Cara Pemprosesan Tempe
Tempe adalah makanan yang boleh dimasak pelbagai cara mengikut citarasa masing-masing. Kebiasaannya, tempe dimasak sebagai sambal goreng tempe dan dimakan bersama nasi panas. Tempe juga biasa dimakan bersama nasi ambeng oleh masyarakat Johor. Bahkan di Malaysia, tempe popular di Johor dan kebanyakannya produk tempe datang dari negeri selatan tanah air tersebut.
Apa itu tempe?
Tempe adalah makanan yang dibuat dari kacang soya yang difermentasikan. Fermentasi tempe adalah dengan menggunakan ragi tempe. Ragi tempe tersebut boleh didapati di kedai-kedai penghasilan tempe.
Pemprosesan Tempe
Artikel kali ini saya akan menceritakan cara pemprosesan tempe secara ringkas. Saya juga akan menyenaraikan bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasilkan tempe. Jadi anda boleh menyalin senarai barang-barang yang perlu dibeli untuk membuat tempe dan segera ke pasar raya berdekatan untuk membeli barang-barang tersebut.
Berikut merupakan bahan-bahan keperluan untuk menghasilkan tempe;
1. Kacang soya (sebaiknya dibuang kulitnya terus)
2. Ragi tempe
3. Pembungkus tempe terbahagi kepada dua;
a) daun pisang
b) surat khabar
Apabila semua bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasilkan tempe sudah lengkap, maka anda telah bersedia untuk menghasilkan tempe. Perlu di ingatkan pemprosesan tempe ini perlu dilakukan dalam persekitaran yang bersih samaada untuk dimakan secara persendirian mahupun tujuan komersial.
Langkah-langkah Penghasilan Tempe
Apa tunggu lagi, jom ikuti langkah-langkah membuat tempe ini supaya tengah hari nanti anda boleh makan tempe bersama nasi panas.
1. Membersih
Proses yang pertama dan wajib dilakukan ialah membersihkan kacang soya. Pastikan sebarang kotoran mahupun benda asing seperti kacang dal dibuang. Sebaiknya anda basuh kacang soya ini sebanyak 3 kali. Hal ini kerana jika tempe yang digunakan adalah bersih dan tidak bercampur dengan benda asing akan menghasilkan tempe yang berkualiti. Jika terdapat kotoran, ia akan mempengaruhi kualiti tempe yang dihasilkan. Pilihan di tangan anda
2. Merendam
Seterusnya rendam kacang soya di dalam baldi ataupun besen. Rendam hingga dua malam dan biarkan ia mengembang. Ramas kacang soya tersebut supaya senang kulitnya tertanggal.
- Membasuh
Basuh kacang direndam sekali lagi sehingga bersih. Buang kulit kacang soya yang tertanggal. Pastikan kacang soya bersih dari kulit dan benda asing.
- Merebus
Terdapat dua pilihan. Jika anda merebus di atas dapur kayu, anda perlu membiarkannya selama 2 jam.
Namun, jika anda menggunakan dapur gas, anda hanya merebus hanya selama 45 minit hingga 1 jam sahaja.
Zaman yang moden ini saya percaya majoriti menggunakan dapur gas. Jadi lebih singkat masa yang diperlukan untuk merebus kacang soya, lagi cepat anda dapat menikmati tempe tersebut.
5. Pengeringan
Setelah selesai direbus, kacang soya tersebut sedia untuk dikeringkan. Cara mudah, anda hamparkan sehelai kain yang bersih di permukaan yang rata. Toskan kacang soya anda dahulu kemudian tuang kacang soya ke atas kain yang bersih tadi dan ratakan. Anda boleh menggunakan kipas angin jika mahu mempercepatkan lagi proses pengeringan. Balik-balikkan kcang soya supaya ia cepat kering.
Setelah ianya kering, letakkan kacang soya ke dalam dulang yang di alas dengan kertas minyak.
- Gaul
Taburkan ragi tempe sebanyak 1 sudu besar ke atas kacang soya. Gaulkan sehingga rata pada semua kacang soya yang ada.
- Pembungkusan
Kacang soya sedia untuk dibungkuskan mengikut sukatan yang dimahukan. Untuk lapisan pertama, balut dengan daun pisang dan seterusnya balut ia dengan surat khabar.
Ini merupakan rupa tempe yang siap dibungkus
- Biarkan pada suhu bilik
Tempe yang telah dibungkus dibiarkan ditempat yang kering pada suhu bilik selama
48 jam. Dalam masa 48 jam tersebut, sejenis kulat putih akan tumbuh.
Pastinya hidangan kali ini lebih enak kerana tempe tersebut dihasilkan oleh anda sendiri. Selamat membuat tempe!
- Mulakan Projek Pertanian Musim Covid - May 27, 2021
- Apakah itu Baja Fertigasi? - January 14, 2021
- SOP Tanaman Integrasi Fertigasi - September 29, 2020