SENGKUANG


Sengkuang atau dikenali juga dengan nama seperti ubi sengkuang, sengkuang cina, beng kwong atau yambean dalam bahasa Inggeris merupakan sejenis tanaman yang mempunyai akar tunjang berubi dan tergolong dalam famili Leguminosae. Sengkuang yang nama saintifiknya Pachyrhizus erosus dikatakan berasal dari Benua Amerika Tropika yang dikenali sebagai xicama atau jicama.

Di Malaysia tanaman sengkuang sesuai ditanam di tanah mineral atau bekas lombong dan banyak ditanam oleh petani di Perak dan Johor. Sengkuang tergolong dalam kategori tanaman singkat masa yang sangat popular dimakan segar atau dimasak sebagai sayur, hidangan salad dan merupakan bahan penting dalam rojak.

Sengkuang berbentuk bulat seperti gasing atau bulat lonjong (panjang), kulit nipis berwarna coklat muda atau perang muda berukuran antara 10 – 15 cm diameter. Isinya berwarna putih berair (juicy) serta berstruktur ranggup (crunchy) dan manis rasanya. Pokok sengkuang mempunyai sifat yang hampir sama dengan pokok kekacang tetapi ianya mempunyai akar tunjang yang berubi besar. Pokoknya tumbuh menjalar di atas tanah atau melilit dan memanjat. Daunnya berbulu berwarna hijau tua dan berbentuk oval. Bunganya berwarna biru keungguan (violet blue) atau putih. Buahnya mengandungi 4 – 10 biji berbentuk hampir 4 segi ke bulat yang berwarna perang, kuning atau merah.

Jarak tanaman disyorkann ialah 0.25 meter x 0.9 meter menjadikan kepadatan sebanyak 256,000 pokok sehektar. Kajian mendapati potensi hasil sengkuang ialah lebih kurang 45 metrik tan sehektar. Pastikan sistem saliran dan pengairan disediakan dengan sempurna. Sistem ‘sprinkler gun’ atau sistem renjisan sprinkler digunakan. Pokok sengkuang akan rosak jika terendam air.

Sengkuang memerlukan keadaan lembab dan panas dengan suhu harian antara 21 – 30C dengan kepadatan hujan antara 500 -1500 mm/tahun. Sengkuang merupakan tanaman tanah rendah namun begitu ianya boleh juga ditanam di kawasan tanah tinggi sehingga 1800 aras paras laut. pH yang paling sesuai untuk tanaman sengkuang adalah diantara 5.5 – 6.8.

Sengkuang dikenal dari ubinya (cormus) yang boleh dimakan mentah atau sebagai komponen pelbagai bahan masakan dan jika diparut, boleh dijadikan masker untuk mengurangkan parut jerawat, menyegarkan muka dan memutihkan kulit. Selain dari itu ianya juga dikatakan berkesan dalam mengatasi penyakit kulit serta menegang serta menghaluskan kulit.

Kandungan vitamin C yang terdapat dalam ubi sengkuang dikatakan berupaya mengubati bibir melepuh atau ulser, ekzema, demam dan sebagai antioksidan yang baik bagi tubuh. Selain itu ubi sengkuang ini juga sangat baik untuk diambil bagi mereka yang mengalami gangguan kolesterol kerana sengkuang mampu membantu menurunkan kadar kolesterol jahat yang ada di dalam darah.

Selain dari itu, ubi sengkuang juga boleh dikeringkan dan dijadikan ubat herba untuk diminum bagi mengurangkan panas badan akibat demam. Amalan meminum jus ubi sengkuang boleh melawaskan kencing, penawar demam kuning serta gout.

Sengkuang Calit

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Sengkuang and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply