CINCAU HOMEMADE

cincau hitam

Selama ini, saya beranggapan bahawa cincau dihasilkan dari agar-agar. Namun, ternyata anggapan saya ini salah. Ia dihasilkan dari pokok cincau, bahagian daun dan ranting yang  telah dikeringkan. Pokok cincau ini pula terdapat dalam dua jenis iaitu, pokok cincau hitam dan pokok cincau hijau.

pokok cincau

Mesona palustris

Cincau hitam berasal dari pokok cincau hitam atau nama saintifiknya Mesona palustris. Ia merupakan sejenis tumbuhan renek dan menjalar. Ia yang berasal dari keluarga Lamiaceae banyak ditanam di China mahupun Taiwan. Daun dan ranting yang dipetik akan dijemur sehingga menjadi warna kehitaman kerana berlaku proses oksidasi.

daun dan ranting cincau kering

Namun, pokok ini agak sukar didapati di Malaysia. Kebanyakannya diimport dari China mahupun Indonesia.

Cincau boleh didapati dengan mudah dipasar-pasar mahupun pasaraya. Namun, kali ini saya akan tunjukkan cara mudah untuk anda hasilkan cincau hitam ini di rumah. Bahan yang diperlukan tidak banyak.  Caranya juga amat mudah dan anda akan berpuas hati kerana menikmati cincau yang dihasilkan sendiri!

Bahan-bahan:

  • Daun dan ranting yang telah dikeringkan (boleh didapati kedai ubat cina)
  • Air – 1.5 Liter
  • Tepung ubi kayu – 4 sudu makan (di bancuh dengan 200 ml air)

Cara Memasak:

  1. Basuh daun dan ranting kering tersebut
  2. Masukkan air sebanyak 1.5 L air ke dalam periuk.
  3. Rendam daun dan ranting cincau yang telah dibasuh ke dalam periuk yang mengandungi air selama 1 jam.
  4. Selepas siap direndam, tapis air rendaman tadi bagi mengasingkan hampas-hampas daun dan ranting.
  5. Bancuh tepung ubi kayu dengan air biasa.
  6. Masukkan air bancuhan tepung ubi kayu ke dalam periuk tapi pastikan ia ditapis. Kacau selama 15 minit sehingga ia cair semula dan menjadi hitam berkilat.
  7. Setelah itu, angkat dan biarkan seketika.
  8. Pastikan anda siap menyusun bekas yang mahu diletakkan cincau. Apabila ia sejuk, cincau ini akan menjadi likat. Tuang adunan ke dalam bekas.
  9. Apabila sejuk, masukkan ke dalam peti sejuk selama 10 jam.
  10. Setelah sejuk dan kenyal, cincau boleh dipotong mengikut bentuk kiub.

Sekarang, anda boleh menikmati air soya yang diletakkan cincau. Selamat membuat cincau!

air soya cincau

 

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Cincau and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply