LANDAK


Landak merupakan sejenis haiwan mamalia dari order Rodentia yang unik. Secara amnya, landak mempunyai bulu keras yang meliputi bahagian atas badan mereka. Duri landak ini merupakan salah satu alat pertahanan landak yang amat berkesan. Sekiranya landak diserang atau terasa terancam, landak akan cuba melarikan diri dengan pantas ke dalam sarang mereka yang biasanya terletak di bawah tanah. Sekiranya landak tidak sempat melarikan diri mereka, landak akan mengembangkan bulu keras ini sehinggakan seluruh tubuh mereka kelihatan penuh dengan duri tajam yang keras dan mencacak. Sesetengah landak turut mengundurkan diri dengan laju ke arah pemangsa, menyebabkan durinya akan mencucuk kepada pemangsa tersebut. Di hutan Malaysia hanya terdapat tiga spesies landak dari Famili Hystricidea iaitu spesies Hystrix brachyura (Jenis Landak Raya), Trichys fasciculata (Jenis Landak Padi) dan juga Atherurus macrourus (Jenis Landak Nibung). Haiwan ini merupakan jenis yang lazimnya makan serangga kecil seperti semut, buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan dalam keadaan liar semulajadi. Kaedah menangkap landak liar ini ada banyak cara daripada memasang perangkap landak sehingga aktiviti menembaknya.

Haiwan ini merupakan sejenis haiwan yang jarang dibincangkan sebagai sesuai untuk diternak. Barangkali tidak ramai yang kenal haiwan ini kalau tidak berkunjung ke zoo atau belum ramai yang berminat untuk memelihara sebagai hobi mahupun menternaknya untuk tujuan komersial. Lazimnya mereka yang ingin menternak landak raya perlukan baka induk yang sesuai. baka induk atau “benih landak raya’ ini boleh dibeli secara berperingkat-peringkat daripada penternak individu dan direkod oleh perhilitan. Induk landak boleh didapati dari beberapa negeri seperti di sekitar Kedah, Perlis dan Perak. Landak raya juga mempunyai nilai komersial yang tinggi untuk pasaran tempatan dan luar negara. Namun kini populasi landak di negara ini semakin terancam dan berkurangan disebabkan pemburuan haram dan juga pembangunan.

Ukuran seekor Landak Raya dewasa yang diambil dari kepala hingga ekor ialah 51.5- 85 cm dan beratnya diantara 4-10 kg. Berat badan Landak Raya yang telah dibersihkan ialah diantara 7-9 kg pada umur 8- 9 bulan. Spesies ini boleh hidup di dalam kurungan selama 27 tahun. Selain itu, dagingnya mempunyai peratus protein yang sama dengan daging lembu dan kambing, maka ianya boleh menjadi alternative kepada sumber protein yang lain. Walaubagaimanapun,kandungan asid lemak penting adalah tinggi.


Landak Raya hendaklah diuruskan mengikut sistem intensif dan dikurung dalam sangkar secara berkumpulan, berpasangan atau bersendirian. Cara yang terbaik ialah untuk menempatkan seekor jantan dan 2 ke 4 ekor betina dalam satu kurungan. Sangkar yang berasingan diguna untuk menyimpan landak jantan untuk pembiakan dan untuk landak pasaran dibiarkan gemuk.landak yang sedia untuk dijual berusia lebih kurang 8 ke 10 bulan. Kebersihan kandang landak amatlah perlu dititik beratkan sama seperti penternakan ayam atau itik.

Kurungan/kandang yang perlu dibina terdiri daripada beberapa sangkar individu yang kecil iaitu 90cm panjang 60 cm lebar dan 60 cm tinggi, kurungan yang besar pula 180 cm panjang 150 cm lebar 120 cm tinggi untuk 2—4 ekor bagi pembiakan. Penggunaan rumput kering dan bahan-bahan yang tidak bertoksik elok digunakan sebagai lapisan tempat tidur terutamanya jika lantai diperbuat daripada simen dan tempat itu juga digunakan untuk melahirkan anak.

Seekor landak memerlukan lebih kurang 500ml air bersih sehari. Makanan yang boleh diberikan pada landak ialah pellet, ubi dan sayuran. Walaubagaimanapun, dedaun berbatang boleh digantung atau diletak di atas lantai. Jumlah makanan yang diberikan adalah berbeza mengikut umur, kumpulan pembiak atau kumpulan untuk dijual. Secara purata, makanan segar yang diberi adalah mengikut kadar 10% berat badan dan 1% berat badan bagi makanan jenis pellet.

Pemberian ubat cacing perlu dibuat secara rutin setiap 3 bulan dengan menggunakan ubatan yang sesuai dan ditukar setiap dua tahun. Sama juga seperti penternakan haiwan lain, merekod setiap pemerhatian atau aktiviti yang dijalankan adalah penting ke dalam buku log penternak. Landak hendaklah ditimbang setiap bulan bagi memantau kesihatan dan kadar pembesarannya. Beratnya juga direkodkan ke dalam buku log.

Kongsikan!
  • 5
  •  
  •  
  •  
    5
    Shares
This entry was posted in Landak and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply