PENEMUAN VARIETI BARU UBI KELEDEK UNGU, MARDI

BACHOK 24 Sept — Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman (tiga, kanan) melihat Keledek Ungu selepas merasmikan Varieti Baharu Keledek UnguI Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) di Mardi Bachok, Mukim Telong Jalan Kandis hari ini.
Turut hadir Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Awang Adek Hussin (dua, kanan).
— fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

BACHOK, 24 Sept – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hari ini memperkenalkan tiga varieti baharu ubi keledek ungu dalam usaha untuk menyokong dan merancakkan kembali pengeluaran hasil tanaman itu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata tiga varieti baharu itu dikenali sebagai Keledek Anggun 1, Anggun 2 dan Anggun 3 dihasilkan menerusi penyelidikan ke atas varieti Keledek Ungu 2, Keledek Ungu 5 dan Keledek Ungu 6 sejak beberapa tahun lepas.

“Harga pasaran bagi varieti ubi keledek ini adalah RM2.50 sekilogram dan satu hektar tanah mampu mengeluarkan 20 hingga 30 metrik tan ubi keledek, manakala tempoh tanaman pula antara tiga hingga empat bulan sahaja.

“Petani mampu memperoleh jualan sehingga RM60,000 bagi satu musim penanaman dengan modal yang dikeluarkan adalah sebanyak RM20,000 kerana ia memerlukan input pertanian yang rendah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan varieti ubi keledek berkenaan di Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mardi di Telong di sini, Ahad.

Hadir sama Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Sharif Haron dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Awang Adek Husin.

Antara keistimewaan varieti baharu ubi keledek itu adalah mudah hidup walaupun dalam keadaan tanah yang kurang subur, toleran kepada cuaca kemarau dan tahan serangan penyakit serta serangga perosak berbanding tanaman sayur-sayuran yang lain.

Ia juga mengandungi nilai nutrisi yang tinggi selain bahan antioksida dipanggil antosianin yang berkesan dalam mencegah dan mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti kanser dan gangguan kardiovaskular.

Varieti baharu ubi keledek ungu itu sangat sesuai diperkenalkan untuk program makanan sekolah, makanan bayi, ahli sukan dan makanan kepada golongan tertentu, sekaligus memberi peluang besar kepada industri untuk meningkatkan hasil pendapatan petani dan pengusaha menerusi pelbagai produk hiliran, kata Tajuddin.

-Sumber Bernama-

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in KELEDEK and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply