SUKUN


Buah sukun (Artocarpus altilis) termasuk dalam genus Artocarpus dan dalam keluarga Moraceae seperti pohon nangka dan cempedak. Sebenarnya pohon ini berasal dari Polinesia dan sekarang sudah tersebar ke Malaysia, Sri Lanka dan di beberapa kepulauan pasifik lainnya salah satunya Indonesia.

Pokok sukun pada umumnya memiliki batang besar dan lurus, boleh mencapai tinggi 30 meter. Tumbuhan ini berdaun besar bersusun berselang–seli dengan lebar daun 20-40 x 20-60 cm, bentuk tulang pinata, berwarna hijau tua yang berkilat di bahagian atas, serta kasar dan berbulu halus di bahagian bawah. Tanaman ini memiliki cabang mendatar dan pada semua bahagian pokoknya dapat menguarkan getah berwarna putih apabila tergores atau dilukai.

Bunga sukun terbentuk dihujung pucuk berwarna coklat kemerahan serta membentuk buah. Buah sukun berwarna hijau cerah ketika muda dan berbentuk bulat atau lonjong. Saiz buah sukun lingkungan 10-30 cm garispusat dengan anggaran berat antara 1-3 kg sebiji. Di Malaysia ada dua jenis sukun iaitu sukun berbiji (Dalam hutan) dan sukun tidak berbiji (Ditanam secara komersil).

Bahan tanaman sukun biasanya diperolehi dari sulur akar pokok (terbaik). bagaimana pun untuk pengeluaran komersial benih diperolehi dari tut, keratan dan cantuman dan jarang terdengar dari biji (jika ada). Anak benih di masukkan dalam lubang yang berukuran 30 cm x 30 cm x 20 cm yang telah dibubuh baja asas dan bahan organan. Jarak tanaman disyorkan ialah 8 meter x 10 meter. Pastikan pokok sukun mendapat cahaya matahari sepenuhnya. Pokok sukun cepat membesar dan selepas 1 tahun mencapai ketinggian sehingga 7 meter.

Pembajaan sukun menggunakan NPK 15:15:15 sebanyak 1 kg sepokok untuk tahun pertama dan baja organik. Pastikan baja ditabur dengan betul kerana pokok sukun mempunyai akar rambut dipermukaan tanah. Tabur sedikit diluar kanopi pokok. Pokok berbuah selepas 1-2 tahun ditanam dan berikan baja 12:12:17:2 sebanyak 1-2 kg sepokok dan baja organik.

Antara masalah dihadapi ialah serangan ulat pengorek batang yang mampu membunuh pokok jika tidak dikawal. Kawalan menggunakan racun kimia sistemik (Pastikan buah jangan dikutip selepas gunakan racun tersebut sehingga PHI tamat). Ada petani menggunakan Furadan 3G untuk kawalan….. tetapi racun ini mempunyai kesan sisabaki yang tinggi dalam tanah. Serangga lain ialah Lalat Buah (Bactocera spp), Ulat Pengorek Buah dan juga Mati Rosot. Pokok sukun juga mudah mati jika akar terendam dalam air melebihi 48 jam. Pastikan kebun mempunyai saliran yang baik.

Buah sukun yang matang dikenali dengan permukaan buah yang agak licin dan berwarna hijau gelap atau ada tanda coklat. Jangann biarkan buah sukun masak atas pokok kerana ialanya akan jatuh dan rosak kerana terlalu lembut. Jangan petik buah sukun terlalu muda kerana ianya akan mengeluarkan getah yang banyak dan apabila di goreng tak sedap kerana ada rasa kelat. Petik menggunakan galah panjang dan bersihkan dari getah dan kekotoran. Buah boleh di proses untuk dimakan atau di kumpulkan dan digredkan untuk dijual.

This entry was posted in SUKUN and tagged , , . Bookmark the permalink.