JAMBU SUSU?

Jambu Gelas (Syngium spp) merupakan sejenis buah nadir yang tumbuh di Malaysia dan kini semakin ramai generasi muda yang mengenalinya. Jambu Gelas ini diberikan nama kerana bentuknya yang besar seperti gelas dengan lazimnya berwarna putih susu . Saya mengenali pokok jambu gelas ini kerana ada beberapa pokok jambu ini di Kampung dahulu di Pekan, Pahang yang mana ia berbuah mengikut musim setiap tahun. Kami juga lebih gemar menyebut buah ini Jambu Susu berbanding jambu gelas. Jambu Gelas ini juga dipercayai berasal daripada luar negara atau ada dilaporkan ia adalah natif dari Asia Tenggara. Sesetangah orang ada yang dakwa ia sebagai sejenis Jambu Bol yang berwarna putih tetapi pada saya memang berbeza.

Pokok Jambu Gelas tersebut lazimnya ditanam daripada anak benih yang disemai daripada bijinya. Buah jambu gelas yang masak selalunya ada mengandungi biji benih bersaiz besar guli dan boleh tumbuh apabila ia disemai dalam polibeg. Benih ini boleh ditanam dengan jarak 10 meter x 10 meter dalam bentuk empat segi sama. Lazimnya dengan penjagaan baik ia mula berbunga seawal 5-6 tahun ditanam. Bagaimana pun kini telah ada viral dimana pokok jambu gelas yang masih muda dan kecil ini telah berbunga dan berbuah. Apabila pokok jambu gelas matang maka ia berbunga dengan banyaknya dan bunga tersebut akan mempunyai banyak dimana jadual berbunga ini selalu sama dengan pokok jambu bol. Bunga dengan jambak yang besar ini akan didebungakan serangga dan membentuk putik buah jambu gelas berwarna keputihan.

Lazimnya putik buah yang terbentuk adalah bersaiz kecil dengan warna kehijauan. Jika putik tersebut daripada pokok kecil dan rendah maka pemiliknya boleh membalutnya untuk mengelakkan daripada serangan Lalat Buah (Bactocera carambolae) yang selalu akan menusuk telurnya kedalam putik dan buah jambu. Larva daripada ulat pengorek buah ini akan seterusnya merosakkan buah dan menjadikan buah tersebut tidak sesuai untuk dimakan atau dijual. Pokok jambu gelas sama dengan pokok jambu bol mempunyai daun yang menggerutu atau ada gelembong intil pada permukaan daun. Daunnya yang berwarna hijau muda semasa muda akan bertukar kepada hijau gelap dan berkilat apabila ia sampai peringkat matang. Walaupun buah atau putik jambu gelas ini jarang dibalut pada pokok yang tinggi tetapi serangan oleh lalat buah selalunya merosakkan buah. Sebaiknya jika ada kemampuan buah jambu gelas ini dibalut dengan kertas surat khabar dengan sarung plastik diluarnya. Ini membolehkan buah jambu gelas ini selamat daripada larva lalat buah.

Buah Jambu Gelas yang telah masak akan bertukar daripada warna hijau kepada putih cerah. Buah ini sebaiknya dipetik pada indeks sederhana masak kerana kalau terlalu masak isinya akan menjadi sedikit lembik walaupun rasanya lebih manis. Bergantung kepada kadar penjagaan dan pembajaan lazimnya buah yang manis akibat daripada program pembajaan dengan baja organik dan baja NPK 12:12:17:2: TE yang diberikan.

Apabila dibelah, buah jambu ini mempunyai isi yang padat dan ada jenis yang sedikit ‘spongy’ bergantung kepada varieti yang ditanam. Saya bersama sahabat pada masa dahulu memang boleh terus gigit dan kunyah terus jambu ini dengan apa juga rasa sama ada ianya sedikit masam atau pun yang betul-betul manis (cukup masak). Kadang kala buah jambu gelas ini enak dipotong-potong kecil dan dicecah dengan sambal kicap atau garam halus untuk menambahkan keenakannya atau mengurangkan rasa masamnya . Pada penulis memang agak sukar untuk membeli atau pun mendapatkan jambu gelas ini pada masa ini. Orang tua dikampong dahulu pernah memproses jambu gelas ini untuk dijadikan halwa dan memang enak sekali kerana ia direndam dalam air gula sehingga manis.

This entry was posted in JAMBU SUSU and tagged , , . Bookmark the permalink.