ANGSA

angsa

Angsa atau nama saintifiknya Anser cygnoides berasal dari keluarga Anatidae. Angsa merupakan haiwan unggas dari kategori burung yang mempunyai sepasang kaki dan juga sepasang kepak.

Menariknya, haiwan ini mempunyai leher yang panjang dan mampu mengeluarkan bunyi yang kuat.

Menurut penternak angsa, haiwan ini dikatakan berfungsi sebagai pengawal rumah kerana ia akan membuat bising jika melihat kehadiran orang atau binatang. Selain daripada itu, ia juga bertindak sebagai mesin rumput dihalaman rumah kerana ia suka memakan rumput.

Penternak haiwan ini mengatakan bahawa ia sangat mudah dipelihara kerana tanpa makanan yang khusus, ia masih dapat berkembang biak dengan baik.

Dikatakan, angsa mudah untuk membesar, lebih tahan penyakit dan hampir tidak memerlukan ubat-ubatan.

Disebabkan itu, di Malaysia angsa dipelihara bertujuan untuk mendapatkan dagingnya atau bagi menjaga kebun serta bertindak sebagai pengawal rumpai.

Angsa betina dan angsa jantan tidak mempunyai perbezaan yang ketara kecuali dari segi saiz dan organ pembiakkan.

Namun, di Malaysia penternakkan haiwan ini kurang mendapat sambutan berbanding unggas yang lain.

angsa

KENALI SPESIES ANGSA YANG BIASA DITERNAK

spesies angsa

Angsa jenis Toulouse, Embden dan African tergolong dalam kategori paling berat tubuhnya. Pilgrim tergolong dalam kategori berat dipertengahan dan Chinese paling ringan.

PENTERNAKKAN ANGSA

Memelihara anak angsa dikatakan mempunyai potensi yang baik. Anak angsa yang baru menetas, dalam masa seminggu boleh dijual pada harga RM60 hingga RM80 seekor bagi Angsa Cina Kelabu. Bagi Angsa Cina Putih, ia boleh dijual pada harga RM90 hingga RM100 seekor.

Angsa betina boleh menghasilkan telur sekitar 7 hingga 8 biji bagi sekali bertelur. Ia kebiasaanya bertelur pada musim hujan.

telur angsa

Dikatakan, pada kali pertama pusingan ia bertelur, telur-telur yang dihasilkan dikatakan tidak subur dan saiznya agak kecil.

Angsa jenis Embden menjadi pilihan kebanyakkan penternak untuk mendapatkan dagingnya kerana ia mempunyai berat badan yang lebih berat berbanding angsa jenis afrika mahupun jenis cina.

PEMBINAAN REBAN

Haiwan ini tidak suka tinggal dalam reban dan ia suka berkeliaran. Hal ini kerana, ia merupakan haiwan yang suka bergerak dan tidak duduk diam. Reban biasanya dibuat untuk dijadikan sebagai tempat berteduh, bertelur dan tempat tidur.

Apabila tiba musim bertelur, gunakan kotak kayu mahupun tayar buruk yang diletakkan rumput mahupun kain atau jerami kering sebagai sarang angsa bertelur.

Jika tidak disediakan tempat bertelur, angsa akan bertelur di atas tanah menyebabkan telur rosak.

Pastikan sarang selamat dan terselidung daripada tempias hujan kerana telur yang terkena air akan rosak.

Cahaya juga penting bagi penghasilan telur.

PEMAKANAN

Haiwan ini merupakan haiwan yang kuat makan serta cepat membesar. Makanan komersil yang tersedia seperti pelet makanan ayam boleh digunakan tetapi haiwan ini memerlukan kuantiti makanan yang banyak jika dibandingkan dengan unggas yang lain.

Ia juga gemar untuk makan pelbagai makanan seperti rumput, batang pisang muda, sayur, hampas soya, dan daun pisang/ubi/pandan.

Bagi tujuan penghasilan telur, peru ditambah tambahan protein sebanyak 15% disamping bahan mineral yang lain.

Angsa menjadi pilihan sebagai haiwan ternakan kerana penternak tidak perlu mengeluarkan modal yang besar untuk makanannya.

PEMBIAKKAN

Angsa seeloknya dijodohkan sepasang (monogamy) atau bertiga (polygamy).

Kemampuan angsa betina dapat bertelur ialah hingga 10 tahun.

Manakala, jumlah telur yang dihasilkan pada tahun kedua lebih banyak dan penetasannya juga lebih baik berbanding tahun pertama.

Kemampuan reproduksi angsa jantan lebih cepat menurun jika dibandingkan dengan angsa betina.

PENGERAMAN (INCUBATION)

Telur perlu dikutip setiap 2 hari kerana kelewatan akan menyebabkan kadar penetasan telur berkurangan.

Jangka masa penginkubasian telur angsa yang diketahui umum ialah di antara 29 hingga 30 hari.

Suhu yang paling baik bagi tempat penyimpanan telur adalah 7 hingga 13oC dengan kelembapan relatif kurang dari 70%.

Telur angsa tahan disimpan selama 10-14 hari dalam keadaan masih segar untuk dimakan.

Suhu inkubator untuk pengeraman telur angsa adalah diantara 38 hingga 39oC.

Telur perlu dibalikkan tiga atau lima kali sehari jika inkubator tidak bekerja sendiri.

PENJAGAAN ANAK ANGSA

Selepas anak telur menetas, seelok-eloknya anak angsa tersebut diletakkan ke dalam broder selama 3 ke 7 hari atau sehingga kering bulunya. Ini adalah untuk memastikan anak angsa benar-benar kuat.

Broder hendaklah sentiasa dibersihkan supaya ia bebas daripada hama dan tidak dihurung agas.

Selepas itu, anak angsa sedia untuk dialihkan ke reban didik seelok-eloknya ditutupi dengan jaring seperti kelambu bagi mengelakkan anak angsa digigit dengan nyamuk.

Selepas 2 ke 3 bulan, anak angsa boleh diturunkan ke tanah supaya ia boleh belajar untuk hidup dan membiak.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Angsa and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply