MISAI KUCING

Misai Kucing (Orthosiphon stamineus Benth sinonim Orthosiphon aristatus Blume) merupakan sejenis herba yang kini semakin popular ditanam di Malaysia kerapa ia adalah salah satu herba yang digalakkan penanamannya.

Herba ini cepat tumbuh dengan ketinggiannya boleh mencapai sehingga 1.5 meter. Batangnya lazimnya akan berbentuk segi empat serta berbulu pendek atau gondol. Pada pemerhatian penulis ia lazimnya akan berwarna kemerahan yang akan tumbuh tegak dan bercabang-cabang.

Pendapat ramai ada menyatakan bahawa nama misai kucing diberi berdasarkan ciri bunga. Ciri uniknya ialah bunga mempunyai filamen yang panjang menyerupai misai kucing. Di Malaysia terdapat dua varieti telah dikenal pasti berdasarkan warna bunga iaitu Varieti Bunga Putih dan Varieti Bunga Ungu Tua.

Kawasan untuk tanaman biasanya misai kucing perlu dibajak sekurang-kurangnya satu bulan sebelum menanam. Ini bagi memastikan rumpai dan tumbuhan renek yang terdapat di kawasan tanaman dapat dihapuskan secara total kerana ia akan bersaing dengan herba yang hendak ditanam. Pengapuran dengan kapur magnesium halus (GML) dijalankan selepas pembajakan pertama. Aktiviti ini bertujuan bagi memastikan kapur bergaul sebati dengan tanah semasa aktiviti penyedian kawasan penanaman.

Kadar kapur yang diberi bergantung kepada nilai pH tanah berkenaan. Nilai pH optimum adalah dalam lingkungan 5.5 hingga 6.0. Tanah lazimnya dinaikan batas untuk penanaman dan akan dipasang plastik silvershine untuk mengelakkan pertumbuhan rumpai, mengawal kelembapan dan menghasilkan misai kucing yang berkualiti.

Pemasangan penutup bumi dengan plastik silvershine memang agak mahal berbanding jika tidak dipasang dengannya tetapi mempastikan akan ada hasil yang akan dituai kalau dijaga dengan baik. Bagi menyediakan bahan tanaman boleh dibiakkan dengan menggunakan keratan batang.

Semua bahagian keratan boleh digunakan sebagai bahan tanaman. Keratan batang mula berakar selepas dua minggu disemai. Anak benih boleh dlubah ke ladang apabila mencapai umur 4 hingga 5 minggu selepas disemai. Bagi penanaman komersial menggunakan jentera menanam, keratan benih hendaklah disemai di dalam dulang plastik atau polistirena.

Lazimnya jarak tanaman yang disyorkan ialah 1.5 m di antara baris dan 0.45 m di antara pokok dalam baris. Kerja menyiram air perlu dijalankan pada peringkat awal penanaman untuk menjamin pertumbuhan yang sekata. Pokok Misai Kucing yang ditanam secara komersil perlukan program pembajaan dimana bagi Tanah Bris ia diberikan kadar baja organik (seperti najis ayam) dengan kadar yang disyorkan ialah 10 tan/ha diberi tiga hari sebelum menanam dan pemberian baja ini diulang setiap enam bulan.

Baja najis ayam diberi secara tabur dan digaul ke dalam batas. Baja NPK berasaskan organik (NPK 10: 10: 10) pada kadar 1,000 kg/ha diberi setiap 6 bulan. Bagi Tanah Aluvium kadar dan cara pembajaan agak berbeza dimana kadar baja organik (najis ayam) yang disyorkan ialah 5 tan/ha diberi tiga hari sebelum menanam dan 5 t/ha diberi setiap enam bulan selepas menanam. Baja NPK berasaskan organik Kokei (NPK 10:10:10) pada kadar 500 kg/ha diberi setiap 6 bulan.

Sebaiknya dipasang sistem pengairan dengan beberapa sistem pengairan boleh digunakan bergantung kepada jenis tanah dan sumber air. Bagi misai kucing yang ditanam secara komersial, sistem pengairan renjis berputar atau tembakan hujan sesuai digunakan. Sistem pengairan titis sangat sesuai apabila sungkupan plastik digunakan.

Pengurusan tanaman herba ini amat perlu dijalankan teknik kawalan rumpai iaitu hanya diperlukan pada peringkat awal pertumbuhan pokok. Pada peringkat pertumbuhan pokok yang maksimum dan apabila kanopinya yang padat ia secara automatik boleh menghalang pertumbuhan rumpai. Walau bagaimanapun kaedah penggunaan sungkupan plastik boleh juga digunakan untuk mengawal rumpai selain menjaga kebersihan hasil daripada tercemar oleh bahan asing seperti tanah dan najis ayam. Penanaman misai kucing secara komersil juga perlukan penjagaan rapi seperti menanam sayur yang perlu sentiasa dijaga.

Tuaian pertama dibuat apabila tanaman mencapai peringkat umur 10 minggu selepas menanam. Panjang ranting yang dituai ialah 30 cm dipotong menggunakan pisau tajam. Jumlah hasil tuaian misai kucinga bergantung kepada bilangan tuaian dan varieti MOS yang digunakan. Kekerapan tuaian yang disyorkan ialah 2 minggu sekali. Hasil dituai dikumpulkan dan dibawa kepusat pengumpulan hasil untuk diproses pengeringan secara asas. Nisbah pengeringan (berat basah daun:berat kering daun) ialah 4.0 – 5.0 bergantung kepada musim tanaman.

Bagi artikel penanaman misai kucing secara fertigasi boleh klik disini dan bagi artikel cara menghasilkan teh misai kucing di rumah boleh klik disini.

Untuk peralatan dan input pertanian boleh cuba lihat di kedai online MYAGRI CONSULTING

Manakala untuk kursus pertanian secara online boleh layari STARTUP MYAGRI

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Misai Kucing and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply