Cara-Cara Ternakan Ikan Sepat

Ikan sepat merupakan sejenis ikan air tawar yang mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan dan diternak secara besar-besaran ekoran permintaannya yang tinggi di pasaran. Ia sangat popular di kawasan Asia Tenggara dan beberapa negara lain sebagai sumber makanan dan juga untuk ikan hiasan.

Terdapat beberapa spesies ikan sepat yang popular iaitu sepat siam, sepat rawa, sepat mutiara dan sepat kecil. Selain daripada itu, nama-nama tempatan lain sepat adalah seperti sepat sawah, sepat ronggeng, sepat biru, sepat sapek, sepat benua dan lain-lain lagi.

Ikan sepat siam adalah spesies yang paling popular dan mudah dijumpai di perairan semula jadi di Malaysia terutamanya di kawasan sawah padi dan tali air. Namun, populasinya berkurang atau tidak terlalu banyak seperti dahulu disebabkan kebanyakkan sawah padi telah menggunakan racun kimia yang berlebihan menyebabkan kematian. Walaubagaimanapun, bagi penggemar dan ingin mengatasi masalah kekurangan ikan sepat antara caranya ialah melakukan pembiakan di dalam kolam. Pembiakan ikan sepat di dalam kolam mestilah tahu cara-cara untuk menternaknya. Ikuti cara-cara di bawah sebagai panduan semua orang.

  • Pemilihan kolam

Terdapat beberapa jenis kolam untuk menternak ikan sepat iaitu kolam tanah, kolam sangkar yang diletakkan di dalam sungai, parit tali air, kolam diperbuat daripada simen, pvc dan kanvas. Kebanyakkan penternak akan memilih kolam tanah dengan kedalaman 3-4 kaki dan pemukaannya mesti luas.

Antara kelebihan kolam tanah:

  1. Kadar oksigen terlarut yang tinggi hasil dari pancaran cahaya matahari dan angin yang bertiup.
  2. Ruang mestilah luas agar ikan hidup bebas dan cepat membesar tanpa memberi tekanan pada ikan.
  3. Minimum kadar kematian ikan.
  4. Menghasilkan kuantiti ikan yang banyak.
  • Pemilihan Tapak Kolam

Jenis tanah yang perlu dititikberatkan ialah jenis fizikal dan kimia tanah, paras mata air dan kebolehan menakung air. Elakkan daripada memilih tanah yang berpasir, gambut dan berasid. Ph tanah yang sesuai untuk kolam ialah 7.00 – 8.50. Selain daripada itu, elak juga daripada memilih kawasan yang rendah, yang sering dilanda banjir dan kemarau yang berpanjangan.

  • Persiapan Kolam

 Tujuannya ialah untuk membersihkan kolam dari segala ikan pemangsa, serangga air, bebas daripada unsur-unsur tanah seperti pereputan bahan organik, najis ikan dan sebagainya yang mengancam agar ianya tidak menggangu anak ikan sepat yang menetas nanti.

  1. Keringkan kolam – air dipam sehingga kering dan ikan yang bersembunyi dikutip.
  2. Mengapor kolam (Burnt / Quick Lime) – membunuh segala hidupan air dan juga menstabilkan pH tanah.
  3. Bersihkan kolam – gunakan pam untuk mngepam air masuk ke dalam kolam dari parit taliair.
  4. Menjemur kolam – dibiarkan berjemur sekurang-kurangnya seminggu untuk membebaskan sebanyak mungkin gas ammonia yang terperangkap dari dasar kolam.
  5. Persiapan untuk pembenihan ikan sepat – induk ikan mestilah disediakan, dipilih dan diasingkan mengikut jantina.
  6. Masukkan air ke dalam kolam – lakukan pada awal pagi dan penyuntikan ikan mesti dilakukan pada waktu ini juga dan dilepaskan ke dalam kolam setelah air penuh.
  7. Pembajaan kolam – baja kimia (superfosfat) dengan tambahan baja organik (ayam dan itik) untuk membantu perkembangan plankton sebagai makanan anak ikan. Baja najis ayam juga dapat menaikkan suhu air dan mempercepatkan proses perkembangan embriologi telur ikan sepat. Jerami padi juga boleh ditabur di sekeliling kolam untuk memasamkan kolam ikan dan memberi ransangan kepada induk jantan dan betina melakukan pembiakan.
  • Suntikan dan Pembenihan ikan

Hormon (ovaprim) dan jarum suntikan

Induk ikan perlu ditimbang terlebih dahulu. Jika berat induk 100 gram, jumlah hormon yang diperlukan ialah sebanyak 0.01ml dengan menggunakan jarum suntikan. Untuk memudahkan proses menyuntik, sirip ikan diselak ke atas dan dipegang dengan ibu jari.

Pembenihan ikan sepat

Jumlah induk jantan dan betina mestilah sama (ratio1 : 1) kerana ikan sepat adalah jenis ikan yang hidup berpasangan. Selepas disuntik, dan dilepaskan di dalam kolam, kelihatan telur yang tersenyawa akan terapung di permukaan air dan dipungut oleh induk jantan dengan mulutnya dan diperangkap di dalam buih yang disediakan oleh induk jantan di permukaan air setelah jangkamasa 2 minggu berikutnya. Kelihatan telur yang berwarna perang di dalam buih tersebut. Buih-buih tersebut akan hilang selepas 2-3 hari ia wujud dan itu menandakan telur sudah menetas.

Dianggarkan seekor induk betina akan mengeluarkan telur 500-1500 biji mengikut saiz dan berat ikan tersebut. Kadar keupayaan untuk hidup ialah 60% disebabkan tindak balas pada alam sekeliling seperti suhu, hujan dan musuh.

Selepas telur menetas, tidak digalakkan untuk memberi apa-apa makanan sehinggalah anak sepat itu dapat lihat dengan jelas dalam jangka masa 4-6 minggu dengan anggaran saiz 2.5-3.5 cm.

4 cara menternak ikan sepat di atas harap dapat memberi panduan dan manfaat pada semua. Sebenarnya ikat sepat ini tiada masalah untuk dijual, walaupon sekecil 2 jari kerana ikan sepat ini selain daripada sumber makanan, ia juga boleh juga dijadikan sebagai ikan hiasan. Hanya satu sahaja masalah yang dihadapi untuk menternak ikan sepat iaitu tempoh pembesaran agak lama sebelum boleh dijual iaitu selama 5-8 bulan.

Kongsikan!
  •  
  •  
  •  
  •  
This entry was posted in Ternakan air and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply