SISTEM RAS


RAS adalah singkatan kepada Recirculating Aquaculture System. RAS adalah sistem yang dihasilkan dalam permbersihan kolam ternakan di mana ia diwujudkan bagi menjaga kualiti air dalam penternakan ikan. Ia boleh diaplikasi kepada apa jua jenis kolam ternakan.

Jika dulu, untuk menceburi industri akuakultur memerlukan tanah luas, penggunaan air banyak dan modal besar, kini selari dengan perkembangan semasa, industri ini sangat mudah diceburi, asalkan mempunyai minat. Kebanyakan yang menceburi bidang akuakultur ini biasanya memilih kaedah paling mudah dan tidak memerlukan modal besar iaitu menternak ikan dalam sangkar dan kolam.

Sistem ini menjalankan empat fungsi utama iaitu membuang kumuhan pada dasar dan yang terapung, menukar ammonia dan melakukan pertukaran gas karbon dioksida kepada oksigen. Kebanyakan reka bentuk sistem RAS mempunyai penapis berlainan untuk melakukan keempat-empat fungsi berkenaan dan untuk membersihkan penapis itu hanya memerlukan masa lima minit.

Penapis ini mempunyai ketinggian 0.6 meter x 0.6 meter dan dipasang bersama tangki fiber berukuran 4 m x1 m serta tebal 4 mm berupaya memelihara sehingga 1,000 ekor ikan seberat 500 gram setiap ekor dengan kadar penukaran air rendah. Sistem ini juga boleh beroperasi secara sendiri tanpa perlu dikawal rapi. Ia direka dengan teknologi tinggi dan boleh digunakan bagi menjalankan aktiviti ternakan ikan secara besar-besaran.

Penggunaan sistem modul ini dapat mengawal penyakit dan pembesaran ikan lebih cepat berbanding kaedah konvensional. Ikan dipelihara mengalami kadar tekanan rendah, secara tidak langsung menghasilkan ikan berkualiti dan mempunyai harga tinggi. Sistem ini membolehkan kawalan persekitaran dilakukan seperti suhu, kandungan air, cahaya ke tahap optima atau diubah suai mengikut kesesuaian spesies ikan.

Justeru menerusi sistem ini ia membolehkan usaha ternakan dilakukan pada bila-bila masa bagi menjamin bekalan berkekalan terutama ikan yang mengikut musim. Sistem ini mudah diuruskan dan penjagaannya sangat mudah. Pemerhatian, penggredan, pemberian makanan, rawatan dan penuaian dapat dilakukan dengan mudah disebabkan kawasan kecil dan teratur. Kelebihan lain sistem ini ialah berupaya meniru habitat semula jadi spesies ikan tertentu. Keupayaan mengasingkan stok ikan membolehkan pengasingan parasit serta makhluk perosak lain dikurangkan.

Format penternakan ini membolehkan golongan sasaran membabitkan diri dalam bidang akuakultur sama ada sebagai pendapatan tambahan atau utama.

This entry was posted in RAS and tagged , , , . Bookmark the permalink.