PENTERNAKAN KUPANG

Kupang atau lebih dikenali sebagai siput sudu banyak diternak oleh pengusaha di negeri Johor dan Negeri Johor merupakan negeri pengeluar kupang terbesar di Malaysia. Penternakan kupang banyak dilakukan di kawasan perairan Selat Tebrau terutama di kawasan Senibong, Johor Bharu dan ia juga pernah diternak di kawasan Sungai Rambai, Melaka disekitar tahun 1980-an. Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Pertanian merupakan agensi yang bertanggungjawab untuk mengawal, mengurus dan mengeluarkan lesen kepada persatuan nelayan atau pengusaha yang berminat untuk menternak kupang. Pelbagai projek yang dianjurkan oleh pihak LKIM dalam memeriahkan dan mengembangkan usaha perniagaan dalam bidang akuakultur ini supaya penternakan spesis akuakultur ini boleh berkembang maju sehingga boleh dipasarkan secara komersial kepada seluruh negara. Ianya juga boleh mendatangkan sumber pendapatan yang lumayan kepada pengusaha. Permintaan yang tinggi terhadap siput sudu atau kupang ini datang dari pengusaha makanan laut. Ini kerana rasa kupang yang enak serta bau aroma yang membangkitkan selera pengemar makanan laut. Juadah kupang bakar atau kupang tumis berlada menjadi pilihan pengemar. Ini adalah kerana setelah kupang dimasak, isi kupang berasa lebih manis, mempunyai isi lembut dan sesuai dinikmati bersama nasi panas.

Di kawasan perairan Pontian dan Tebrau, pengusaha penternakan Kupang menggunakan teknologi pelampung tong plastik dan tali rawai. Tong plastik akan diikat dan direntangkan di persisir peraiaran dan tali kupang akan di ikat pada tong tersebut. Ada juga pengusaha yang menggunakan teknologi lama dengan memasang tiang kayu nibung yang dipasak di dalam laut dan tali kupang akan diikat dengan pemberat dan ditenggelamkan di dalam air.Bagi kedua dua teknologi ini, benih kupang akan dilepaskan di sekitar tali dan ianya akan semulajadi melekat di tali tersebut. Ia akan membesar selama 7 hingga 10 bulan sebelum ianya boleh dituai.

KUPANG / SIPUT SUDU

Kupang merupakan sejenis siput (mollusk) yang mempunyai bentuk bulat dan bujur tirus dibahagian hujung kulitnya. 2 keping kulit kupang berwarna hijau gelap (hijau lumut) dan berjalur hijau muda dibahagian tepinya. Siput sudu ini mempunyai isi lembut dan berwarna oren kekuningan dan berasa liat ketika mentah. Kulit kupang yang keras melindungi isi dari cacat atau dimakan oleh ikan dewasa. Terdapat 3 jenis varieti kupang iaitu Pteriomorpha spp untuk ternakan air laut, Palaeoheterodonta spp untuk ternakan air tawar dan Heterodonta spp sejenis Kupang Zebra. Kupang merupakan siput planton feeders iaitu (pemakan plankton) sama seperti kerang, remis, siput sedut dan pelbagai haiwan bercengkerang lain.

KAEDAH PENTERNAKAN KUPANG

Penternakan kupang ini memerlukan kawasan perairan yang tidak mempunyai arus yang deras, tiada laluan kapal besar dan memerlukan air laut yang bersih dari pencemaran sampah dan tidak tercemar dengan tumpahan minyak. Ini kerana ianya akan menganggu tumbesaran benih kupang yang akhirnya akan menjejaskan saiz kupang yang ingin dituai. Kupang sesuai diternak pada musim panas iaitu di bulan Januari hingga Februari dan akan dituai pada bulan Julai hingga September. Pada ketika ini, kadar taburan hujan di kawasan Johor kurang dan angin tidak bertiup dengan kencang. Penternakan kupang tidak memerlukan pemerhatian yang khusus dan rapi namun ianya memerlukan kos yang tinggi untuk membeli tong plastic dan tali rawai. Kos permulaan penternakan kupang menelan belanja kira kira RM 30 000.00 termasuk harga pembinaan jeti pemprosessan kupang segar. Kawasan perairan yang sesuai dan selamat dipilih perlu bersih dari sebarang tumpahan unsur minyak kerana ianya akan menjejaskan kualiti kupang yang diternak.

Tong pelampung akan diikat menggunakan tali yang kuat dan direntang atau diapungkan ke kawasan tapak perairan. Tali rawai akan di ikat di selang tong pelampung tersebut. Sebanyak 50 hingga 60 tali rawai boleh diikat di tong tersebut. Benih kupang akan dilepaskan dan akan membesar di tali rawai tersebut. Selang beberapa minggu selepas pelepasan anak benih kupang, pengusaha perlu mengangkat tali rawat untuk memeriksa dan memastikan kupang membiak dan melekat di tali tersebut. Masalah yang sering dihadapi oleh pengusaha ternakan kupang adalah masalah keguguran kupang yang berpaut di tali rawai. Ini berlaku kerana sebanyak 250 hingga 300 kupang akan berpaut di tali tersebut, Kupang yang bersaiz besar akan menguasai tali rawai berbanding kupang bersaiz kecil. Oleh itu, penggunaan tali rawai yang banyak diperlukan diikat di tong pelampung. Pukulan arus deras dan ombak dari enjin bot yang melalui kawasan tersebut juga akan menyebabkan kupang gugur dari tali rawai. Malah kadangkala tali yang mengikat tong pelampung akan terbuka dan menyebabkan tali rawai terlepas dari ikatan tong. Ada juga tong yang pecah dan rosak dipukul ombak kuat. Oleh itu, adalah dilarang penggunaan enjit bot berkuasa besar di kawasan penternakan kupang kerana ianya akan menjejaskan tumbesaran dan pembiakannya.

PENUAIAN KUPANG

Kupang yang telah mencapai usia matang iaitu 10 bulan dan ianya telah sedia untuk dituai. Tali rawai yang terletak dengan kupang boleh mencapai berat diantara 100 hingga 300 kg bergantung kepada lokasi dan musim penternakan. Tali rawai akan dinaikan ke atas bot dan dibawa ke jeti pemprosessan. Di sana, kupang akan dipisah dari tali rawai dan dikumpulkan dalam bakul besar. Air bersih disiram bagi membersihkan kupang dari kotoran yang melekat dikulitnya. Harga kupang segar boleh dijual dengan harga RM 3.00 hingga RM 6.00 sekilogram dan ada juga pengusaha akan mengopek kupang untuk dijual secara sejuk beku untuk pasaran eksport. Pendapatan sebanyak hampir RM 50 000.00 ke RM 60 000.00 telah diraih oleh pengusaha yang mengusahakan penternakan kupang ini. Pendapatan lumayan dijanjikan kepada sesiapa yang berminat untuk menceburi industri akuakultur ini. Pelbagai kursus dan taklimat dari Jabatan Perikanan dan LKIM sediakan pada sesiapa yang berminat dan mempunyai kesungguhan yang tinggi untuk menceburi dan menguasai bidang ini kerana penternakan kupang tidak memerlukan penjagaan khusus tetapi ianya memerlukan teknologi serta persekitaran perairan yang sihat dan bersih untuk berkembang maju.

Harress
Latest posts by Harress (see all)

About Harress

Senior Editor myagriDotComDotMy yang serius sewaktu berkebun.
This entry was posted in Agro-pelancongan, Ternakan air and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply