PENANAMAN TEMBIKAI

Penyediaan kawasan dimulakan dengan membersihkan kawasan menggunakan jentolak bagi kawasan baru sebelum dibakar, dibajak dan dibuat batas tanaman. Pembakaran terbuka perlu mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS). Infrastruktur ladang seperti perparitan, jalan ladang, kolam pengairan, sistem pengairan dan pondok setor disediakan seminggu sebelum menanam. Biji benih dibeli dari kedai dan disemai 2 minggu sebelum menanam diatas dulang semaian (sowing tray).

Terdapat banyak varieti tembikai kuning yang sesuai dijadikan ‘pollenator crop’ yang boleh ditanam awal atau serentak dan ianya mencukupi sepanjang penanaman tembikai tanpa biji. Asingkan varieti tembikai pendebunga(lazimnya warna kuning) dengan tembikai yang ditanam untuk membekalkan debunga. Kadar benih tembikai Kuning adalah sebanyak 3 tray (80 lubang) dimana kadar sebanyak 1:10 digunakan. Sebanyak 10 kg media tanaman dalam tray digunakan untuk semaian pendebunga ini. Benih tembikai tanpa biji pula disemai sebanyak 25 tray (80 lubang satu tray) menggunakan bahan media tanaman jenis ‘peat moss’. Disyorkan kadar penyemaian dilebihkan sebanyak 10% kerana akan berlaku proses pemilihan anak benih berkualiti dan juga bagi memastikan kadar percambahan jika kurang dari 80%. Penjagaan ditapak semaian mengikut amalan yang disyorkan seperti memberikan naungan, membuat siraman dan kawalan dari serangan perosak.


Pembajaan asas tembikai dimulakan 7 – 10 hari sebelum menanam dengan baja organik (lazimnya tahi ayam) dengan kadar 3 – 5 metrik tan sehektar (tanah lanar) dan sebanyak 10 – 20 metrik tan sehektar yang digaul dalam tanah. Baja asas NPK 15:15:15 sebanyak 200 kg sehektar ditabur peringkat awal sebelum pemasangan plastik silvershine sebagai sungkupan. Sistem pengairan ‘drip tape’ dipasang dibawah sungkupan plastik. Pastikan bahagian tepi plastik silvershine ditutup kemas dengan tanah agar tidak terbuka apabila ditiup angin. Sediakan lubang penanaman dengan alat khas penebuk lubang dengan jarak antara lubang sejauh 0.75 meter. Pastikan ketika menebuk lubang tidak akan mengoyakkan plastik yang akan merosakknnya.

Penanaman tembikai menggunakan anak benih yang telah disemai dalam tray semaian apabila berumur 7- 12 hari atau apabila ada 4 helai daun. Pilih anak benih yang sihat dan ditanam sebanyak satu pokok setiap lubang penanaman. Pastikan tidak menanam apabila anak benih berumur melebihi 14 hari. Penyiraman perlu dijalankan setiap hari kerana peringkat awal penanaman adalah kritikal dan elakkan daripada pokok menjadi layu akibat kekeringan.

Kawalan serangga perosak dan penyakit seminggu selepas ditanam. Bubuh baja NPK 15:15:15 sebanyak 100 gram sepokok dikawasan lubang penanaman yang dibentuk antara 2 lubang penanaman benih tembikai untuk menggalakkan pertumbuhan akar dan daun. Terdapat juga petani yang membuat semburan baja foliar untuk meningkatkan lagi tahap kesuburan anak pokok. Lazimnya pada hari ke 10 -15 dijalankan cantasan tunas tembikai pada tunas ke 4-5 atau tunas 5-7 dengan menggunakan pisau blade atau dengan tangan. Aktiviti seterusnya kita boleh mendidik sulur iaitu mengalihkan sulur pokok ke satu arah yang berlawanan bagi setiap barisan tanaman dimana cara ini akan memberikan ruangan untuk kita berjalan atau bekerja diantara tanaman.

Kawalan rumpai dijalankan sepanjang penanaman dengan cara manual atau disembur dengan racun rumpai yang sesuai. Pastikan ketika menyembur racun tidak terkena tanaman tembikai kerana ianya akan merosakan tanaman. Sebulan selepas menanam perlu diberikan baja NPK 12:12:17:2:TE pada kadar 100 gram sepokok atau 200 kg sehektar dengan meletakkannya pada lubang pembajaan atau tepi batas. Ini akan menggalakan pertumbuhan akar pada sulur tembikai.

Pada masa ini juga boleh dimulakan Pendebungaan Berbantu (assisted pollination) dengan mengambil debunga daripada pokok tembikai kuning berbiji dan diletakan kepada bunga tembikai yang tidak berbiji. Waktu pendebungaan paling sesuai adalah pada watu pagi diantara jam 7.30 – 1.00 pagi ketika bunga terbuka.

Pembajaan terakhir adalah untuk pembentukan buah dijalankan pada hari ke 40 – 45 dengan baja NPK 12:12:17:2: TE pada kadar 100 gram/pokok. Baja ini boleh ditabur pada lubang pembajaan atau dikawasan dimana ada sulur yang berakar. Tanaman tembikai di Malaysia memerlukan masa 65 – 75 hari untuk dituai bergantung kepada varieti ditanam, cara pengurusan tanaman dan juga sedikit berkait dengan faktur cuaca.

Dari segi fizikalnya mungkin kita lihat tidak banyak perbezaan tetapi kaedah berikut boleh dijadikan panduan. Bergantung kepada varieti yang ditanam, masa matang biasanya melebihi 65 hari sehingga 80 hari dan jika tempohnya kurang daripada 65 hari, memang belum sesuai dipetik. Apabila kita lihat ‘Sulur Paut’, pastikan ianya telah bertukar daripada warna hijau muda kepada warna kekuningan atau kering. Sulur paut yang terlalu kering juga menunjukkan yang buah tembikai terlalu masak. Teknologi paling lazim adalah dengan Menepuk Buah, pengalaman menunjukkan buah matang akan berbunyi padat berbanding dengan buah yang belum matang berbunyi padat tetapi ada bunyi ‘Nyaring’. Jika dilihat pada Kulit Buah, buah akan didapati kekilatan pada buah matang berkurangan dan bagi sesetengah varieti tertentu akan kelihatan jelas warna dan corak buah tersebut.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Penanaman Tembikai and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply