajikan haiwan dan pemuliharaan bahan genetik haiwan.

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia atau MAQIS

MAQIS menguatkuasakan semua undang-undang bertulis yang berkaitan di pintu masuk, stesen kuarantin dan premis kuarantin, untuk memastikan bahawa tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih, mikroorganisma dan makanan yang diimport ke dalam dan dieksport ke luar Malaysia mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan. MAQIS juga bertanggungjawap untuk mengeluarkan permit, lesen dan perakuan bagi maksud import dan eksport tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma. MAQIS juga mengadakan khidmat nasihat tentang pematuhan syarat-syarat import dan eksport bagi tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih, mikroorganisma dan makanan kepada pengimport, pengeksport dan ejen yang terlibat dalam import dan eksport tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih, mikroorganisma dan makanan.

Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia atau MARDI

MARDI ditubuhkan mengikut AKTA INSTITUT PENYELIDIKAN DAN KEMAJUAN PERTANIAN MALAYSIA 1969. Peranan utama MARDI adalah menjana teknologi & inovasi pertanian dan industri asas tani yang inklusif dan berdaya saing ke arah kesejahteraan masyarakat serta memperkukuhkan sistem penyampaian teknologi & perkhidmatan untuk meningkatkan produktiviti sektor agromakanan. MARDI juga membangunkan agropreneur dan industri asas tani yang berdaya saing (cekap, ampan, moden, global). Selain daripada itu MARDI juga memperkasa keupayaan dan persekitaran kondusif bagi penyelidikan dan pembangunan pertanian makanan. MARDI bertekad untuk menghasilkan teknologi wajar, mampan dan berdaya maju serta menyediakan kepimpinan teknologi kepada pelanggan yang terlibat dalam pembangunan sektor makanan dan pertanian dengan penuh dedikasi dan professionalisme.

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia atau LKIM

LKIM ditubuhkan bagi memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan serta memperkembang dan memajukan perusahaan perikanan negara.

Antara fungsi-fungsi LKIM adalah:

1. Menggalak & memajukan pengurusan yang cekap dan berkesan mengenai perusahaan dan pemasaran ikan.
2. Mengadakan dan menyelia kemudahan-kemudahan kredit bagi pengeluaran ikan dan memastikan bahawa kemudahan-kemudahan ini digunakan sepenuhnya.
3. Mengambil bahagian dalam perusahaan-perusahaan perikanan dan bagi maksud itu mengambil bahagian dalam pembinaan bot dan pengeluaran bekalan dan kelengkapan ikan.
4. Menggalak, menggiat, memudah dan mengusahakan kemajuan ekonomi dan sosial Persatuan-Persatuan Nelayan.
5. Mendaftar, mengawal dan menyelia Persatuan-Persatuan Nelayan dan mengadakan peruntukan mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengannya.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan atau FAMA

Objektif utama penubuhan FAMA adalah merealisasikan Wawasan Negara dan Dasar Pertanian Negara untuk menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama makanan dunia melalui kecekapan dan keberkesanan produk pertanian dan makanan. FAMA juga membangunkan infrastruktur pemasaran dan sistem rantaian bekalan yang cekap dan berkesan serta melakukan aktiviti pemasaran dan peningkatan permintaan hasil pertanian dan makanan dalam dan luar negara.

Fungsi-fungsi utama FAMA adalah:

1. Menyelaras aktiviti-aktiviti pemasaran pertanian sama ada yang melibatkan pihak swasta atau jabatan / agensi kerajaan.
2. Memperbaiki sistem pemasaran dan memperluas serta memajukan pasaran baru bagi hasil-hasil pertanian Malaysia.
3. Bekerjasama dengan pihak swasta dan jabatan /agensi kerajaan bagi mewujudkan pemasaran pertanian yang cekap dan berkesan.
4. Membangun dan memajukan pengurusan yang cekap dalam industri pertanian berkaitan dengan aktiviti pemasaran atau pemprosesan hasil-hasil pertanian, dan
5. Melibatkan secara langsung di dalam industri pertanian terutama di dalam aktiviti pemasaran atau pemprosesan hasil-hasil pertanian.

Taman Botani Negara Shah Alam atau TBNSA

TBNSA merupakan pusat pendidikan, penyelidikan saintifik dan pemuliharaan bagi pembangunan botani, hortikultur, pertanian serta bidang lain yang berkaitan. TBNSA berfungsi sebagai pusat pendidikan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai peranan tumbuh-tumbahan dan sumber hutan. Ianya juga sebagai pusat mendokumentasi, melindungi, pelihara dan pemuliharaan tumbuh-tumbuhan asli yang jarang dijumpai, terancam dan bernilai di Malaysia. TBNSA juga berperanan untuk meningkatkan kesedaran supaya menghargai sumber tumbuh-tumbuhan di Malaysia serta menjadi salah satu pusat rekreasi yang berkonsepkan alam semula jadi kepada masyarakat.

TEKUN NASIONAL atau TEKUN

Tekun menyediakan pembiayaan mikro yang mudah, cepat dan mesra usahawan serta menyediakan khidmat bimbingan dan sokongan kepada usahawan tekun. TEKUN juga berfungsi mewujudkan komuniti dan jaringan usahawan serta memupuk budaya keusahawanan dan menabung di kalangan usahawan. Usahawan juga boleh menjadikan TEKUN sebagai salah satu agensi bagi pembiayaian projek pertanian,

Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia atau MPIB

Fungsi LPNM seperti diperuntukan di bawah Akta Perindustrian Nanas 1957 (Semakan 1990) (Akta 427) adalah seperti berikut :

1. Membiayai program-program penyelidikan agronomi dan penyelidikan pemprosesan yang berkaitan industri nanas.
2. Merunding perjanjian harga dan gred buah nanas yang dijual ke kilang-kilang nanas berdaftar.
3. Mengawal pengeluaran, pasaran buah nanas dan nanas kaleng.
4. Mentadbir kawalan mutu dan peraturan-peraturan kesihatan di kilang-kilang nanas berdaftar.
5. Menguruskan tabung ses dan menentukan kadar ses.
6. Mengumpulkan perangkaan dan menyimpan rekod-rekod perangkaan perusahaan nanas.
7. Memberi bantuan kewangan, sama ada dalam bentuk subsidi atau geran kepada sektor pekebun kecil secara keseluruhan atau sebahagian.
8. Memberikan perhatian kepada hal-hal yang berkaitan dengan industri nanas.

LEMBAGA PERTUBUHAN PELADANG atau LPP

Objektif penubuhan LPP adalah untuk meningkatkan taraf ekonomi dan sosial, menambah pengetahuan dan kemahiran, meninggikan hasil dan pendapatan dan membaiki cara hidup ahli-ahli serta mewujudkan masyarakat peladang yang progresif, berdikari, makmur dan bersepadu.

Di antara peranan LPP adalah untuk meningkatkan daya pengeluaran peladang menerusi penyediaan perkhidmatan, meningkatkan pertumbuhan sector pertanian yang pesat menerusi usaha penyusunan semula pertanian. Di samping itu, LPP berperanan untuk meningkatkan bidang perniagaan dan pertumbuhan pelaburan dalam bidang pertanian,meningkatkan taraf sosioekonomi dan kualiti penghidupan peladang dan mengimbangi pembangunan perusahaan asas tani di kawasan luar bandar.

Bagi mengadakan perkhidmatan pengembangan dan kemudahan-kemudahan latihan kepada peladang-peladang bagi melengkapkan diri mereka dengan teknologi yang perlu bagi memajukan pertanian, perkebunan, penternak binatang-binatang, ekonomi rumahtangga, perniagaan dan lain-lain enterprais perniagaan;

b) Bagi meluaskan pengeluaran pertanian di kalangan peladang-peladang dan pekebun-pekebun kecil untuk mencapai perbagaian dan perniagaan pertanian yang lebih luas dan meluaskan dan memajukan perniagaan pertanian;

c) Bagi mengadakan bekalan-bekalan ladang dan keperluan-keperluan harian termasuk lain-lain kemudahan yang dikehendaki bagi perladangan yang progresif dan kehidupan luar bandar yang lebih baik;

d) Bagi mengadakan kemudahan dan perkhidmatan-perkhidmatan kejenteraan ladang yang perlu bagi memodenkan usaha-usaha perladangan;

e) Bagi mengadakan kemudahan-kemudahan dan perkhidmatan-perkhidmatan kredit dan bagi memajukan pelaburan yang lebih besar dalam bidang-bidang pertanian dan ekonomi;

f) Bagi memajukan, menggalakkan, memudahkan dan menawarkan perkhidmatan bagi simpanan wang luar bandar;

g) Bagi mengadakan perkhidmatan pemasaran, penyimpanan, kompleks pengeringan,penggudangan dan lain-lain kemudahan;

h) Bagi mengendali dan mengadakan kemudahan-kemudahan pengangkutan bagi menambah usaha-usaha pemasaran pertanian dan usaha-usaha yang berkaitan;

i) Bagi menubuh dan mengendalikan loji-loji memproses dan kompleks-kompleks mengilang yang perlu bagi memproses hasil pertanian;

j) Bagi membolehkan pembentukan modal dan pelaburan di kalangan ahli-ahli atau unit-unit ahlinya melalui penubuhan syarikat-syarikat atau penyertaan ekuiti dalam usaha-usaha perdagangan dan perniagaan;

k) Bagi membantu ahli-ahli dalam memperolehi tanah dan menjalankan projek kemajuan tanah bagi faedah ahli-ahli;

l) Bagi menggalak dan memprgiat tindakan kumpulan melalui berbagai projek kemasyarakatan dan memudahkan kemajuan pimpinan;

m) Bagi mengadakan perkhidmatan sosial, kemudahan-kemudahan pendidikan dan rekreasi untuk menambah kemajuan sosial dan kebajikan keluarga perladangan;

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda atau MADA

MADA merupakan sebuah lembaga yang bertanggungjawap menerajui industri padi negara serta membangunkan aktiviti sosio ekonomi peladang di kawasan muda.

MADA diberi kuasa bagi:

i. Memaju, menggalak, membantu dan mengusahakan pembangunan ekonomi dan social dalam Kawasan Muda.

ii. Merancang dan mengusahakan dalam Kawasan Mada apa-apa kemajuan pertanian mengikut sebagaimana yang telah diperuntukkan padanya oleh Pihak Berkuasa Negeri bagi negeri Kedah dan negeri Perlis.

Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu atau KADA

Tugasan KADA adalah mengikut Seksyen 4 (1), Akta 69, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu 1972 di mana aktivit utama adalah memaju, menggalak, membantu dan mengusahakan pembangunan ekonomi dan sosial dalam kawasan kemubu serta merancang dan mengusahakan dalam kawasan kemubu apa-apa kemajuan pertanian mengikut sebagaimana yang diperuntukkan oleh negeri.

KADA Fungsi:

1. Mengeluarkan padi untuk menampung keperluan Negara
2. Mengeluarkan bahan-bahan makanan lain untuk memenuhi permintaan tempatan dan menampung keperluan makanan Negara.
3. Meningkatkan pendapatan per kapita keluarga tani selaras dengan pendapatan per kapita Negara
4. Menggalak dan memajukan industri hiliran asas tani
5. Membangun dan memperteguhkan institusi peladang untuk menaungi keluarga tani.

Agro Bank

AGRO BANK bertanggungjawab menggalakkan pembangunan pertanian Malaysia dengan menyelaras dan menyelia pemberian kredit daripada dana awam untuk tujuan pertanian oleh pelbagai orang atau kumpulan orang sama ada diperbadankan atau tidak. AGRO BANK menyediakan pembiayaan, pendahuluan dan kemudahan kredit untuk pembangunan pertanian dan perniagaan berkaitan pertanian. Dalam erti kata lain AGRO BANK melaksanakan perniagaan am institusi perkhidmatan kewangan yang moden dan progresif yang menyediakan keperluan kewangan menyeluruh kepada pelanggannya.

Bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat anda semua bolehlah berkunjung ke pejabat jabatan dan agensi berkenaan yang berdekatan dengan anda.

Harress
Latest posts by Harress (see all)

About Harress

Senior Editor myagriDotComDotMy yang serius sewaktu berkebun.
This entry was posted in Info, Pertanian Umum and tagged , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply