JANTUNG PISANG


JANTUNG PISANG atau ‘Banana Flowers’ adalah bunga yang dihasilkan oleh Pokok Pisang (Musa spp.) iaitu sejenis tumbuhan dari kelurga Musaceae yang berfungsi untuk menghasilkan buah pisang. Kini jantung pisang sesuai dimakan sebagai ulam atau sayuran bagi spesis pisang tertentu. Jantung Pisang bagi kebanyakan spesis pisang yang boleh dimakan boleh dipetik, dimasak dan dimakan. Antara jenis jantung pisang yang popular di kalangan orang Malaysia adalah Jantung Pisang Nipah atau Pisang Kapok, Jantung Pisang Nangka, Jantung Pisang Embun, Jantung Pisang Raja dan beberapa jenis lagi.

Kalau dahulu jantung pisang hanya dimakan oleh masyarakat kampong sahaja tetapi kini saya dapati masyarakat bandar telah makan jantung pisang yang dibeli dari pasar basah, pasar tani atau pasaraya. Beberapa hotel dan restoran telah pun mengkomersilkan jantung pisang sebagai hidangan istimewa kepada pelanggan.

Jantung Pisang dihasilkan semasa proses pokok pisang berbunga dimana ia akan menghasilkan tandan pisang sehingga lengkap. Satu pokok pisang lazimnya hanya akan mengeluarkan satu tandan pisang dan satu biji jantung pisang sahaja. Jantung Pisang yang berwarna Coklat-Ungu Gelap dan mempunyai kelopak atau ‘kulit luar’ dimana didalamnya ada bunga berwarna kuning keputihan dipangkal kelopak. Ukuran jantung pisang sekitar 25-40 cm dengan ukurlilit tengah jantung 12-25 cm. Kulit jantung pisang luar adalah sederhana keras dan akan terbuka apabila sampai waktu bagi mendedahkan bunga betina.

Bunga Betina dan bunga jantan ini menghasilkan manisan atau nektar bagi menarik serangga menghisapnya dan menjalankan proses pendebungaan. Beberapa haiwan pendebunga atau menyedut nektar seperti Kelawar Kecil, Kupu-kupu, Rama-rama, Burung kecil (Kelicap), Semut, Lebah Madu dan sebagainya. Bunga Jantung Pisang Kapok merupakan antara bunga pisang yang paling manis dan paling banyak dikunjungi serangga.

Struktur jantung pisang mempunyai banyak lapisan kulit daripada yang paling gelap coklat-ungu kemerahan dibahagian luar kepada warna putih krim susu iaitu dibahagian dalam. Terdapat susunan bunga berbentuk jejari diantara kulit tersebut dan ditengahnya empulur yang lembut. Jantung pisang lazimnya akan mengeluarkan sejenis cecair berwarna jernih jika dilukakan dan akan bertukar menjadi pudar apabila terdedah kepada udara. Cairan ini akan menyebabkan baju yang terkena akan menjadi buruk dan sukar dicuci bersih.

Keratan rentas akan menunjukkan jantung pisang mempunyai 3-6 lapisan bergantung kepada saiz dan spesis. Ketebalan setiap lapisan ini sekitar 4 – 8 mm bergantung kepada spesis pisang dan kesuburan pokok. Lapisan yang paling dalam lazimnya paling enak direbus untuk dimakan kerana ianya lembut dan kurang kelat rasanya pada spesis tertentu.
Jantung Pisang popular dijadikan makanan di kawasan Asia Tenggara sebagai menu istimewa dengan pelbagai jenis resepi makanan. Antara resepi jantung pisang adalah seperti Jantung Pisang Rebus, Jantung Pisang Kukus, Kerabu Jantung Pisang, Salad Jantung Pisang, Jantung Pisang Masak Lemak Cili Api, Jantung Pisang Masak Sambal dan sebagainya.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in JANTUNG PISANG and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply