KACANG PANJANG RENEK


Kacang panjang adalah salah satu sayuran yang banyak dikomersilkan di negara ini. Terdapat beberapa variati kacang panjang yang biasa kita nampak dijual dipasar atau supermarket seperti kacang panjang galaxy (warna putih), kacang panjang hijau, kacang panjang thai (warna hijau dengan benih merah-putih), kacang panjang perang dan sebagainya. Kesemua varieti di atas adalah jenis kacang panjang pokok menjalar.

Tahukah anda terdapat satu lagi variati kacang panjang yang dikenali sebagai kacang panjang renek yang boleh ditanam dalam pasu. Variati kacang panjang ini tidak menjalar malah pokok renek dan tidak perlu menggunakan junjung atau pancang kayu. Cukup sekadar tanam dan dijaga kelembapan media dan pembajaan.

Tanaman kacang panjang boleh juga diusahakan di pelbagai tanah dari ringan berpasir hingga tanah liat atau gambut. Penulis mendapatii jenis tanah yang gembur berpasir dan mempunyai saliran yang baik adalah yang paling sesuai. Dari segi kemasaman tanah didapati kacang panjang sesuai pada pH tanah ialah antara antara 5.5 dan 6.6. Dalam penanaman kacang panjang secara komersil, penyediaan tanah dengan membajak dan menggemburkan tanah sedalam antara 15 dan 30 cm supaya menjamin pertumbuhan akar yang baik.

Sebaiknya disediakan batas berukuran 60 hingga 100 cm (lebar), 25 cm tinggi dan panjang batas mengikut kesesuaian kawasan. Kepada mereka yang minat menanam sayuran disekeliling rumah, penanaman kacang panjang renek boleh juga di tanam di dalam pasu atau polibeg. Pastikan dengan cara menggunakan tanah campuran tiga bahagian tanah atas, dua bahagian bahan baja organik, satu bahagian pasir dan campuran sabut kelapa. Pada permukaan batas ditambak dengan bahan organik atau kompos dengan kadar satu hingga tiga kg/meter persegi, permukaan batas boleh ditutup dengan plastik silvershine atau ‘agrosheet’ bagi tujuan mengurangkan rumpai.

Penanaman kacang panjang renek tidak banyak berbeza dengan kacang panjang jenis biasa jenis memanjat pada para. Ini kerana tanaman ini memang boleh dirapatkan kerana ia tidak memerlukan junjung. Jarak tanaman yang sesuai antara 50-60 cm (antara barisan) x 60 hingga 100 cm (antara barisan) atau 25-30 cm (antara pokok) x 60-70 cm (antara barisan). Bagi menanam , perlu diletak dua atau tiga biji benih dalam lubang penanaman dan di kambus nipis (ke dalaman tanah tidak melebihi tiga kali saiz biji benih),biji benih akan bercambah antara lima dan tujuh hari selepas penanaman.

Biji benih yang bercambah tidak perlu dibuat penjarangan, ia boleh hidup membesar satu hingga tiga pokok setiap lubang penanaman. Pengairan untuk kacang panjang amat perlu sama ada untuk tanaman dikebun atau dalam pasu. Tanaman kacang panjang renek memerlukan 30 hingga 50 cm air semusim terutama di peringkat berbunga dan pengeluaran lengai. Akibat kekurangan air pada peringkat ini akan menyebabkan lengai-lengai yang dihasilkan menjadi kecil dan pendek. Aktiviti penyiraman sama ada secara manual atau gunakan sistem renjisan, cara ini menjimatkan 75 peratus penggunaan tenaga kerja.

Amalan pengawalan rumpai perlu kerana secara amnya tanaman kacang panjang perlu bebas dari persaingan rumpai dari mula ditanam hingga 35 hari selepas penanaman,bagi kacang panjang renik ia tidak serius kerana kepadatan tanaman yang menghalang pertumbuhan rumpai.Pertumbuhan rumpai dapat dikurangkan jika kawasan tanaman disembur dengan racun rumpai yang sesuai.

Pembajaan kacang panjang dari keluarga kekacang sebenarnya tidak memerlukan baja yang banyak. Tumbuhan ini mempunyai keistimewaan kerana kebolehan semulajadi untuk menghasilkan nutrien nitrogen melalui proses pengikatan nitrogen mana gas nitrogenen dari udara ditukar kepada ammonia melalui sistem dalam akar pokok.

Bagaimana pun untuk mendapatkan hasil baik, pembajaan masih perlu dibuat dimana kadar pembajaan yang disyorkan ialah 70 kg N: 140 kg P2O5 :200 K2O/hektar, pembajaan diberi dua atau tiga kali sepanjang hayat kacang panjang. Secara amnya pembajaan boleh dibuat menggunakan baja NPK Hijau pada pembajaan pertama dan NPK biru pada pembajaan kedua dan ketiga ,anggaran 30-50 gm/pokok, kadar ditambah jika kacang panjang renek melebihi satu pokok setiap lubang,pembajaan diselangkan setiap dua minggu.

Pungutan hasil kacang panjang renek adalah dimana ia akan berbunga antara lima atau enam minggu selepas penanaman. Kelopak bunga berwarna biru muda dan dan boleh dituai selepas lima hingga tujuh hari selepas berbunga. Kutipan hasil dibuat selang sehari dan berterusan antara tiga atau empat minggu. Kacang ini dipeti mengikut indek kematangan iaiatu Indeks 1, 2 dan Indek 3.

Pada Indeks 1 adalah dimana ia tidak matang, belum mencapai tahap kematangan ,masih terdapat kelopak bunga pada bahagian hujung serta saiz yang kecil, tidak sesuai untuk pasaran, kulit kacang panjang berwarna hijau pekat.

Tahap Indeks 2 pula adalah lengai cukup matang, telah mencapai tahap kematangan, lebih dua pertiga kacang mengandungi biji dan saiznya sederhana besar serta sesuai untuk pasaran, kulit kacang berwarna hijau.

Pada tahap Indeks 3 dimana lengai terlalu matang, kacang panjang dihujung jangka hayat kesegaran,tidak digalakkan untuk pasaran, kulit kacang berwarna kekuningan atau keputihan.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in KACANG PANJANG RENEK and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply