SIPUT MENTARANG

siput mentarang

Jika anda melalui jalan Kuala Selangor hingga ke Sabak Bernam, pasti anda akan melihat banyak gerai-gerai di tepi jalan yang mempunyai papan tanda mentarang.

Siput Mentarang merupakan sejenis haiwan yang bercengkerang dan boleh dimakan. Ia mempunyai kulit yang nipis dan lebih menggemari air yang mempunyai suhu rendah. 

Mentarang atau nama saintifiknya Pholas orientalis hidup di kawasan air masin yang berlumpur. Ia biasanya hidup pada kedalaman antara 30 hingga 50 sentimeter di dalam lumpur. Disebabkan itu, pencari mentarang terpaksa meredah lumpur bagi mengutip mentarang. Mereka menggunakan tong plastik untuk dijadikan pelampung bagi meletakkan mentarang semasa proses mengutipnya.

kutip mentarang

Ia digelar makanan laut eksotik berikutan kerana ia hanya boleh didapati di kawasan pantai di Sungai Belati Simpang Empat sehingga ke Kuala Perlis dan juga di Pantai Sabak, Sabak Bernam, Selangor. Ia boleh didapati pada jarak 300 meter dari pesisir pantai dan kebiasaanya dikutip ketika air surut. Langkah ini bagi memastikan selut tanah yang terdapat di dalam cengkerang dapat dikeluarkan selain daripada untuk memastikan kesegarannya.

Untuk mengetahui lokasi mentarang, ia boleh dikesan melalui lubang udara yang memancutkan air secara selang seli dan air berkenaan bergenang di permukaan lumpur. Proses mencari haiwan bercengkerang ini tidaklah terlalu mudah. Hal ini kerana jika teknik yang digunakan salah, ia akan mencederakan jari kerana duri kulitnya amat mudah terkena tangan dan dikatakan berbisa.

Selepas di kutip, haiwan eksotik ini perlu direndam selama enam jam. Setelah cukup enam jam rendaman, berus sabut digunakan bagi menggosok cengkerang mentarang bagi menghilangkan kekotoran selut.

siput mentarang

Bentuk Mentarang yang bercengkerang seakan-akan Lala namun Mentarang lebih bujur dan panjang. Isinya berwarna putih dan struktur cengkerangnya sedikit nipis dan rapuh sehingga boleh dipecahkan dengan hanya menekannya.

Ia biasanya dibakar dan dimakan dengan cicahan sos. Bagi mengekalkan tekstur makanan tersebut, disarankan untuk membakar mentarang menggunakan tempurung kelapa. Ada sesetengah yang lebih menggemari untuk merebus mentarang tersebut. Ia biasanya boleh hidup sehingga 10 hari selepas dibawa keluar dari habitatnya, namun sebaiknya mentarang yang telah dibersihkan segera dihidangkan dalam masa dua hari.

mentarang bakar

Haiwan eksotik ini biasanya dijual dengan harga RM6.00 sepinggan, bagi yang masih segar ia dijual dengan harga RM10.00. Mentarang antara makanan laut yang digemari ramai kerana mempunyai rasa manis berbanding haiwan kerangan laut yang lain.

Selain dibakar, mentarang juga boleh dinikmati dengan dimasak sebagai sup, lemak cili api, tumis cili api, kari, rebus, goreng tepung mahupun goreng kunyit.

Jikalau anda membeli mentarang ini disebelah petang dan tidak sempat untuk memasak, anda dinasihatkan untuk tidak mencuci mentarang tersebut dengan air tawar. Sebaiknya letakkan ia ke dalam bekas yang kering. Jikalau terkena air, ia akan mati dan tidak sesuai untuk dimakan kerana ia mengeluarkan bau busuk.

Jadi, jika anda kebetulan ke Sabak Bernam mahupun Kuala Perlis, saya sarankan anda untuk mencuba siput mentarang ini.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Siput Mentarang and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply