TISU KULTUR NENAS


Teknologi Tisu Kultur Tumbuhan (Plant tissue culture) kini semakin menjadi perkara penting dalam sektor pembiakkan bahan tanaman. Teknologi moden ini telah menjadi satu industri yang besar dalam pertanian terutama untuk beberapa jenis tanaman yang bernilai komersil. Dalam pada itu saya mendapati bahawa definisi ‘Kultur Tisu’adalah merupakan satu cara menghasilkan anak pokok yang lengkap bermula dengan sebahagian kecil tisu tumbuhan dalam eksplan, seperti daun, batang atau sel yang dikulturkan dalam media secara steril ataupun aseptik untuk tumbesaran. Maksud perkataan ‘Aseptik’ pula adalah satu keadaan yang bebas daripada mikroorganisma seperti kulat, bakteria dan virus.

Pembiakan mikro (micropropagation)adalah kaedah tisu kultur untuk penghasilan (pembiakkan) anak benih klon. Kaedah pembiakkan tampang ini adalah pilihan utama bagi tanaman yang:
(i) Sukar dibiakkan
(ii) Pembiakan secara biji benih tidak menjamin penghasilan baka tulen
(iii) Tiada kaedah pembiakan tampang lain yang sesuai

Persoalannya, bagaimanakah satu anak pokok baru boleh terhasil daripada tisu dan organ yang dikultur?. Pembiakkan melalui teknik tisu kultur mampu direalisasikan disebabkan oleh konsep yang dipanggil “totipotent” dimana setiap sel tunggal tumbuhan berkebolehan dari segi genetik untuk membahagi, membeza dan berkembang, membentuk satu pokok baru.

Walaupun begitu,bagi penggunaan benih nenas kultur tisu memang tidak disyorkan. Walaupun teknologi makmal mampu menghasilkan benih kultur tisu nenas dengan baik tetapi ia tidak digalakkan untuk ditanam atau dijual kepada petani kerana masalah somaklonal.

Bagi pengeluar benih nenas kultur tisu mereka beria-ia untuk menjual benih mereka dan mendakwa tidak ada masalah dengan benih ini. Apa pun pemerhatian kami, dibanyak lokasi petani yang menanam benih nenas kultur tisu mendapati kes-kes somaklonal memang nyata berlaku seperti di Stesyen LPNM Alor Bukit, Projek Nenas Gemas, Projek Nenas Kg Padang Pan, Bau dan banyak lokasi lain. Peratus kes-kes somaklonal ini tidak menentu tetapi serendah 5% dan ada sehingga lebih 25% dibeberapa lokasi. Penelitian dijalankan pada bahagian daun (berduri penuh, ada anthocyanin, tekstur berlainan dari pokok induk), buah nenas (bentuk yang berlainan, mutan) dan juga isi buah nenas (Kandungan asid citrik, tahap kemanisan Brix) dan beberapa ciri lain.

Jika 5% pokok yang ditanam menggunakan kultur tisu ada masalah somaklonal, berapakah akan berlaku varian pokok yang tidak dikehendaki ini untuk pusingan kedua dan seterusnya jika tidak dapat dikawal dari awal penanaman. Kalau sehektar ada 42,000 pokok ditanam dan setiap pokok ada 5 sulur maka sebanyak 210,000 sulur akan dihasilkan dan jika 5% menjadi somaklonal maka sebanyak 10,500 sulur tidak sesuai untuk dijadikan benih dalam penanaman akan datang. Jika ia ditanam juga maka gandaan pokok yang ada varian somaklonal akan berganda jumlahnya. Kiraan ini tidak memasukkan benih daripada sulur udara dan jambul.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in KULTUR TISU NENAS, nanas and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply