TEMBAKAU


Tembakau (Nicotiana spp.) merupakan salah satu tumbuhan herba semusim yang ditanam untuk mendapatkan daunnya. Tumbuhan ini termasuk dalam famili Solanaceae. Bahagian yang digunakan adalah daun yang seterusnya diproses menjadi daun kering yang dipanggil tembakau. Daun-daunnya digunakan untuk membuat rokok dan cerut.

Ia boleh tumbuh dalam keadaan iklim yang berlainan. Suhu yang panas dan lembap dengan hujan sepanjang masa, semasa sedang tumbuh adalah bersesuaian. Di masa menuai pula, musim kering adalah perlu supaya daun-daun yang bermutu boleh didapati. Pemilihan jenis baja amatlah penting bagi tanaman tembakau. Daun-daun tembakau yang bermutu hanya boleh dihasilkan di kawasan-kawasan tertentu sahaja. Jenis yang sama jikalau ditanam di kawasan yang mempunyai tanah yang berlainan boleh menghasilkan mutu daun yang rendah.

Tanah liat yang padat serta subur boleh menghasilkan daun-daun tembakau yang lebar saiznya. Ia lebih tebal dan kasar serta sesuai untuk membuat cerut dan tembakau paip. Tetapi tanah peroi serta berhumas pula boleh menghasilkan daun-daun bersaiz kecil serta lembut dan sesuai untuk membuat tembakau rokok. Pokok-pokok tembakau subur boleh hidup dengan ketinggian sehingga 2m. serta kelebaran daun 30cm – 40cm lebar dan 50cm panjang.

Daunnnya mestilah berwarna perang muda atau kuning keemasan dan mempunyai bau wangi, rasa sedap serta dapat mengeluarkan asap berasid. Daun sedemikian rupa perlu mengandungi banyak karbohidrat dan sedikit amida. Dengan menggunakan baja yang mengandungi sedikit nitrogen, banyak fosfat dan kalsium. Sebaliknya daun-daun yang digunakan untuk membuat tembakau cerut mestilah mempunyai warna perang tua, mengeluarkan asap beralkali dan mempunyai urat-urat daun yang halus.

PENANAMAN TEMBAKAU
Pokok tembakau adalah tanaman satu musim dengan tempoh tanaman yang singkat kira kira 4 bulan sahaja. Pokok tembakau yang sihat dan matang boleh menghasilkan kira kira sejuta biji benih tembakau setiap tahun bagi membekalkan 40 hektar tembakau.

Di Kelantan, LTKN akan memberikan kuota penanaman kepada peladang sebagai kebenaran untuk menanam tembakau ianya bagi memastikan hasil daun tembakau yang kering berkualiti dan mempunyai jaminan pasaran. Kawasan Tok Bali dan Bachok adalah kawasan utama penanaman tembakau yang mempunyai jenis tanah liat berpasir.

Benih tembakau akan disemai di atas tanah semaian selama 12 minggu sebelum dipindahkan ke atas batas di plot tanaman. Pada ketika ini, anak pokok tembakau mempunyai ketinggian disekitar 15cm hingga 20cm dengan kepadatan daun hijau sebanyak 20 hingga 22 helai. Penyediaan batas amatlah penting bagi mengelakkan akar pokok tembakau terendam ketika musim hujan lebat melanda. Pokok tembakau akan disiram dengan air di waktu pagi dan petang.

Ketika tempoh matang, pokok tembakau mempunyai 28 hingga 32 daun yang lebar dan besar mengikut varieti yang ditanam. Daun tembakau akan dikutip, diasingkan dan dikeringkan di bangsal pengeringan.

Daun tembakau akan melalui proses pengilasan (menyusun) dan diikat pangkalnya dengan tali raffia. Kemudian, tembakau akan dimasukkan ke dalam bilik pengawetan menggunakan serombong corong yang mengambil masa 5 hingga 7 hari.

Kemudian, daun tembakau yang telah benar benar kering akan diikat dan ianya akan melalui proses pengredan. Tembakau mempunyai gred 1 hingga gred 8 mengikut keperluan syarikat penghasil rokok. Harga pasaran bagi gred 1 adalah kira kira RM 14 hingga RM 15 sekilogram.

Musuh utama tanaman tembakau adalah reput hitam akar. Selain itu, ulat kudup, kumbang pinjal, belalang dan lain serangga juga sering dijumpai di daun pokok tembakau. Amalan penggiliran tanaman dan amalan pengurusan yang baik patut diamalkan oleh pengusaha ladang tembakau bagi mengelakkan tanaman dimusnahkan oleh serangga dan terkena pelbagai jenis penyakit.

Kongsikan!
  • 8
  •  
  •  
  •  
    8
    Shares
This entry was posted in tembakau and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply