JAMBU KELING?

Jambu Bol (Syngium malaccense) merupakan sejenis pokok buah-buahan saka yang juga di panggil “Malay Apple” atau ada yang panggil Jambu Jamaika atau Jambu Melaka. Nama biasa kampung saya disekitar Pekan,Pahang ialah Jambu Keling yang dimakan segar dan mempunyai bunga yang berwarna merah serta cantik. Pokok Jambu Bol boleh dikategorikan sebagai Jenis Buah Nadir kerana pokok ini kini agak jarang ditemui. Mungkin generasi muda sekarang tidak kenal pun pokok Jambu Bol.

Pokok jambu bol mempunyai batang kayu yang kuat dan mampu tumbuh membesar sehingga 20-25 meter tinggi. Daunnya berwarna hijau gelap dan tebal berukuran 30 cm panjang dan selalunya ada bintil-bintil terkeluat dari lai daun dibahagian bawah. Bunga jambu bol mempunyai jambak berwarna merah ungu dan cantik. Buah jambu bol muda berwarna hijau dan akan menjadi merah ungu bercampur hijau apabila masak. Rasa buah jambu bol sangat masam semasa muda dan bertukar masam manis apabila masak. Biji jambu bol bulat sebesar buah pingpong (Jenis besar) dan keras. Berat buah lingkungan 200-400 gram sebiji yang berangkai antara 6-10 biji satu tangkai. Jika tidak dituai buah jambu bol akan gugur ketanah bersama biji dan akan tumbuh jadi anak pokok. Belum ada buah jambu bol yang diproses untuk dijadikan produk lain sehingga kini. Daun muda atau pucuk jambu bol pernah digunakan sebagai ulam makan dengan nasi seperti rasa daun pokok gajus.

Pokok jambu bol biasa ditanam menggunakan biji matang yang telah bercambah atau ambil anak benih dari bawah pokok sedia ada. Pokok ini belum ada laporan ditanam secara komersil secara tunggal (monocrop) di Malaysia. Pokok ini ditanam keliling rumah oleh orang dulu-dulu sebagai hiasan dan untuk pengeluaran hasil kegunaan sendiri. Pembajaan menggunakan baja organik sebanyak 6 kg sepokok setiap 3 bulan dan baja NPK 15:15:15 sebanyak 1 kg sepokok pada pokok berumur 6 tahun. Ketika pokok berbunga tambah baja NPK sebanyak 330 gram sepokok dan baja tambahan Kalium 330 gram sepokok pada minggu ke 4 dan ke 7. Kajian teknikal menyatakan Kalium akan memaniskan buah dan mengurangkan buah jambu bol gugur. Tambah unsur kalsium (Ca) untuk mengurangkan keguguran buah. Perbanyakan baja organik seperti tahi kambing dan lain-lain baja organik. Amalan membakar sampah atau membakar daun-daun dibawah atau hampir pokok menyebabkan ‘Nafthaline’ dalam asap mempengaruhi pokok untuk kerap berbunga.

Bagi mendapatkan buah berkualiti boleh di buat pembungkusan buah (Jika pokok tidak terlalu tinggi) dan buat penjarangan buah. Serangan Lalat buah (Bactocera spp) akan merosakkan kualiti buah jambu bol dan di kawal sebaiknya dengan kaedah membalut. Musuh lain adalah seperti tupai, monyet, kelawar dan burung yang makan buah hampir masak. Penuaian dijalankan dengan menggunakan galah yang berkarung agar buah tidak jatuh ketanah. Pastikan buah telah cukup masak apabila hampir keseluruhan akan berwarna merah dan gredkan mengikut saiz. Jarang-jarang kita lihat jambu bol di jual dimana-mana tempat di Malaysia. Kalau ada pun mungkin di kedai buah di pekan-pekan kecil. Buah jambu bol yang masak sedap untuk dimakan segar.

Penanaman jambu bol mungkin boleh dijadikan sebagai tanaman keliling rumah di kampong atau boleh di komersilkan jika ada yang berminat. Pihak tertentu boleh mengedarkan dengan percuma atau secara belian kepada penduduk dikampong tradisional dan diklusterkan agar ia mempunyai ‘volume’ yang banyak tujuan pemasaran dan pengurusan agronomi. Beberapa kawasan taman bunga atau tempat rekreasi Majlis Daerah dan Perbandaran wajar di tanam dengan jambu bol untuk rujukkan pengunjung disamping memperkenalkannya kepada generasi muda. Pokok jambu bol perlu didaftarkan varietinya untuk menambah koleksi tanaman ini yang semakin dilupakan.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Jambu Keling and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply