Pucuk Midin

Bagi sesiapa yang berpeluang menetap, melancong atau bekerja ke negeri Sarawak pasti tidak akan melepaskan peluang untuk merasai masakan pucuk midin goreng belacan. Ianya suatu hidangan istimewa oleh penduduk tempatan dan pelancong asing kerana ianya sukar untuk ditemui di negeri lain. Pucuk midin ini dihidangkan semasa panas bersama nasi putih dan hidangan juadah makanan laut yang lain. Aroma juadah ini pasti akan membangkitkan selera sesiapa sahaja untuk menikmatinya.

Di Sarawak, ianya mudah didapati dijual di pasar basah di sekitar pasar Satok Kuching, Mukah, Marudi dan pekan kecil di negeri kenyalang itu. Selain di Sarawak, pucuk midin juga boleh ditemui di negeri Johor dan Selangor tetapi ianya amat sukar untuk ditemui hanya di pasar pasar tertentu sahaja kerana penanaman sayuran ini tidak dilakukan secara komersial di negeri semenanjung Malaysia. Malah pasti ada yang mengirimkan pesanan pembelian pucuk midin dan dibawa ke Semenanjung melalui penerbangan.

Namun kesegaran pucuk midin akan terjejas sedikit akibat penyimpanan yang tidak sempurna kerana pucuk midin boleh tahan dibawah suhu dingin (peti sejuk) selama 5 hingga 8 hari. bahagian pangkal sayur pucuk midin ini perlu dibasahkan sedikit dan dibalut menggunakan daun pisang bagi mengekalkan kesegaran sayuran ini.

Pelbagai khasiat kesihatan yang terkandung di dalam sayuran pucuk midin ini seperti Vitamin C, B2, karbohidrat, protein, serat, lemak dan pelbagai zat lagi. Selain dari digoreng, pucuk midin yang boleh dimakan selepas direbus sebagai ulam. Bagi 100 gram pucuk midin, ianya terkandung 4.8mg zat besi, kaya dengan mineral fosforus dan kalium serta dikatakan ianya boleh merawat penyakit rabun malam. Kandungan Vitamin A (beta karotin) boleh menguatkan penglihatan manusia dan boleh mengubati penyakit cirit birit.

ASAL USUL & CIRI- CIRI MORFOLOGI

Pucuk midin berasal dari keluarga Pteridophyte dan nama sainstifiknya adalah Stenochlaena palustris. Di Selangor dan Johor, ia juga dikenali sebagai pucuk paku merah dan tumbuh meliar di kawasan tanah rendah hutan sekunder dan hidup menumpang di pokok lain. Kawasan tanah berasid dan sinaran cahaya matahari yang tinggi menggalakan pertumbuhan pucuk midin ini dengan pantas. Ia dikategorikan sebagai tanaman semusim rizomatus dan epiphytic dimana akar tumbuhan ini memegang tanah dengan akar serabut.

Daun pucuk midin lembut dan berwarna hijau muda dengan kuantiti daun 2 hingga 6 helai daun yang berpegang pada batang bulat berwarna hijau muda. Ia akan menghasilkan pucuk baru dari pangkal tumbuhan pada setiap masa dalam tempoh yang singkat terutama pada musim panas. Pucuk muda berwarna hijau sangat lembut dan bergulung. Pelepah berdaun kecil berspora tidak dimakan kerana ianya rasa pahit dan tidak sedap.

PENANAMAN PUCUK MIDIN

Pucuk Midin boleh ditanam di pelbagai jenis tanah terutama di tanah gambut (mempunyai kelembapan yang tinggi dan mempunyai sistem pengaliran air yang baik. Kandungan organik yang tinggi dalam tanah menyebabkan tumbuhan liar ini hidup dengan subur dan baik. Kawasan tanah tersebut perlu dibajak dan digembur supaya kandungan mineral di dalam tanah dapat dipergunakan. Pengapuran dilakukan semasa proses pembajakan dengan menabur kapur di dalam tanah. Baja organik tahi ayam pada kadar 2 hingga 5 tan sehektar digaul pada tanah sebelum dan selepas penanaman bagi meningkatkan kesuburan tanah.

Benih tanaman diperoleh dari tumbuhan liar ini dengan mengeluarkan pokok induk dari tanah dan pastikan tiada kecacatan pada akar pokok. Daun daun dibuang terlebih dahulu, dibersihkan dan disimpan ditempat redup dan lembap selama 3 hingga 4 hari. Benih akan ditanam terus ke dalam tanah tanpa batas dengan jarak tanaman 30cm antara tanaman dan jarak baris antara 2 baris tanaman adalah 30cm. Benih akan ditutup dengan sungkupan seperti jerami padi atau daun lalang kering bagi mengelakkan benih kekeringan dan mati akibat kepanasan sinaran matahari serta mengekalkan kelembapan tanah.

PENJAGAAN TANAMAN

Pembajaan dilakukan 4 kali setahun selepas proses penuaian pucuk midin dilakukan. 800kg Baja NPK (15:15:15) ditabur bagi 1 hektar tanah sekali setahun atau 200kg setiap kali giliran pembajaan. Aktiviti pemulihan dan aktiviti cantasan dilakukan secara berglir-gilir dimana aktiviti pemulihan akan berlaku selepas penanaman dan kutipan hasil. Semua tunas pucuk dibiarkan matang menjadi daun dewasa tetapi pertumbuhan dikawal supaya ianya tidak melebihi 3 pokok setiap rumpun. Anak pokok baru yang tumbuh akan dicabut untuk dijadikan benih.

Selepas proses pemulihan selesai dalam tempoh 2 bulan, aktiviti cantasan boleh dilakukan dimana semua daun matang akan dicantas pada paras tanah. Pucuk muda dibiarkan untuk dijadikan sayuran dalam masa sebulan. Pucuk midin akan membesar dengan cepat dan sesuai untuk dipetik 5 hingga 6 hari selepas kemuculan pucuk tersebut. Pucuk midin dituai dengan memotong 3 hingga 5 inci panjang pucuk dengan tangan atau pisau. Ia akan dikumpulkan dan diikat dengan getah dan dijual dengan harga RM 1 sekilogram sehingga RM 3 sekilogram.

Harress
Latest posts by Harress (see all)

About Harress

Senior Editor myagriDotComDotMy yang serius sewaktu berkebun.
This entry was posted in Hidroponik, Pertanian Umum, Tanaman Fertigasi, Ulaman and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply