KELAPA : ANALISA INDUSTRI

KELAPA (Cocos nucifera) merupakan tanaman indutri yang keempat terpenting di Malaysia selepas Kelapa Sawi, Getah dan Padi. Tanaman ini merupakan tanaman penting satu ketika dulu sebelum komoditi baru mengambil alih secara berperingkat digantikan dengan tanaman kelapa sawit bagi sektor pekebun kecil terutamanya. Bagaimana pun Perdana Menteri Malaysia dalam Bajet 2018 telah memberikan tumpuan khas pembangunan kelapa dengan jumlah peruntukkan yang besar iaitu sebanyak RM50 juta pada tahun 2018. Pada masa ini jumlah keluasan kawasan penanaman menunjukkan trend yang menurun dalam tempoh 10 tahun lepas disebabkan oleh persaingan dengan tanaman lain terutama kelapa sawit.

Pada masa kini, pengeluaran kelapa negara adalah sebanyak 504,700 tan metrik setahun dengan keluasan tanaman sebanyak 84,600 hektar. Berdasarkan statistik semasa antara negeri yang mempunyai keluasan penanaman terbesar adalah Sabah diikuti Sarawak, Johor, Selangor dan Perak. Walaupun begitu, negara masih mengimport sekitar 100 juta hingga 120 juta biji kelapa tua setahun bagi menampung pengeluaran kelapa negara sebanyak 600 juta biji setahun sama ada untuk jualan segar mahupun memenuhi permintaan kilang memproses kelapa.

kepala

Penanaman kelapa matag dan kelapa pandan dimulakan dengan penyediaan kawasan. Sisa-sia tanaman kelapa lama perlu dibersihkan dengan cara seperti membakar atau dibawa keluar dari kawasan untuk mengelakan pembiakan kumbang tanduk. Terdapat dua sistem penanaman kelapa ini iaitu Sistem Tiga Segi dan Sistem Empat Segi. Jarak tanaman yang diamalkan kan memberikan kepadatan pokok berbeza-beza mengikut jenis kelapa. Bagi kelapa matag dengan jarak tanaman 8.1m x 8.1m memberikan kepadatan 178 pokok sehektar (sistem tiga segi) dan 152 pokok sehektar (Sistem empat segi). Tanaman kelapa pandan pula dengan jarak tanaman 6.5m x 6.5 meter memberikan kepadatan 272 poko sehektar (sistem tiga segi) dan 236 pokok sehektar (Sistem empat segi). Bagi kawasan tanah yang rendah dan mudah dinaiki air kaedah penanaman secara ‘Camber’ adalah disyorkan. Penanaman cara ini dibuat dengan setiap dua baris kelapa akan diselang dengan parit ladang berukuran 122 cm x 91 cm. Ianya akan memudahkan kerja pengurusan ladang seperti mebaja, mengawal rumpai dan menuai hasil kelapa.

Namun begitu, dalam industri ini masih terdapat beberapa cabaran dan isu yang dihadapi antaranya ialah petani atau pekebun sedia ada telah berumur iaitu purata 55 tahun ke atas. Ia menghadkan keupayaan petani jika mengalami sebarang masalah kesihatan. Hal ini kerana golongan muda tidak berminat untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian. Malah lagi menyedihkan apabila mereka hanya memandang rendah bidang pertanian di Malaysia ini. Selain itu, antara cabaran dan isu ain adalah saiz kebun yang kecil antara 0.2 hingga dua hektar sahaja. Dengan saiz ini ia kurang ekonomik, seterusnya tidak dapat memberikan pendapatan yang tinggi kepada petani. Purata keluasan milikan petani adalah dalam 1.2 hektar sahaja.

Seterusnya, ancaman perosak dan penyakit juga adalah salah satu cabaran yang tidak boleh dipandang rendah. Pada ketika ini, terdapat sejenis perosak iaitu Kumbang Merah Palma (Rhynchophorus ferrugineus) telah didapati menyerang tanaman kelapa. Jabatan Pertanian telah memperuntuk sebanyak RM4 juta untuk membendung, mengawal dan menghapuskan perosak tersebut dan sehingga kini perosak tersebut telah dapat dikawal daripada merebak ke negeri-negeri lain. Pengurusan ladang yang tidak sistematik atau masih lagi mengamalkan pengurusan tradisional seperti tidak membaja pokok dan hanya kutip hasil tunggu buah tua jatuh juga merupakan isu dalam pengurusan tanaman di mana akan menyebabkan pengeluaran hasil kelapa menurun.

Justeru itu, pada tahun 2018, kerajaan telah memperuntukkan RM50 juta bagi pembangunan industri kelapa yang kini dilihat berpotensi sebagai sumber kekayaan baharu negara. Peruntukan tersebut adalah bagi menggalakkan pembangunan industri kelapa yang akan dilaksanakan secara sistematik, merangkumi program peningkatan pengeluaran kelapa dan program pengeluaran benih kelapa varieti terpilih berhasil tinggi.
Antara varieti kelapa yang berpotensi tinggi selain kelapa matag dan kelapa pandan ialah kelapa Rendah Kuning Malaya (MYD) dan kelapa Rendah Merah Malaya (MRD). Bagi program pengeluaran kelapa, inisiatif yang akan dilaksanakan adalah melalui pendekatan tanam semula terutama di ladang-ladang tradisional, penanaman secara berkelompok dan secara integrasi dengan komoditi lain.

Selain itu, penyelidikan terkini yang dilaksanakan oleh pihak Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) juga telah berjaya menghasilkan kelapa hibrid Marleca, Myleca, Careni, Careca, Marena dan Mylag yang sudah tentu akan menyumbang kepada varieti kelapa baharu dalam beberapa tahun yang akan datang.

Menyebut berkenaan tanaman kelapa secara integrasi dengan komoditi lain ianya merupakan langkah yang agak efisien kerana untuk meningkatkan pendapatan pekebun kelapa bukan hanya tertumpu kepada peningkatan prestasi pengeluaran kelapa itu sendiri. Sifat semulajadi sistemakar, bentuk naungan kanopi dan susun atur pelepah menjadikan tanaman kelapa sesuai untuk integrasi tanaman. Kelapa boleh hidup di pelbagai jenis tanah walaupun tumbesaran dan hasilnya berbeza. Jenis tanah yang terbaik untuk penanaman kelapa adalah jenis tanah liat pantai yang mempunyai saliran yang baik.

Bagi melaksanakan program integrasi ini, beberapa panduan perllu diambil kira dalam penanaman antaranya ialah ia dilakukan pada kawasan tanaman kelapa yang ditanam secara baris kembar dua. Jarak tanaman kelapa bagi sistem ini ialah 7m X 7 m X 15m dengan kepadatan 128 pokok per hektar. Antara tanaman yang boleh di integrasikan ialah ubi kayu, tembikai, jagung, cili dan serai. Pembajaan berkala bagi tanaman integrasi di bawah kelapa adalah menggunakan syor dan kadar yang telah ditetapkan. Memandangkan kos pembajaan sangat tinggi, penggunaannya mestilah berhemah bagi mengelakkan pembaziran dan penggunaan bahan kimia yang disyorkan amat dititikberatkan. Berdasarkan kajian yang pernah dijalankan, kaedah ini mampu meningkatkan hasil purata kelapa secara bulanan sebanyak 47 peratus di bawah sistem tanaman kelapa konvensional.

Pemilihan varieti kelapa yang akan ditanam juga memainkan peranan yang penting. Antara contoh yang disyorkan oleh pihak bertanggungjawab ialah kelapa Rendah Kuning Malaya (MYD) dan kelapa Rendah Merah Malaya (MRD). Kelapa MYD dan MRD ini sangat berpotensi untuk dibangunkan sebagai tanaman yang boleh memberikan sumber kekayaan baharu. Ia mempunyai produktiviti yang amat tinggi dengan kepadatan tanaman sebanyak 250 hingga 270 pokok sehektar (6.5 m X 6.5m). Varieti kelapa tersebut juga boleh mencapai tahap pengeluaran sebanyak 25,000 hingga 30,000 biji sehektar setahun berbanding kelapa Tinggi Malaya dengan kepadatan sebanyak 100 hingga 120 pokok sehektar (10m X 10m) dengan pengeluaran antara 6000 hingga 8,000 biji sehektar setahun. Harga ladang bagi kelapa tua daripada varieti MYD dan MRD pula ialah antara RM1.20 hingga RM1.50 sebiji manakala harga ladang kelapa muda adalah RM2 hingga RM2.50. Pada masa ini, sumber bekalan anak benih kelapa rendah sentiasa boleh diperoleh di pusat-pusat pertanian Jabatan Pertanian dengan harga RM6 sepokok. Satu lagi kelebihan buah kelapa daripada varieti kelapa rendah ialah ia berpotensi untuk diproses bagi menghasilkan kelapa parut, kelapa parut kering, kerisik, santan kelapa serbuk santan dan minyak kelapa. Ia juga sangat sesuai untuk diproses bagi menghasilkan produk-produk yang ditambah nilai seperti minyak kelapa dara, jeli kelapa, nata de coco, serat kelapa, karbon teraktif dan produk kraftangan. Malah, saiz buahnya yang sederhana besar amat sesuai untuk dijadikan minuman air kelapa muda.

Sebenarnya pihak bertanggungjawab sentiasa menggalakkan pengusaha dan pengilang untuk terlibat dengan aktiviti pemprosesan produk kelapa seperti santan, kerisik, minyak kelapa, air kelapa dan produk yang berpotensi untuk dieksport seperti karbon teraktif, sabut dan sebagainya. Pada masa ini minyak kelapa dara (VCO) juga mendapat permintaan yang amat tinggi dari negara-negara Europah dan Amerika Syarikat. Namun kebanyakan pengusaha yang terlibat hanya menjalankan perusahaan ini secara kecil-kecilan. Sekiranya dapat dilaksanakan dengan skala yang besar ia akan dapat meningkatkan pendapatan dan ekonomi negara. Selain itu penyelidikan oleh pihak universiti tempatan juga telah membuktikan bahawa minyak kelapa juga mempunyai khasiat yang baik dari segi kesihatan dan dengan adanya promosi yang baik produk-produk ini akan meningkatkan lagi eksport negara. Semoga dengan adanya pelan dan peruntukan baru yang telah diberikan mampu meningkatkan prestasi industri kelapa di Malaysia dan ianya mampu menarik minat anak muda untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian.

Bagi mengenali perosak tanaman kelapa boleh baca di sini.

Bagi mengenali penyakit tanaman kelapa boleh baca di sini.

Artikel berkenaan Kelapa Matag baca di sini.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Analisa, Kelapa, Kelapa Matag and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply