VARIETI HALIA

Halia mempunyai beberapa varieti di mana setiap varieti adalah berbeza dari segi bentuk rizom, warna, kepedasan, dan kandungan serat. Terdapat enam varieti yang popular dan menjadi pilihan pengusaha di Malaysia untuk dikomersialkan. Antaranya ialah halia Bentong, Indonesia, Cina, Tanjung Sepat, Tanduk Rusa, Tambunan dan Halia Bara.

1. Halia Bentong

Merupakan varieti utama yang menjadi pilihan penguasaha halia kerana mempunyai rizom yang besar, mempunyai kandungan serat yang sangat rendah dan berisi bendalir di mana menghasilkan lebih banyak jus, rizom berwarna pucat kekuningan dan isi rizom berwarna kuning cair serta tahap kepedasan yang tinggi. Ia juga dikenali sebagai halia bukit tinggi kerana ditanam di kawasan cerun bukit tanah tinggi seperti di Bukit Tinggi, Janda Baik dan Bentong Pahang. Harga bagi halia varieti ini merupakan yang paling tinggi berbandig dengan varieti lain. Halia bentong dijual sebagai halia tua, jarang pengusaha menjualnya sebagai halia muda. Selain itu, ia juga merupakan varieti halia yang berkualiti dan menghasilkan pendapatan yang lumayan. Halia bentong juga merupakan halia yang terbaik di dunia. Halia Bentong telah dipaten daripada segi geografi kawasan penanaman oleh Kerajaan Malaysia, di mana Halia Bentong yang ditanam di Malaysia sahaja diiktiraf sebagai Halia Bentong. Sebaliknya, jika Halia Bentong ditanam di luar Negara, pengusaha tersebut tidak boleh mengiktiraf halia tersebut sebagai Halia Bentong.

2. Halia Tanjung Sepat

Halia Tanjung Sepat sinonim dengan kawasan penanamannya iaitu Tanjung Sepat, Selangor. Ia mempunyai rizom berbentuk kurus yang panjang dan berwarna kekuningan muda. Mempunyai rasa yang pedas dan berserat tinggi. Ini merupakan halia makan yang sering ditanam oleh pengusaha halia di Malaysia. Oleh kerana kandungan seratnya yang tinggi, halia tanjung sepat diusahakan sebagai halia muda.

3. Halia Cina

Mempunyai jari-jari rizom yang besar penuh berisi, berlendir dan sederhana pedas. Isi rizom berwarna kuning pucat keputihan. Halia cina mempunyai kandungan serat yang tinggi. Halia ini juga banyak digunakan di dalam pelbagai jenis masakan kerana rasanya yang kurang pedas.

4. Halia Indonesia
Halia Indonesia mempunyai rizom yang panjang, isi rizom berwarna kuning muda serta mempunyai kandungan serat yang tinggi. Halia ini juga merupakan antara baka pilihan pengusaha untuk diusahakan di Malaysia. Rizom halia ini mempunyai ciri – ciri yang hampir sama dengan halia Tanjung Sepat. Justeru itu ramai pengusaha dan pengguna mengklasifikasikan Halia Indonesia dan Halia Tanjung Sepat sebagai halia yang sama.

5. Halia Tanduk Rusa

Halia Tanduk Rusa merupakan halia yang berasal daripada Negara Thailand. Mempunyai rizom yang besar dan memanjang ke atas. Isi rizom berwarna kuning muda serta mempunyai rasa pedas yang kurang serta mempunyai kandungan serat yang tinggi. Mempunyai rupa rizom seakan – akan halia bentong. Ini menyebabkan ramai pengusaha dan pengguna tersalah membeli halia ini pada harga halia Bentong.

6. Halia Tambunan

Merupakan produk pertanian yang paling utama di daerah Tambunan, Sabah. Halia Tambunan mendapat nama bersempena daerah Tambunan sebagai kawasan penanaman halia terbesar di Sabah. Mempunyai kualiti yang hampir sama dengan halia bentong. Ramai pakar botani berpendapat bahawa halia Tambunan berasal daripada halia Bentong yang dibawa dan ditanam di Sabah serta diberikan nama baru iaitu halia Tambunan.

7. Halia Bara

Halia bara sama seperti halia biasa iaitu mempunyai batang yang tegak dengan rizom tersebar secara mendatar. Besar atau kecil saiz rizom bergantung pada jenis halia. Beza antara halia bara dengan halia biasa ialah saiz pokoknya lebih kecil, rizom agak kemerahan, bau lebih kuat, rasa pedas yang tinggi, daun berbentuk linear tersusun secara berselang, licin dan berwarna hijau cerah ke hijau gelap. Secara keseluruhan, sifat halia bara sama seperti halia biasa kecuali saiz, warna rizom, dan bunga serta baunya yang agak kuat. Halia bara juga kadang-kadang dipanggil dengan nama halia merah, halia udang atau di Indonesia dipanggil Halia Emprit. Halia bara ini digunakan didalam perubatan dan juga kecantikan. Halia Bara mempunyai kandungan nilai perubatan yang tinggi serta mempunyai pasaran bagi segmen pharmaseutikal dan industri pemakanan.

Antara khasiat halia bara adalah seperti berikut: 

• Mengeluarkan angin dari dalam tubuh
• Menghangatkan badan.
• Melancarkan penghadaman.
• Merawat resdung.
• Melegakan demam.
• Mengurangkan sengal-sengal otot.
• Rawatan selepas bersalin.
• Merawat kesan gatal gigitan serangga.
• Mampu meningkatkan tenaga batin lelaki.
• Menghilangkan tompok panau atau kurap.

Harress
Latest posts by Harress (see all)

About Harress

Senior Editor myagriDotComDotMy yang serius sewaktu berkebun.
This entry was posted in Fertigasi, Halia, Halia Fertigasi, Herba and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply