TANAMAN TEBU


Tebu Kuning (Saccharum officinarum Linn) merupakan sejenis tanaman kontan dari keluarga Graminae yang diproses untuk mendapatkan airnya atau ada yang memproses untuk dijadikan gula. Tebu Kuning ditanam di Malaysia di kawasan khas atau sebagai tanaman selingan dalam pokok getah atau kelapa sawit yang baru dibuka. Tebu kuning merupakan satu tanaman yang di tanam untuk kegunaan domestik dan juga di ekspot ke Singapura dalam bentuk tebu segar.

Pokok tebu kuning merupakan sejenis tumbuhan yang mempunyai batang beruas tegak tanpa cabang dan tumbuh pada rumpun diatas tanah yang subur. Batang Tebu berbentuk selinder dengan panjang sekitar 1.8 – 3.0 meter dan ruas berukuran sekitar 5’0 – 10.0 cm garispusat. Saya dapati setiap ruas tebu mempunyai mata tunas dan boleh digunakan untuk bahan tanaman. Tebu ditanam menggunakan keratan batang yang mempunyai mata tunas dan disusun dalam longkang barisan tanah. Daun tebu berbentuk memanjang 2-4 meter yang keluar dari bahagian pucuk dengan lebar daun 4-8 cm. Tebu kuning mempunyai akar serabut dipangkal pokok dan berakar cetek. Satu rumpun pokok tebu mempunyai 6 – 12 batang pokok dan jika di uruskan dengan baik dan untuk dapatkan kualiti baik perlu tinggalkan kurang 6 batang setiap rumpun.

Tanaman tebu kuning sangat sensitif dengan keadaan tanah dan juga memerlukan cahaya matahari yang mencukupi. Kawasan terlindung dan kurang air kurang sesuai untuk penanaman tebu kuning kerana kawasan kemarau akan menyebabkan saiz tebu kecil dan kurang subur apa lagi kalau kurang baja organik.

Kawasan dibajak dahulu menggunakan bajak piring sebanyak dua kali untuk menggemburkan tanah dan perlu dibuat alur penanaman. Bagi kawasan tanah gambut ianya perlu diracun dahulu dan dibersihkan sebelum dibuat alur penanaman. Benih tebu adalah keratan batang dari pokok tebu kuning yang telah mencapai umur 7-9 bulan (cukup matang) dan dipotong sepanjang 18 – 22 cm dimana perlu dipastikan mempunyai sekurang-kurangnya 3 mata tunas. Keratan tebu untuk benih perlu ditanam segera dan kelewatan penanaman melebihi 3 hari akan menjejaskan pertumbuhan. Keratan benih tebu dirawat dengan racun kulat seperti Benomyl atau Dieldrin dengan mencelupkan kedapam larutan racun tersebut.

Jarak penanaman dan susunan penanaman bergantung kepada keadaan tanah, tanaman monokrop atau selingan dan dalam alur atau atas batas. Jarak biasa digunakan adalah 2 meter x 0.3 meter dalam baris. Pastikan menanam tebu dalam alur dalam keadaan berbaring dan kemudian timbus dengan tanah. Kawalan rumpai boleh dijalankan secara manual atau menyembur racun pracambah selepas menanam sehingga berumur 6 bulan berikutnya. Kegagalan mengawal rumput dari peringkat awal akan menjejaskan pertumbuhan tebu kerana persaingan dari segi ruang, cahaya matahari dan juga makanan.

Baja NPK 15:15:15 sebanyak 250 kg sehektar diberikan semasa menanam kemudian kadar yang sama diberikan selepas pokok berumur 3 bulan. Baja urea sebanyak 125 kg/ha juga ditabur ketika pokok berumur 3 bulan. Urea akan membantu pembentukkan daun agar lebih cepat dan banyak. Selepas 5 bulan baja NPK 15:15:15 sebanyak 300 kg/ha diberikan lagi diikuti dengan baja organik jika keadaan tanah kurang subur. Bagi mempastikan pokok subur buat kerja menimbus pangkal perdu pokok tebu kuning dengan cangkul pada umur pokok 3-5 bulan. Jika ada pokok yang mula rebah perlu dipasangkan tiang kayu dan rumpun tebu perlu diikat supaya tumbuh menegak untuk menjamin kualitinya. Tebu yang rebah dan bengkok akan jatuh kualiti dan grednya.

Tebu Kuning lazimnya sesuai dituai selepas 8 – 9 bulan selepas ditanam apabila pokok setinggi hampir 2.5 -3.0 meter dari paras tanah. Cara menuai tebu ada yang di buat sebanyak 3 peringkat dalam masa 2 tahun dan ada juga petani yang menuai sekali gus bergantung kepada sistem pemasaran dan harga tawaran yang ada. Batang tebu yang matang di potong menggunakan parang tajam di pangkal pokok dan direbahkan sebelum di potong bahagian pucuknya untuk membuang daun dan dibersihkan. Batang tebu sepanjang 8 – 9 kaki di susun dan diikat dalam bilangan 10-15 batang satu ikatan. Bagi tujuan jualan terus akan dihantar kepada pemborong atau dinaikkan ke lori untuk dihantar kepada pembeli. Tebu untuk ekspot ke Singapura akan dibawa ke Pusat Memproses dimana kulit tebu akan dikikis, pergelangan ruas tebu di kikis dan di potong sepanjang 10 -12 inci sebelum dimasukkan ke dalam kotak dan dihantar ke Singapura.

Air Tebu mendapat permintaan baik terutama pada musim panas di Pasar Tani, Bazaar Ramadan dan Gerai Air Tebu ditepi jalan.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in TEBU and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply