Analisa Industri Durian

Durian (Durio zibethinus Murr.) merupakan sejenis pokok tumbuhan dari keluarga Malvaceae iaitu sejenis buah tropika yang dipercayai berasal atau natif dari Brunei, Filipina, Indonesia dan Malaysia. Buah durian memang sejenis buah yang telah lama sinonim dengan masyarakat Malaysia dan negara jiran terutama di Thailand. Pada masa ini negara Thailand dilaporkan pengeksport terbesar buah durian segar di dunia dengan beberapa varieti seperti Chanee, KanYou dan Munthong. Buah durian yang dieksport daripada Thailand merupakan buah yang dipetik di atas pokok tidak sama dengan di Malaysia di mana buah durian yang gugur sahaja yang dipasarkan (buah durian masak ranum). Keluasan tanaman pokok durian di Malaysia sekitar 110,000 hektar dengan beberapa negeri mendomisasi tanaman durian iaitu di Perak, Johor dan Pahang.

Berikutan isu berbangkit berkenaan harga pasaran durian kini makin meningkat sehingga menyebabkan ada golongan yang tidak mampu untuk membeli dan menikmati keenakan dan keunikan buah durian itu sendiri. Malangnya mereka hanya mampu menghidu keenakkan bau buah durian yang amat kuat itu dan hanya melihat jualan-jualan di sepanjang jalan atau digerai tanpa membelinya. Manakan tidak, dengan harga mengikut berat kini sehingga sebiji durian mampu mencecah RM 80 ke RM 150. Mustahil jika hanya mahu beli sebiji sedangkan masih punya isteri dan anak untuk dikongsi bersama jadi sekali belanja mampu mencecah ratusan ringgit. Jadi ada segelintir masyarakat berpendapat bahawa berbaloikah jika mereka menghabiskan wang mereka sehingga ratusan ringgit untuk menikmati durian. Malah, ada juga golongan yang sudah mentah-mentah menolak untuk membeli durian dengan harga pasaran sekarang. Netizen juga tidak terlepas dalam melontarkan pendapat dan kata-kata kesat pada peniaga durian tersebut oleh hal kenaikan harga yang agak melampau katanya.

Baru-baru ini isu durian sedang hangat diperkatakan di mana Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata penanaman durian ini bakal muncul sebagai industri yang mampu menjana ekonomi negara pada masa hadapan. Industri ini boleh menjadi satu industri baharu dan cabang ekonomi yang berpotensi besar kepada sumber pendapatan negara. Hal ini kerana, ia mampu menguntungkan mereka yang mengusahakannya di sepanjang ‘value chain’ selain pengusaha, ia merangkumi pengusaha baja untuk memperoleh hasil durian yang baik, pengangkutan untuk memasarkan durian ke pasaran luar serta kilang untuk memproses pelbagai produk hiliran daripada durian. Promosi makan durian Musang King yang diadakan di Nanning, China juga membuka ruang pasaran durian Malaysia ke China di masa akan datang. Protokol pengeksportan buah durian segar Malaysia ke China sedang diusahakan di antara “General Administration of Quality Supervision, Inspection and Quarantine” (AQSIQ) China dengan Jabatan Pertanian Malaysia.

Durian Musang King ini mempunyai potensi eksport yang sangat luas ke luar negara terutamanya selepas pihak Jabatan Pertanian mendapat laluan pasaran pada tahun 2011 untuk pengeksportan durian dalam bentuk ulas sejuk beku (frozen pulp) ke China. Pada masa ini selain ke negara China, durian sejuk beku juga berjaya menembusi pasaran Australia, New Zealand dan Taiwan. Pada pendapat saya yang juga suka akan keenakkan durian varieti Musang King yang mempunyai kualiti premium yang memenuhi keperluan pasaran antarabangsa.

Kini bagi pengeksportan durian segar diberitakan di mana Malaysia juga mendapat laluan pasaran ke Jepun dan Korea. Jumlah eksport ke China dijangka meningkat kerana penggunaan durian bukan setakat dimakan segar tetapi telah dipelbagaikan bagi tujuan untuk memenuhi kehendak pasaran mereka. Selain durian sejuk beku kini pasaran untuk pes durian juga telah boleh dihantar ke negara tersebut. Bagaimanapun bagi durian sejuk beku, kebiasaannya ia dimakan segar dan dijadikan pes durian untuk pelbagai produk seperti piza, kuih bulan, aiskrim, tart kastard dan pencuci mulut. Salah sebuah syarikat pengimport, pemborong dan peruncit di Shanghai iaitu Royal Durian melaporkan, mereka mengimport durian sejuk beku dari Malaysia kali pertama pada tahun 2010. Selepas tahun 2013, ia menyaksikan pertumbuhan jualan yang konsisten sebanyak 30 peratus setiap tahun.

Sebenarnya fenomena durian Musang King yang mana semakin mendapat tempat di hati pengguna menyebabkan permintaannya tinggi dan memberi kesan kepada harga ladang durian sejak akhir-akhir ini. Harga mencecah antara RM50 sehingga RM140 sekilogram berbanding hanya sekitar RM40 sekilogram tahun lalu. Potensi hasil durian Musang King ialah 90 hingga 130 biji sepokok atau 150 kilogram (kg) hingga 170kg sepokok dan bagi ladang seluas 1 hektar boleh memperoleh sehingga 110 pokok bagi jarak tanaman 9m x 9m. Harga sebiji durian Musang King di Hong Kong boleh mencecah sehingga RM800 kini membolehkan ia mendapat pasaran yang baik. Sebelum ini pun ada dilaporkan di mana durian dari Malaysia dihantar ke China melalui Thailand, Laos dan beberapa negara lain.

Jika dahulu ramai petani sering mengeluh kerana harga buah durian yang tidak setimpal dengan usaha tetapi kini tanaman durian khususnya durian premium seperti Musang King boleh menjana sumber pendapatan yang tinggi kepada para pengusaha dan negara. Ramai pemilik kebun durian varieti lain kini telah menukar kepada tanaman durian varieti musang king. Ada juga pekebun kelapa sawit yang menebang tanaman mereka dan menggantikannya dengan durian varieti musang king di daerah Raub, Jerantut dan Bentong di Pahang. Adakah langkah pengusaha ini adalah langkah yang bijak? Bagi penanaman daripada anak pokok mengambil masa yang agak panjang iaitu sekitar 6 ke 7 tahun untuk mengeluarkan hasil akan tetapi jika pengusaha melakukan cantuman dewasa ia hanya mengambil masa lebih kurang 4 ke 5 tahun (mengikut penyelenggaraan yang betul ) untuk mengeluarkan hasil. Pada satu musim, jangka masa berhasil durian adalah lebih kurang sebulan sahaja(kebanyakan varieti). Manakala jangkaan jualan seperti yang kita lihat semakin meningkat dari masa ke semasa tambahan pula ia makin mendapat sambutan daripada pelancong luar negara. Tidak mustahil saya katakan suatu masa nanti harga jualan durian ini akan lebih meningkat sehingga mampu mencapai ratusan ringgit sebiji.

Kenaikan harga durian Musang King kini benar-benar mempengaruhi harga durian tersebut di pasaran domestik dan juga pasaran antarabangsa. Kini orang ramai atau petani merebut peluang ini iaitu bagi yang mempunyai kawasan tanah yang masih tidak diusahakan atau mempunyai kawasan lapang mereka akan menanam durian premium seperti Musang King. Kepada pengusaha durian yang telah menanam pokok durian tetapi bukan daripada jenis premium juga terpengaruh melakukan teknik cantuman dewasa (Mature budding) untuk mendapatkan tanaman durian tersebut. Akan tetapi berbaloikah ia pada masa hadapan. Jika semua terpengaruh dengan tanaman ini sehingga sanggup menukar jenis tanaman yang telah diusahakan selama ini kepada durian Musang King tidakkah satu masa nanti ianya menyebabkan lambakkan hasil dan menyebabkan harga durian akan turun di mana pengusaha terpaksa menjual dengan harga yang lebih murah berbanding menanggung kerugian.
Berikutan hubungan baik dengan China ia memberikan potensi durian premium untuk pasaran eksport dan antarabangsa memang cerah di masa hadapan dengan wujudnya persetujuan diantara Malaysia dan China mengenai protokol pengeksportan durian dan nenas yang dicapai semasa lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Perdana Menteri Malaysia di Beijing pada 13 Mei 2017. 

Memang seronok mendengar harga durian Musang King melonjak tinggi tetapi untuk mendapatkan sebiji durian musang king dari tangan di kebun sendiri tidak mudah seperti dijangka. Apa pun anda kena mulakan dari sekarang. Pengusaha tidak perlu terburu-buru dalam mengambil keputusan dalam projek yang akan dilakukan. Ilmu dan pengetahuan yang luas dalam bidang pertanian ini harus dibekalkan dahulu untuk menjamin projek yang bakal dilakukan. Teknik pengurusan tanaman yang dilakukan perlulah sesuai kerana ianya sudah tidak mahu dikenali sebagai tanaman bermusim, kesan daripada permintaan yang tinggi pengusaha perlu memikirkan cara untuk menghasilkan buah di luar musim seperti kebiasaan. Justeru, hasil di luar musim ini jugalah merupakan faktor kepada peningkatan harga di pasaran.

Selain itu, pengusaha haruslah memikirkan keuntungan dan modal yang bakal dilaburkan adakah ianya menguntungkan pengusaha pada masa akan datang dan adakah harga durian itu masih boleh kekal dengan harga kini. Ianya kelihatan mudah tetapi percaya lah ia tidak semudah yang anda fikirkan. Ianya kurang baik sekiranya mana-mana pihak mendesak atau hanya fokus kepada satu tanaman sahaja kerana seperti yang saya katakan, ianya akan memberikan kesan tidak baik kelak. Urusan jual beli pada pasaran ke luar negara bukanlah perkara yang remeh. Setiap pengusaha juga perlu mengetahui selok belok dan syarat yang ditetapkan untuk mengeksport hasil pertanian yang diusahakan.

Jadi dengan itu, pengusaha haruslah berfikiran rasional terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. Kenaikan harga yang terlalu tinggi menyebabkan masyarakat di Malaysia juga masih berkira-kira untuk membeli. Bukankah dengan langkah lain iaitu dengan mengawal harga pasaran di Malaysia akan lebih menarik minat masyarakat Malaysia sendiri sekaligus menarik pelancong-pelancong luar ke Malaysia untuk merasai keunikan dan keenakan durian ini dan ianya juga mampu meningkatkan ekonomi negara dalam industri pelancongan. Kegagalan dalam mengurus projek tanaman akan menyebabkan kerugian yang besar kerana sudah pastinya ia memerlukan modal yang cukup besar juga.

Tidak hairanlah jika ada pengusaha atau masyarakat yang baru ingin menceburi bidang pertanian durian tertarik dengan tanaman ini. Hal ini kerana, nilai harga durian itu semakin meningkat dari masa ke semasa sehingga mampu menutup mata pengusaha akan kesan dan akibat jika mereka berhadapan dengan kegagalan. Tanaman durian memakan masa sehingga 6 ke 7 tahun selepas penanaman untuk menghasilkan buah. Jadi kerana itulah saya katakana ianya kurang sesuai jika pengusaha hanya fokus kepada satu tanaman ini sahaja. Pengusaha memerlukan modal untuk melakukan aktiviti pengurusan diladang sebagai contoh pemberian baja yang memakan kos yang amat tinggi.

Walaubagaimanapun, dengan usaha dan semangat yang teguh beserta ilmu yang dimiliki tidak mustahil jika pengusaha mampu mencapai kejayaan tersebut. Tambahan pula, tanaman durian ini juga telah pun mendapat sambutan dan membuka mata kerajaan dimana ia mampu memberikan impak yang baik dan keuntungan pada negara dan pengusaha itu sendiri di dalam mahupun di luar negara.

analisa durian

Analisa kenaikan harga durian

Ringkasan harga

Artikel berkenaan durian belanda boleh klik di sini

Artikel tentang cantuman mata tunas durian boleh baca di sini

Bagi mengenal jenis – jenis durian boleh bacaan di sini

Harress
Latest posts by Harress (see all)

About Harress

Senior Editor myagriDotComDotMy yang serius sewaktu berkebun.
This entry was posted in Analisa and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply