HARI PELADANG, PENTERNAK DAN NELAYAN KEBANGSAAN (HPPNK) 2017

Apabila anda menyuap nasi, menikmati lauk semasa makan, pernah terfikir siapakah memberi anda makan. Memang betul anda mencari rezeki masing-masing tetapi siapakah menghasilkan makanan itu untuk anda?

Mahu tidak mahu, kita kena mengakui golongan petani, peladang, nelayan dan penternak yang berada di luar bandar inilah sebenarnya wira yang selama ini ‘menyuap’ makanan ke mulut kita kerana merekalah yang menanam padi, menanam sayur-sayuran, memelihara ikan dan menangkap ikan di laut serta pelbagai sumbangan lain.

Menyedari betapa besarnya sumbangan mereka itu, maka kerajaan melihat perlunya menghargai golongan tersebut. Justeru itu, sejak 42 tahun lalu, kerajaan menganjurkan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) dengan tujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan dan menganggap inilah cara kita berterima kasih kepada mereka.
Apatah lagi, sebahagian besar golongan tersebut sehingga kini masih dikategorikan sebagai miskin dan ketinggalan, sedangkan sumbang mereka tidak ternilai.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pada penganjuran kali ini, dua kelainannya adalah penganjurannya di ubah ke ibu kota dan tidak lagi di negeri- negeri seperti sebelum ini. Ini bertujuan supaya semua dapat datang menikmati apa juga program yang dianjurkan dan diadakan termasuklah pameran, festival makanan, pameran ternakan, pelancongan pertanian dan kem belia pertanian.

Penganjurannya kata Ahmad Shabery, dibawa ke ibu negara dengan matlamat mengangkat profesion pertanian ke peringkat tinggi supaya golongan tersebut tidak terus diberi gambaran sebagai petani miskin. Pada hari ini katanya, ekoran usaha kerajaan mentransformasikan pertanian, banyak kemajuan telah dicapai dari segi penggunaan teknologi baharu, benih berkualiti, penggunaan jentera berteknologi tinggi dan pengeluaran hasil yang tinggi.

Ramai petani kini bertaraf usahawan yang mengusahakan pertanian berskala besar dan komersial menggunakan baka tahan penyakit dan cuaca serta penghasilan yang tinggi. Ini bermakna, golongan tersebut semakin keluar daripada kepompong kemiskinan. Dahulu kita mendengar nelayan terpaksa meminjam beras daripada jiran pada musim tengkujuh, tapi sekarang tak ada berlaku lagi.

Berikutan dengan harga hasil pertanian yang semakin meningkat, segelintir petani kini sudah bergelar usahawan termasuklah antaranya penanam durian kerana harganya sudah bernilai premium. Sebahagian besar golongan tersebut kini boleh menarik nafas lega kerana kejayaan mereka menghasilkan benih yang bernilai tinggi dan mengeluarkannya pada skala komersial selain pasarannya yang mendapat permintaan tinggi.

Kita lihat sudah ada kekayaan baharu bagi penanam durian baka Musang King ekoran permintaan tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa. Makanan berasaskan durian semua orang cari. Durian bukan sekadar makanan tetapi menghasilkan industri hiliran yang boleh memberi kekayaan baharu. Begitu juga indusri ternakan ayam yang kini mencetuskan industri hiliran dan menghasilkan ayam premium.

Semoga HPPNK menjadi salah satu titik tolak kepada pembangunan sektor pertanian di negara ini dan seterusnya mampu bersaing di peringkat antarabangsa atau bertaraf global. Saya juga berharap agar pameran pada kali ini dimanfaatkan oleh usahawan, pemain industri dan juga pengunjung dalam mewujudkan jaringan perniagaan dengan pelbagai pihak.

Tarikan utama HPPNK 2017

Penganjuran HPPNK 2017 adalah satu platform untuk menghargai dan meraikan mereka yang terlibat dalam penyediaan makanan kita pada semua peringkat, dari pengeluaran iaitu petani, penternak dan nelayan, kepada mereka yang memproses, memasak dan menghidangkan makanan. Ia juga menonjolkan segala teknologi dan inovasi yang digunakan dalam industri makanan.

Pada HPPNK 2017, pengunjung boleh Menerokai Dunia Makanan, dari ladang dan lautan ke meja hidangan. Sektor swasta dan industri turut tidak mahu melepaskan peluang untuk terlibat dalam program kali ini.

Dalam pada itu golongan peladang, penternak dan nelayan adalah golongan yang diraikan, dihargai dan diberi pengiktirafan dalam HPPNK 2017 menerusi pertandingan hari peladang dan pameran hasil pertanian.

Festival Makanan Malaysia 2017 (MFF2017), iaitu satu ekspo yang menawarkan pengalaman mengenai makanan, masakan, teknologi makanan dan seni hidangan. Pengunjung dapat mendalami aspek pengeluaran, penghasilan dan persembahan makanan di negara ini.

Antara yang menarik dan ditampilkan dalam HPPNK 2017 ini adalah komponen empayar makanan akan membawakan gerai dan trak makanan yang menjual 400 menu juadah dari seluruh negara, sama ada yang biasa, yang popular mahu pun yang eksotik.

Dalam masa yang sama, jualan hasil pertanian segar dari ladang pada harga berpatutan, termasuk sayuran, buah-buahan, dan bunga-bungaan, manakala komponen Malaysia Seafood & Fishery Product bakal menampilkan pameran dan jualan hasil laut dan akuakultur, teknologi serta inovasi perikanan.

Antara produk premium bernilai tinggi adalah ikan tuna, udang dan rumpai laut serta inovasi produk terkini seperti lemang sushi, kuro prawn, churros lekor, sate tuna dan snow fish. Jangan lepaskan peluang untuk juga melihat demonstrasi masakan tradisi negeri berasaskan perikanan.

Satu lagi yang dijangka menarik adalah komponen Livestock Malaysia, yang bakal menampilkan pameran haiwan hidup pelbagai baka serta petting zoo.

Bagi yang terlibat dalam bidang ternakan pula boleh dapatkan maklumat mengenai teknologi, genetik, kesihatan haiwan, makanan haiwan, kawalan penyakit, MyGap dan sebagainya.

Produk hiliran seperti makanan untuk kesihatan dan wellness seperti madu kelulut, rumpai laut, sarang burung walit, minyak kelapa dara, durian belanda dan fruit powder ke arah gaya hidup yang sihat boleh didapati di ruang pameran sekitar MAEPS.

Dalam masa sama, HPPNK 2017 turut menampilkan teknologi dan inovasi terbaharu dalam bidang pertanian ditonjolkan dalam komponen mekanisasi Agromakanan.

Ini termasuklah antaranya pameran, jualan dan demonstrasi jentera, perkakasan, dron dan sebagainya. Pameran lain antaranya ruang Agrobazaar akan mempromosikan portal online shopping menerusi Agrobazaar.com serta menghimpunkan usahawan industri asas tani yang mempromosi dan menjual produk sedia untuk dieksport keluaran mereka selain memaparkan maklumat mengenai MyGap, MyOrganic dan MyAgrosis serta produk keluaran mereka.

Turut ditampilkan adalah Komponen AgroTrip yang mempromosi dan mengetengahkan pusat agropelancongan dalam negara, serta memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman terlibat dalam aktiviti pertanian.

Bagi golongan muda, mereka boleh menyertai Agro Job Fair yang menawarkan 3,000 peluang pekerjaan di 40 syarikat dalam industri pertanian manakala Agroyouth Camp, melibatkan 1,000 anak muda berkhemah di MAEPS dan menjalankan pelbagai aktiviti sepanjang HPPNK 2017 dengan tujuan memupuk semangat dan cinta mereka terhadap bidang pertanian, serta memberi pendedahan bahawa industri pertanian juga mampu menjana pendapatan yang tinggi.

Komponen seterusnya adalah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan Mobile CTC memaparkan pelbagai manfaat yang dapat disampaikan kepada rakyat menerusi projek NBOS, yang melibatkan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dengan kementerian-kementerian lain.

This entry was posted in HPPNK 2017 and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink.