PENGURUSAN RUMPUT NAPIER


Rumput Napier (Pennisctum purpureum) merupakan salah satu jenis tumbuhan hijau yang kini dijadikan makanan ternakan yang berkualiti dan disukai oleh haiwan ruminan seperti Lembu dan kambing. Rumput ini dilaporkan didapati amat sesuai untuk tumbuh dalam pelbagai tempat iaitu daripada kawasan ketinggian paras tanah 0 – 3,000 kaki dari paras laut dengan kawasan yang terbuka dibawah cahaya matahari sepenuhnya. Ia adalah tumbuhan rumput yang tidak perlukan lindungan dan memberi kesan baik terhadap pembajaan serta akan tumbuh cepat diatas tanah yang subur. Rumput yang telah cukup umur akan dipotong dan diberikan terus kepada ternakan atau diproses menjadi silaj atay hay.

Ramai dikalangan ahli penternak lembu terutamanya yang menanam rumput jenis ini secara kecil-kecilan di kawasan kandang atau berjauhan menanam rumput ini untuk dijadikan sumber makanan yang penting. Rumput napier ini tumbuh merumpun dengan sistem perakaran dari jenis akar serabut yang padat dan mampu untuk terus menghasilkan banyak anak (tillering) apabila ianya dipangkas dengan cara teratur.

Morfologi rumput napier adalah ia merupakan rumput yang tumbuh merimbun dimana ia dapat mencapai tinggi lebih dari 2 meter dan ia juga akan berperanan sebagai penghalang ancaman angin (wind breaker) kepada tanaman utama dikawasan kebun. Ia juga amat cekap didalam satu cara untuk mengawal hakisan tanah dikawasan kebun yang ditanam dengan rumput napier. Walaupun kini rumput ini ditumpukan kepada penanaman untuk makanan ternakan tidak seperti rumput vertiver yang ditanam. Rumput vertiver kini banyak ditanam dikawasan tebing jalanraya dan lebuhraya.

Kaedah pengurusan yang sesuai untuk rumput ini adalah dengan sentiasa membuat pemotongan batang secara berkala. Rumput ini dipotong pada bahagian batang untuk dijadikan bahan makanan ternakan setelah ia diracik halus sebelum diberikan haiwan ternakan. Bagi tujuan untuk dijadikan anakbenih ia dipilih daripada bahagian batang yang matang dipotong 20 -25 cm untuk ditanam.

Bahan benih sebaiknya mempunyai diantara 2 – 3 ruas atau paling sedikit 2 matatunas. Benih yang baik sebaiknya disediakan mencukupi dan masih segar untuk ditanam. Sebelum penanaman sebaiknya tanah disediakan terlebih dahulu dengan membajak tanah atau tanah mesti digemburkan, sediakan sistem saliran dan sebaiknya ada sistem pengairan. Jika tiada sistem pengairan memadai untuk menanam pada musim ada hujan untuk tujuan mempercepatkan proses pertumbuhan.

Pemberian baja organik diatas tanah membantu pertumbuhan awal rumput napier. Sediakan lubang-lubang tanaman dengan jarak tanaman adalah 60 cm x 100 cm. Pembajaan rumput napier perlu dijalankan dimana jenis baja NPK diberikan. Unsur P dan K diberikan 2 kali dalam setahun iaitu pada waktu penyediaan tanah dan 6 bulan kemudian iaitu dengan kadar 200 kg/ha. Unsur baja Nitrogen (N) diberikan pada kadar 200 kg sehektar setahun dalam beberapa aplikasi atau setiap kali setelah 2-4 kali aktiviti pemotongan rumput napier. Kadar baja organik sebanyak 400 kg/ha setahun yang diberikan semasa dan setiap kali pemotongan dijalankan disyorkan.

Menuai atau memotong rumput napier perlu dilakukan mengikut umur, kesuburan tanaman dan saiz tumbuhan. Lazimnya pemotongan rumput napier ini pertama dilakukan setelah tanaman berumur 60 hari dan kaedah pemotongan selanjutnya dilakukan selang40 hari pada musim hujan dan selang 60 hari pada musim kemarau. Cara memotong dengan menggunakan alatan konvensional seperti parang, sabit atau dengan menggunakan jentera yang sesuai. Ia sebaiknya dipotong dengan meninggalkan ± 10 cm dari permukaan tanah.

Pemotongan batang rumput yang terlalu pendek menyebabkan semakin jadi lambatnya pertumbuhan kemdian dan pertumbuhan seterusnnya. Sebaliknya jika batang yang ditinggalkan terlalu panjang maka tunas batang saja yang akan berkembang sedangkan jumlah bilangan anak yang bakal keluar akan berkurang. Proses penting berikutnya adalah meremajakan rumput napier dimana ia perlu dijalankan apabila tanaman ini telah berumur 3 – 4 tahun dan selalunya pada umur ini tanaman sudah tidak responsif lagi dengan aktiviti pengurusan apabila terlalu kerap dipotong.

Sebaiknya setelah pemotongan terakhir dijalankan maka tanah diantara barisan dicangkul dan dilakukan pembajaan. Petani boleh membuat lubang tanaman baru untuk benih baru. Ianya adalah bertujuan tujuan mempastikan rumput napier akan dijaga kesinambungan stok tuaian bahan untuk ternakan tidak akan terputus. Setelah tanaman baru tumbuh maka rumput napier lama dibongkar hingga ke akar-akarnya untuk memberi ruang kepada rumput napier yang baru itu ditanam.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in CARA PENANAMAN, PENGURUSAN RUMPUT NAPIER. Bookmark the permalink.

Leave a Reply