Pokok gajus dipercayai berasal dari Brazil telah diperkenalkan di India pada abad ke 16 dan seterusnya meluas ke negara subtropika dan tropika termasuk di negara ini. Pokok gajus banyak ditanam di kawasan pantai timur Semenanjung terutama di negeri Terengganu, Pahang dan Kelantan.
Gajus tergolong di dalam keluarga Anacardiaceae dan nama saintifiknya adalah Anacardium occidentale. Pokok gajus biasanya mula berbuah setelah berumur tiga tahun. Ia mula berbunga pada bulan Februari hingga April dan berbuah pada bulan Mei hingga Julai. Pokok gajus dijangka produktif selama 15 hingga 20 tahun.
Buah gajus boleh dimakan segar mahupun dijadikan sebagai sebahagian inti kerabu atau diproses menjadi cuka. Biji gajus yang digoreng, dipanggang dan dimasinkan sangat popular sebagai makanan ringan. Biji gajus panggang juga biasa didapati di dalam aiskrim, biskut dan kek malahan di dalam masakan cina dan siam. Pucuk gajus sangat digemari sebagai ulam di kalangan masyarakat di negara ini yang dipercayai dapat mengurangkan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan menyembuhkan ulser dalam mulut.
Pembiakan pokok gajus adalah dengan menggunakan kaedah cantuman matatunas dan semaian bijibenih. Kaedah cantuman matatunas memerlukan pokok penanti berumur tiga hingga tujuh bulan, ranting matatunas dari pokok yang diketahui baik bakanya, pisau cantuman dan pembalut lutsinar. Teknik mencantum yang betul dapat menentukan daun baru tumbuh di matatunas yang telah dicantum.
Bagi pembiakan secara semaian bijibenih pula, biji gajus dari pokok yang baik bakanya dijemur dua hingga tiga hari sebelum ditanam di dalam petak semaian yang mengandungi pasir sungai. Apabila dua hingga tiga helai daun mulai tumbuh, anak pokok dipindahkan ke dalam polibeg.
Setelah cantuman matatunas dan semaian bijibenih yang dibiak telah hidup dengan baiknya, ia perlu diberikan naungan dan penjagaan yang sempurna selama lapan hingga 12 bulan sebelum sesuai ditanam di kebun. Pokok Gajus lazimnya tidak memerlukan penjagaan yang rumit untuk pertumbuhan. Bagi tanaman gajus, adalah digalakan penanamann selingan dengan tanaman kontan seperti pisang, kacang tanah, sayur-sayuran, jagung dan sebagainya untuk menambah pendapatan sementara pokok gajus membesar.
Teknik cantasan pembentukan pokok gajus tidak sekata kerana bentuk percabangan adalah tidak seragam. Buang mana-mana dahan yang kurang sesuai, berpenyakit dan tidak subur. Pembajaan dan kawalan musuh dan perosak dijalankan bersama penjagaan tanaman selingan. Bagi tanaman gajus di kawasan tanah Bris, ia memerlukan pembajaan tambahan dengan baja organik untuk meningkatkan kesuburan kerana tanah bris sangat kurang mengandungi baja organik. Pokok gajus agak tahan kepada keadaan kemarau atau hujan berlebihan jika telah matang.
Untuk peralatan dan input pertanian boleh cuba lihat di kedai online MYAGRI CONSULTING
Manakala untuk kursus pertanian secara online boleh layari STARTUP MYAGRI
- Mulakan Projek Pertanian Musim Covid - May 27, 2021
- Apakah itu Baja Fertigasi? - January 14, 2021
- SOP Tanaman Integrasi Fertigasi - September 29, 2020