AMBUYAT @ LINUT

Pelbagai variasi pilihan makanan yang boleh didapati di sekitar Borneo salah satunya ialah ambuyat atau nama lainnya linut. Menurut sejarah awal terhasilnya ambuyat ialah kerana menggantikan makanan ruji iaitu nasi kerana kekurangan penghasilan beras pada zaman dahulu. Ambuyat diperbuat daripada sagu iaitu kanji yang terdapat daripada pokok rumbia. Pokok rumbia merupakan spesies daripada pohon palma seperti kelapa, sawit dan juga nipah.

  Pokok rumbia atau dikenali sebagai pokok sagu hidup dikawasan pendalaman hutan hujan tropika, pokok ini akan ditebang dahulu untuk mendapatkan sagunya. Manakala daunnya digunakan untuk kraftangan dan juga boleh dibuat atap.  Pokok rumbia yang telah matang akan ditebang, dan akan diproses dengan cepat ini kerana mengelakkan daripada kanjinya merosot.

  Cara memproses sagu bukan sesuatu yang mudah,  pokok rumbia mempunyai dua lapis kulit dan kulit pertama dan kedua  perlu dikupas terlebih dahulu sebelum batangnya dipotong dalam saiz yang lebih kecil dan direndam. Tujuan direndam adalah untuk mengelakkan serangan ulat.  Kemudian ialah proses menggarut, untuk mengeluarkan air dari batang pokok rumbia. Air pokok rumbia perlu ditapis untuk membuang hampas yang kasar dan juga hampas yang halus. Air perahan rumbia akan dimendapkan selama hampir setengah jam sebelum air yang kotor itu dibuang dan digantikan dengan air yang baru. Sagu akan dihancurkan lagi sehingga lumat dan diproses sehingga produk akhirnya iaitu tepung sagu.

Setelah penerangan panjang lebar , membuat ambuyat hanya menggunakan 2 bahan sahaja iaitu tepung sagu dan juga air panas yang betul-betul panas. Caranya perlu perlahan-lahan menuang air panas kedalam tepung sagu dan kacau sedikit sehingga rasa kelikatannya. Tuang air panas sedikit dan kacau sehingga konsisten dan berhenti tuang air panas untuk mengelakkan daripada tepung sagu jadi berair dan tidak likat. Kacau tepung sagu sehingga strukturnya berubah menjadi putih jernih seakan gam.

Ambuyat tidak mempunyai rasa, dan tawar, ambuyat selalunya dimakan dengan hidangan sampingan seperti sambal istimewa yang rasanya masam dan pedas, ikan bakar dan juga sebarang sayur goreng.  Cara memakannya juga agak menarik menggunakan garfu buluh seakan chopstick yand dipanggil candas, caranya ialah mencucuk candas kedalam ambuyat pusingkan dan tarik sehingga putus. Kemudian cicah ambuyat dengan sambal sebelum terus menelannya, tidak perlu kunyah kerana ia akan akan menyebabkan rasa seperti tercekik atau ingin muntah. Sesiapa yang pergi ke Borneo digalakkan untuk mencuba hidangan istimewa ini.

Syaidatul Redza
Latest posts by Syaidatul Redza (see all)
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply