PENGAIRAN RENJIS VS TITIS

Kebanyakan tanah di Malaysia tidak berupaya memegang air pada tahap mencukupi untuk sepanjang tempoh pertumbuhan pokok. Terdapat kawasan tanah pertanian tidak berupaya menyalurkan air berlebihan keluar dari kawasan tersebut sehingga boleh menjejaskan pertumbuhan tanaman. Bagi mengatasi masalah di atas, maka pengurusan air merupakan faktor penting yang perlu diberi perhatian bagi menjamin hasil pengeluaran tanaman yang maksimum. Aspek pengurusan air dalam bidang pertanian melibatkan dua aspek utama iaitu pengairan dan saliran.

Pengairan bermaksud satu usaha membekal air kepada tanah supaya air dalam tanah sentiasa cukup untuk keperluan pertumbuhan tanaman yang sempurna. Pengairan diperlukan apabila tahap kelembapan di dalam tanah menurun hingga ke paras 50%. Dengan sistem pengairan yang sempurna, paras kelembapan dalam tanah dapat ditingkatkan semula kepada 100% atau ke tahap had basah tanah.

Terdapat beberapa sistem pengairan yang biasa diamalkan dalam bidang pertanian di Malaysia iaitu sistem pengairan renjis, sistem pengairan titis dan sistem pengairan permukaan. Artikel kali ini saya akan kongsikan mengenai sistem pengairan renjis dan titis.


Sistem pengairan renjis adalah sistem pengairan dimana air disembur sebagai renjisan pada tanaman dengan tekanan yang tinggi melalui kepala perenjis yang dipasang pada paip tetingkat. Untuk menyembur air di bawah tekanan, pam air digunakan. Sistem ini digunakan untuk penanaman sayur-sayuran dalamkawasan semaian anak pokok hiasan dan semaian pokok tanaman perladangan seperti kelapa sawit dan getah. Kecekapan pengairan adalah di antara 70% – 80%. Kecekapan pengairan ialah peratus air yang dibekalkan yang boleh dimanfaatkan oleh tanaman.

Sistem pengairan renjis sesuai digunakan dalam keadaan berikut:

1. Tanah baru dibuka untuk tujuan pertanian dimana pengairan perlu dipasang dengan segera untuk mengairi tanaman
2. Tanah yang diusahakan mempunyai tekstur tanah berpasir yang tidak berupaya memegang air dengan berkesan
3. Tanah yang mempunyai topografi yang tidak rata
4. Tanaman yang ditanam secara padat dan rapat
5. Tanah yang suram dan terdedah pada hakisan tanah
6. Tanah yang mempunyai sumber air yang terhad

Antara kebaikan sistem pengairan renjis adalah:

1. Penyemburan air dilakukan secara seragam atau sekata pada keseluruhan kawasan
2. Sesuai digunakan pada kebanyakan jenis tanah terutama pada jenis tanah yang telap air
3. Kadar hakisan tanah rendah kerana larian air diatas permukaan tidak berlaku berbanding dengan jenis sistem pengairan permukaan
4. Komponen sistem yang dipasang dalam kawasan ladang tidak menghalang aktiviti lain di ladang
5. Komponen sistem pengairan renjis boleh diubah ke lokasi lain, kerana ianya mudah dibuka dan dipasang semula

Sistem pengairan renjis mempunyai beberapa kelemahan iaitu:

1. Kos permulaan untuk membeli dan memasang sistem adalah tinggi
2. Kos operasi dan penyelenggaraan tinggi seperti kos operasi pam untuk jangka waktu yang lama, kos penyelenggaraan pam dan sistem perpaipan
3. Sebaran air dipengaruhi oleh tiupan angin yang kuat yang boleh menjejaskan sebaran air semburan
4. Tanah terdedah kepada keadaan terlalu lembab jika tempoh pengairan tidak dikawal dengan sempurna dan boleh mendedahkan kepada bahaya serangan penyakit tanaman
5. Tidak sesuai digunakan pada tanah yang berstruktur padat di mana kadar penyerapan air adalah rendah
6. Operasi sistem pengairan renjis tidak boleh digunakan dengan serta merta selepas operasi semburan racun makhluk perosak untuk mengelakkan kehilangan kesan racun


Sistem pengairan titis adalah kaedah pengairan dimana air dibekalkan secara terus kezon akar pokok pada kadar air yang rendah, perlahan serta kerap. Air dibekalkan kepada setiap pokok menerusi alat yang dinamakan sebagai penitis air yang dipasangkan pada paip poliethyene. Sistem ini sesuai digunakan untuk tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran yang menggunakan sistem penanaman secara fertigasi, di kawasan berbukit di kawasan jenis berpasir dan di kawasan yang mempunyai kuantiti sumber air yang terhad. Penyelenggaraan sistem pengairan titis adalah sama seperti penyelenggaraan sistem pengairan renjis. Aspek yang paling utama yang perlu diberi perhatian ialah kualiti air kerana saiz lubang penitis adalah halus dan mudah tersumbat.

Antara kelebihan sistem pengairan titis adalah:

1. Memerlukan tekanan air yang rendah
2. Air dibekalkan terus ke zon akar pada setiap pokok dan ini menjimatkan penggunaan air
3. Tiada kesan larian air di atas permukaan tanah atau kesan air bertakung kerana air dibekalkan secara titisan yang perlahan membolehkan ianya terus diresap ke dalam tanah
4. Mengekalkan kelembapan tanah dan seterusnya membolehkan tanaman dapat mengambil nutrient secara berterusan untuk pertumbuhan tanaman yang sempurna
5. Oleh kerana air hanya dibekalkan ke zon akar pokok, sistem ini tidak mengganggu operasi kerja lain seperti merumput, menyembur racun makhluk erosak dan sebagainya.

Manakala, sistem ini juga terdapat beberapa kelemahan iaitu:

1. Lubang keluar air pada alat penitis sangat halus dan mudah tersumbat
2. Rangkaian sistem paip polyethylene yang dipasang di atas permukaan tanah terdedah kepada kerosakkan seperti boleh terputus kerana terpotong oleh mesin rumput begalas atau digigit tikus
3. Jika digunakan untuk tempoh yang lama akan mengakibatkan berlaku kesan pengumpulan garamgalian pada zon akar yang boleh merosakkan tanaman kerana air dititiskan hanya pada wakawasan tertentu sahaja setiap masa

Ramai petani memilih sistem pengairan disebabkan oleh kesesuaian teknologi, kos awal pemasangan dan modal sedia ada serta jenis pengurusan komoditi dipilih. Walau pun sistem sprinkler digunakan secara meluas dalam industri tanaman makanan, tetapi kaedah pengairan titis kini mula mendapat perhatian dengan kaedah pengairan dan pembajaan fertigasi di kawasan tanah terbuka.

Petani atau usahawan perlu mendapatkan khidmat nasihat dari pihak bertanggungjawab, rakan-rakan petani lain yang telah mengamalkan sistem pengairan atau daripada tauke kedai yang menjual peralatan sistem pengairan. Pemasangan sistem pengairan yang sempurna akan membantu meningkatkan produktiviti kebun dan seterusnya memberikan pendapatan optima kepada petani.

danial danish

About danial danish

co-Founder Myagri. Petani kapitalis yang menumpukan pada kos efektif pada setiap projek pertanian untuk minimakan kos, triplekan hasil pengeluaran dan maksimakan pendapatan.
This entry was posted in Sistem Pengairan and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply