Pengurusan anak benih cili fertigasi

Pengurusan anak benih termasuk penyiraman, pembajaan dan kawalan penyakit dan perosak perlu diberikan di peringkat tapak semaian untuk menghasilkan anak benih yang sihat dan bebas penyakit. Kejayaan sesebuah projek perusahaan tanaman cili bergantung secara langsung pada penggunaan anak benih yang sihat, bebas penyakit dan seragam.

Peat moss digunakan sebagai media percambahan bersama-sama dulang semaian 104 sebagai bekas semaian. Kemudiannya, dulang semaian diisikan dengan peat moss tidak terlalu padat atau terlalu longgar. Seterusnya, lubang tanaman sedalam 1 cm dibuat pada peat moss.

Biji benih cili dimasukkan ke dalam lubang tanaman dengan satu biji benih setiap satu lubang plug dan biji benih disiram dengan air bersih bagi memastikan biji basah (Gambar 1). Kemudiannya, lubang biji benih dikambus dengan tidak terlalu padat.

Dulang semaian ditutup dengan helaian plastik hitam dan diletakkan di bawah teduhan (Gambar 2). Kebiasaannya, biji benih cili mengambil masa 4–6 hari untuk bercambah. Selepas, biji benih bercambah, helaian plastik hitam dibuka dan dulang semaian diletakkan di dalam takung pembesaran (Gambar 3).

Takung pembesaran digunakan sebagai bekas rendaman anak benih cili (Gambar 4). Takung pembesaran boleh diperbuat daripada bahan seperti kayu, PVC, polistirena dan plastik polietilena untuk ketahanan (Gambar 5). Ketinggian yang disyorkan bagi takung pembesaran ialah 4 inci dengan lebar dan panjang diubah suai mengikut bilangan dulang semaian.

Anak benih yang berusia 4–6 hari diberikan larutan baja fertigasi cili dengan kepekatan elektrik-conductivity (EC) 1.2–1.8. Kepekatan baja larutan ditingkatkan sehingga 1.8 EC seminggu kemudian sehingga anak benih telah bersedia untuk dipindahkan. Kepekatan baja boleh diukur menggunakan EC meter. Larutan baja dicurah secara rata ke dalam takung pembesaran dengan ketinggian 1 cm daripada dasar dulang semaian.

Anak benih cili berusia 18–21 hari sedia untuk dipindahkan ke ladang atau ke dalam polibeg bagi sistem penanaman secara fertigasi (Gambar 6). Pada peringkat ini ketinggian anak benih cili ialah 10–15 cm dan mempunyai 8–10 helaian daun.

Pada peringkat nurseri, pengusaha perlu melakukan semburan racun seminggu sekali sehingga anak pokok sedia dipindahkan ke dalam polibeg pada usia 18-21 hari. Antara racun yang disyorkan adalah racun malathion pada kepekatan 15 ml per 20 liter air.

Kongsikan!
  •  
  •  
  •  
  •  
This entry was posted in Cili, Cili padi, Fertigasi and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply