Fertigasi: Gerak Kerja

Gerak Kerja merupakan satu proses membangunkan atau menjalankan projek pertanian.

Tetapi pada artikel kali ini, saya akan tekankan kepada gerak kerja projek fertigasi.

Ramai pengusaha terutama pengusaha baru yang nak bermula dengan projek pertanian terutama projek fertigasi buntu atau keliru dengan gerak kerja ini.

Saya perhatikan ramai pengusaha baru keliru atau gelojah dalam menjalankan projek fertigasi ini.

Sebagai contoh, selesai sahaja proses penyediaan tapak dan membangunan infrastruktur ladang, pengusaha akan terus mula menyemai biji benih tetapi polibeg dan sistem pengairan fertigasi belum dipasang dan disusun lagi.

Ramai pengusaha akan kantoi di sini.

Anak benih tanaman akan membesar setiap hari.

Sebagai contoh, anak benih cabai fertigasi akan dipindahkan ke polibeg pada usia 18 – 21 hari selepas bercambah.

Bayangkan jika polibeg dan sistem pengairan belum siap tetapi anak benih telah sedia dipindahkan ke polibeg. Haru jadinya.

Anak benih tua prestasi pertumbuhannya kurang cantik berbanding benih muda.

Di dalam fertigasi ada gerak kerja atau langkah yang boleh diikuti oleh pengusaha baru.

Tetapi perkara yang paling utama adalah perancangan serta proses pengumpulan maklumat dan latihan sebelum projek bermula.

Berikut adalah gerak kerja projek fertigasi serta cadangan masa pelaksanaannya:

1. PENYEDIAAN TAPAK PROJEK

– Masa pelaksanaan bergantung kepada keluasan, jenis hutan serta kecerunan kawasan projek.

2. PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR

– Masa pelaksanaan bergantung kepada jenis infrastruktur yang didirikan. Sebagai contoh jika Struktur Pelindung Hujan, tempoh pemasangan adalah sekitar 1 – 2 minggu bagi satu unit SPH bersaiz 20′ X 100′.

3. PEMASANGAN SISTEM PENGAIRAN DAN PENYEDIAAN BEG TANAMAN

– termasuk proses pemasangan sistem pengairan daripada tangki air, pam air dan polipaip, mengisi media ke dalam polibeg, kerja – kerja menyusun polibeg ke barisan tanaman atau plot serta pemasangan pacang sokongan tanaman. Kebiasaanya kerja – kerja pemasangan ini bergantung kepada jumlah polibeg. Kebiasaanya, proses mengisi media ke dalam polibeg adalah kerja yang paling rencam di dalam gerak kerja fertigasi. Tetapi kadar industri sekarang, seorang pengusaha mampu mengisi 500 polibeg sehari. Bagi kerja – kerja pemasangan sistem pengairan boleh dipermudahkan dengan langkah yang betul. Saya sendiri mampu melakukan kerja – kerja pemasangan sistem pengairan fertigasi bagi 10,000 polibeg dengan hanya menggunakan 2 orang pekerja sahaja dalam tempoh masa 3 hari.

4. PENYEDIAAN BIJI BENIH

– Penyemaian biji benih hanya boleh dilakukan selepas kerja pemasangan sistem pengairan siap. Ramai pengusaha mengabaikan gerak kerja ini dengan bermula dengan penyemaian biji benih cili terlebih. Apa yang dikhuatiri adalah, anak benih tanaman akan membesar jika kerja pemasangan sistem pengairan tidak dapat disiapkan, anak benih tanaman akan menjadi benih tua. Diingatkan sekali lagi, anak benih tanaman tua tidak aktif. Sebagai contoh anak benih tanaman cili berusia sebulan ke atas akan kurang prestasinya dan memberikan pokok cili yang rendah dan hasil yang rendah.

5. PENYEDIAAN ANAK BENIH

– Kerja pengurusan dan penjagaan anak benih tanaman. Tempoh masa bergantung kepada jenis tanaman. Sebagai contoh tempoh penjagaan anak benih cili adalah sekitar 18 – 21 hari sebelum anak benih dipindahkan ke polibeg.

6. PENANAMAN

– Bermula dengan proses memindahkan anak benih tanaman ke polibeg. Proses memindahkan anak benih tanaman perlu dihabiskan di dalam tempoh masa seminggu bagi memastikan anak benih mencapai pembesaran yang seragam. Sebagai contoh, jika pengusaha mempunyai 10,000 anak benih yang perlu dipindahkan ke dalam polibeg, pengusaha perlu menyelesaikan proses memindahkan anak benih di dalam tempoh masa satu minggu. Seterusnya kerja kawalan penyakit dan serangga perosak secara berkala dan pembajaan tanaman.

7. PENGURUSAN SISTEM PENGAIRAN

– Pengurusan sistem pengairan meliputi kerja penyelenggaraan secara berkala. Tempoh sepanjang musim penanaman.

8. MEMBUAT CANTASAN / MEMBUANG TUNAS AIR

– Kerja – kerja membuang tunas air atau sulur. Kebiasaanya bermula seawal 3 – 5 minggu selepas anak benih cili dipindahkan ke polibeg. Perlu dimula awal bagi mengelakkan pembesaran tanaman terganggu.

9. PENUAIAN

-Kerja – kerja penuaian hasil tanaman. Tempoh bermula bergantung kepada jenis tanaman. Sebagai contoh tanaman cili boleh diharvest di dalam tempoh 55 – 75 hari selepas pindah ke polibeg. Kerja – kerja penuaian boleh diprogram mengikut hasil yang ingin dijual oleh pengusaha. Kebiasaanya pengusaha akan mengutip cili mengikut pesanan pemborong.

10. PENGREDAN DAN PEMASARAN

– Kerja pengredan perlu dilakukan sebelum hasil tanaman dijual. Ini dapat memastikan pengusaha mendapat harga yang lebih baik. Kerja pengredan dilakukan sejurus kerja – kerja penuaian tamat. Selepas selesai pengredan, hasil tanaman akan dipasarkan.

Berikut adalah 10 gerak kerja fertigasi secara amnya.

Kongsikan!
  • 18
  •  
  •  
  •  
    18
    Shares
This entry was posted in Fertigasi and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply