DAUN GELENGGANG

Daun gelenggang berasal dari keluarga Fabaceae dan spesis Senna alata. Ianya juga dikenali dengan nama cassia, wild senna, candlestick senna, ketepek badak, sulok (Sarawak), andadasi dan palochina (Tagalog). Tumbuhan ini adalah tumbuhan tropika dan sub-tropika. Pokok ini tumbuh meliar di kawasan semak dan belukar kecil di pinggir jalan dengan ketinggian pokok diantara 1.0 meter hingga 5.0 meter tinggi.

Bahan aktif yang terkandung di dalam daun gelenggang adalah antraquinone glucosides dengan kadar 2.5 peratus. Bahan aktif ini sangat berkesan bagi mengatasi masalah penyakit kulit dan kegatalan dimana antraquinone glucosides akan bertindak sebagai perencat kepada pertumbuhan kulat kulit, serangan hama atau pertumbuhan mikrobakteria. Ujikaji yang dijalankan oleh penyelidik dari Eropah ke atas kulit lembu mendapati luka dilembu akibat penyakit Congolensis Dermatophillus, Pityriasis versicolor, serangan hama arnab dan Psoroptes cuniculi sembuh setelah diletakkan campuran serbuk daun gelanggang ke atas luka yang dihadapi oleh lembu tersebut.

Tumbuhan perdu ini boleh hidup subur dengan mencapai ketinggian sehingga 5.0 meter. Batang pokok ini berwarna coklat gelap, berbentuk bulat melurus ke atas dan batang berkayu keras. Akarnya merupakan akar tunggal berwarna hitam dan berbentuk bulat memegang kuat tanah.

Daun gelenggang bersifat majmuk dan bersusun dengan banyak. Kuantiti daun pada 1 cabang dahan adalah 8 hingga 24 daun yang berwarna hijau pekat. Bentuk daun adalah bulat panjang dan tumpul dihujung. Saiz daun adalah 5 hingga 15cm panjang dan 5 hingga 9 cm lebar. Jalur daun ditengah tengah daun disertai jalur berselang seli ke tepi daun. Permukaan daun kesat dan kasar dan rupa bentuk seakan akan daun jambu batu.

Bunga pokok gelenggang berwarna kuning keorenan berbentuk tandan dan bersifat majmuk. Kelopak bunga adalah 5 dan dipegang oleh cabang dahan yang muncul dari batang utama tumbuhan ini. Pokok ini menghasilkan buah gelenggang yang berwarna hijau ketika muda dan bertukar warna hitam coklat ketika usia matang. Buahnya bersaiz panjang (18cm x 25cm). Biji pokok gelenggang ini berbentuk segi tiga dan pipih dengan warna hijau pada asalnya sebelum bertukar hitam.

Tumbuhan herba ini boleh ditanam di kawasan tanah gambut, mineral dan berpasir. Batas bersaiz 1.5 meter x 2.5 meter perlu disediakan bagi kawasan tanah rendah supaya pokok tidak terendam ketika musim hujan dan sistem pengairan yang baik perlu disediakan bagi mengalirkan lebihan air jauh dari tapak projek.

Pembiakan dilakukan dengan kaedah keratan batang yang disemai kira kira sebelum dipindahkan ke atas batas. Siraman sprinkler 2 kali sehari adalah disyorkan bagi tanaman ini dan pembajaan organik boleh diberikan kepada tanaman sebulan selepas ditanam.

Pokok daun gelenggang tidak mudah diserang penyakit atau serangga perosak. Daun tumbuhan akan tumbuh dengan subur dan daunnya akan dikutip apabila mencapai tempoh matang. Daunnya akan diambil dengan cara mencantas cabang dahan, diproses (dibersih dan dikeringkan) dan dihantar ke kilang pemprosesan bagi menghasilkan pelbagai jenis produk kesihatan dan ubat ubatan.

Tumbuhan S. alata ini ditanam bagi mendapatkan manfaat mengatasi masalah penyakit kulit dan kegatalan. Ia akan memberikan kesembuhan dan menghilangkan kegatalan akibat gigitan serangga atau jangkitan parasit. Sekaligus, ia akan memberikan khasiat kepada kulit dan bertindak sebagai agen anti bakteria.

Selain dari itu, ciri ciri antiseptic yang terdapat di daun gelanggang digunakan untuk penghasilan sabun kerana keupayaan tumbuhan ini mengeluarkan buih dan merawat kulit. Sabun ini akan melembutkan lapisan epidermis dan sekaligus membunuh kuman atau patogen yang terdapat di kulit. Ianya dikatakan setanding dengan sabun yang terdapat dipasaran.

Daun gelengang juga dipercayai boleh merawat penyakit ciri birit atau sembelit. Bahan laksatif di dalam daun tersebut akan bertindak seperti julap dan membersihkan usus besar manusia dengan meningkatkan pergerakan peristalsis dan melancarkan sisa tubuh badan keluar melalui kolon usus.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mewartakan ekstrak daun gelenggang sebagai ubat tradisional dan ubat farmaseutikal.

Untuk peralatan dan input pertanian boleh cuba lihat di kedai online MYAGRI CONSULTING

Manakala untuk kursus pertanian secara online boleh layari STARTUP MYAGRI

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in DAUN GELENGGANG and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply