KUNYIT

Kunyit atau nama saintifiknya Cucuma domestica adalah herba dari keluarga Zingiberaceae. Kunyit dianggap sebagai salah satu herba yang amat bernilai bagi manusia. Tumbuhan ini berasal dari Asia Tenggara dan ia menjadi tanaman perdagangan di sekitar Indonesia, Indochina, China dan India.

Tabiat Tumbuhan

Di Malaysia, kunyit biasanya ditanam di belakang rumah.

Ia boleh hidup subur di kawasan  yang mempunyai sedikit teduhan dan tumbuh dengan subur di kawasan yang mendapat sumber cahaya matahari yang banyak dan terbuka.

Kunyit merupakan tanaman herba saka yang bersifat tahunan (perennial) dan banyak dijumpai di negara beriklim tropika. Ia merupakan tanaman herba yang mempunyai jangka hayat yang panjang.

Kunyit membiak secara aseksual iaitu melalui keratan rizom.

Di Malaysia, kunyit banyak di tanam hanya di beberapa negeri sahaja seperti  Selangor, Johor, Sabah dan Negeri Sembilan.

Kunyit yang ditanam secara meluas jarang dijumpai kerana kebanyakan petani menanam kunyit secara kecil-kecilan di mana target mereka hanyalah untuk pasaran segar sahaja.

Penggunaan

Serbuk kunyit lazimnya banyak digunakan dalam masakan di Malaysia. Bahkan dalam masakan di kedai Mamak, majoritinya menggunakan rempah ratus, serbuk kunyit juga tidak terkecuali. Rasa kunyit dapat menambahkan lagi aroma serta kelazatan sesebuah masakan. Tidak sah jika memasak kari tanpa memasukkan serbuk kunyit. Setuju?

Kunyit telah digunakan secara meluas dan ia juga mempunya banyak kegunaan. Ia digunakan sebagai perencah dalam makanan dan juga telah dibuktikan secara saintifik bahawa ia dapat memberi manfaat dalam dunia perubatan.

Daun kunyit dapat digunakan untuk membalut ikan yang hendak digoreng. Malah, daun kunyit juga dihiris halus dalam masakkan popular di Malaysia iaitu rendang. Justeru, ia menghasilkan bau yang wangi dan membuatkan rendang lebih sedap.

Terkini, kunyit sedang giat digunakan oleh pengasas kosmetik sebagai bahan asas dalam produk kosmetik. Menariknya, kunyit dikatakan dapat mencerahkan kulit wajah dengan penggunaan yang konsisten.

Kebanyakkannya kunyit telah di olah untuk dijadikan bahan asas dalam krim kosmetik seperti krim siang. Di Thailand, kunyit sebenarnya sudah lama digunakan oleh kaum wanita disana untuk mencerahkan kulit mereka.

Cara Penanaman

Cara penanaman kunyit cukup mudah sekali untuk dilakukan. Namun, untuk mendapatkan hasil penuaian yang lumayan, kaedah penanaman dan penjagaan perlu dititikberatkan.

Kunyit tumbuh subur pada tanah gambut. Tanah yang di cangkul baik dengan elok akan menghasilkan umbi kunyit yang melimpah.

Ikuti langkah-langkah yang amat mudah ini untuk anda tanam sendiri kunyit dikawasan rumah anda!

  1. Semai ibu kunyit kerana ia lebih senang dan cepat untuk hidup.
  2. Balut dengan surat khabar yang dilembapkan atau dibasahkan dengan air.
  3. Kemudian, simpan ditempat gelap. *Sentiasa pantau surat khabar itu lembap atau tidak*
  4. Dalam masa 2 ke 3 minggu, tunas akan keluar.
  5. Apabila tunas sudah keluar, tanam dalam medium tanaman yang sesuai seperti coco peat atau peat moss. Untuk mendapatkan kunyit yang gemuk, gunakan tanah yang longgar dan tak padat. Pastikan tanah sentiasa lembap dengan memastikan saliran air sentiasa dalam berkeadaan yang baik.

Mudah sangat nak tanam kunyit ni rupanya. Lepas ni tak payah susah-susah nak ke pasar untuk beli kunyit. Anda semai je sendiri dekat rumah. Di samping dapat makan hasil tanaman sendiri, badan pun sihat sebab melakukan aktiviti bertani yang banyak mengeluarkan peluh.

This entry was posted in kunyit and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.