PEGAGA

Pegaga merupakan tanaman herba yang mudah dikenali dan senang dijumpai. Ia merupakan tumbuhan herba yang menjalar dan senang tumbuh di kawasan lembap dan juga redup. Pegaga boleh didapati dalam pelbagai varieti iaitu;

1. Pegaga cina/nyonya yang berdaun kecil
2. Pegaga Daun Lebar
3. Pegaga Kelantan
4. Pegaga Renek
5. Pegaga Salad
6. Pegaga Gajah
7. Pegaga Brunei

Pegaga dikatakan berasal dari India tetapi ia mudah didapati di negara-negara ASEAN.

Pegaga senang sekali tumbuh dikawasan tanah yang subur, lembap dan mempunyai saliran yang baik seperti kebun, ladang, tepi jalan dan juga di sawah. Ia juga boleh ditanam dihalaman rumah bagi tujuan untuk dimakan sendiri. Malah, ada yang menanam di atas tanah mahupun secara kaedah hidroponik bagi tujuan pasaran segar.

Ia membiak melalui pecahan anak. Bagi pekebun yang menanam pegaga secara komersial, tanah perlulah digembur bagi meningkatkan kadar mineral tanah.

Khasiat yang terkandung dalam pegaga tidak dapat dinafikan lagi. Keseluruhan bahagian pegaga (daun dan batang) boleh dimakan dan digunakan.

Di Malaysia, khususnya masyarakat Melayu amat yakin bahawa pegaga berkhasiat untuk awet muda. Malah, ia telah lama digunakan dalam perubatan Ayurveda di India lebih kurang 2000 tahun yang lalu dan juga perubatan Shennong di China.

Di samping itu, menurut WHO, pegaga terbukti berkesan untuk meningkatkan kecerdasan dan keupayaan mental kanak-kanak.

Kajian pada tahun 1949 telah dijalankan dah hasil kajian tersebut membuktikan bahawa pegaga dapat digunakan untuk merawat penyakit kusta dan ulser. Hal ini kerana ciri-ciri bakteria yang ada padanya.

Manakala, pada tahun 1950, didapati bahawa khasiat dari pegaga dapat menyembuhkan luka, kudis serta mengubati kerengsaan kulit.

Pegaga enak dijadikan ulam mahupun dijadikan jus bagi mereka yang mengamalkan pemakanan yang sihat. Bagi masyarakat Kelantan, pegaga kebiasaannya di makan mentah dengan cara dicicah dengan budu dan di hidang bersama nasi yang panas.

Pegaga telah dikomersialkan dan berikut merupakan produk yang dihasilkan dari pegaga:

Menyedari khasiat yang ada pada pegaga, seorang pengusaha dari Padang Besar, Perlis telah mengusahakan tanaman pegaga secara komersial seluas satu hektar. Beliau menggunakan kaedah organik dengan membajakan pegaga yang ditanam dengan menggunakan baja tahi ayam. Malah, proses merumput bagi membuang rumput yang tumbuh sekitar tanaman pegaga adalah dengan menggunakan tangan.

Pegaga yang ditanam menggunakan kaedah organik memerlukan tumpuan yang lebih. Pegaga membiak dengan cepat dan dalam tempoh tiga bulan hasilnya boleh dituai.

Disamping itu, pegaga perlu disiram mengikut jumlah yang betul terutama ketika baru ditanam atau semasa musim kemarau. Hal ini kerana, pegaga mempunyai akar yang pendek menjadaikan pengairan amat kritikal dalam masa 2 minggu pertama selepas ditanam ke ladang.

Tanaman pegaga dikatakan kurang mengalami penyakit mahupun serangan musuh perosak. Walau bagaimanapun, sekiranya kawasan yang ditanam pegaga terlalu lembap mahupun panas, merisikokan untuk serangan penyakit seperti penyakit layu bakteria.

Pendek kata tidak rugilah jika anda menanam pegaga dikawasan rumah. Bukan saja ia senang untuk hidup, malah mempunyai khasiat yang banyak. Selamat menanam pegaga!

 

Kongsikan!
  • 10
  •  
  •  
  •  
    10
    Shares
This entry was posted in Pegaga and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply