TERNAKAN IKAN KELI

Ikan keli boleh diternak dalam takungan seperti kolam, tangki gentian kaca (fibre glass), tangki simen dan tangki kanvas. Ternakan menggunakan sistem kanvas merupakan satu inovasi baru untuk bidang akuakultur dan telah dimulakan sejak 2006. Ternakan dijalankan dalam set ternakan dengan bingkai berukuran 4.5m x 1.2m x 1m dan diliputi dengan kanvas yang berkualiti tinggi dan tahan kepada perubahan cuaca. Kedalaman air dalam takungan kanvas adalah 0.4m. Benih ikan keli bersaiz 3 inci atau 10gm ke atas dilepaskan dengan kadar pelepasan 129ekor/m2. Ikan-ikan ini diberi makan dengan makanan rumusan bagi menjamin kualiti ikan yang diternak dan menjaga tempoh guna sistem tersebut. Tempoh ternakan ikan keli ini adalah selama 3 bulan untuk mencapai saiz pasaran (6ekor/kg).

Benih – kriteria benih berkualiti
1. Saiz sama
2. Aktif
3. Tiada kecacatan rupa bentuk
4. Tidak mengasingkan diri
5. Warna biasa

Sebelum pelepasan benih
1. Pastikan mutu air sesuai
2. Tiada musuh dalam kolam (pemangsa)
3. Pemeriksaan benih
4. Betul ikan keli
5. Bilangan seperti dikehendaki
6. Benih sihat

Tempoh ternakan pengasingan ikan keli
Setelah benih di masukkan selepas 10 hingga 20 hari ikan perlu diasingkan mengikut saiz. Setiap saiz hendaklah dimasukkan ke dalam kolam yang sama mengikut kadar pelepasan untuk ternakan. Contohnya tangki bersaiz 4.5m x 1.2m -700 ekor ikan bersaiz 6 inci. Pengasingan ikan akan diteruskan ketika hari ke 40 dan 60. Sekiranya tidak banyak perbezaan saiz, ikan tidak perlu diasingkan. Biasanya ikan bersaiz 3 inci ke atas perbezaan saiz tidak begitu ketara. Ikan akan diasingkan sekali sahaja setelah ikan mencapai tempoh ternakan sebulan. Pengasingan ikan yang yang terlalu kerap tidak sesuai kerana akan menganggu tumbesaran akibat tekanan.

Jenis-jenis makanan.
1. Makanan semulajadi.
Merupakan makanan asasi seperti plankton yg terdiri dari fitoplankton dan zooplankton. Makanan ini penting bagi benih ikan diperingkat asuhan. Dihasilkan melalui ternakan makanan hidup. Antara makanan hidup yang mudah dihasilkan adalah seperti berikut:
a. Moina. F. Chorella.
b. Rotifer. G. Infusoria.
c. Cladocera.
d. Daphnia.
e. Pelbagai jenis cacing

2. Makanan tambahan.
Terdiri dari bahan-bahan dari alam semulajadi dan sisa pertanian.
Terdiri dari :

a. Daun tumbuhan
b. Daun ubi ,kangkong,pisang, sisa sayuran,
c. Rumput napier,rumput guinea.
d. Bijirin (dedak padi, dedak gandum, jagung)
e. Ikan baja
f. Lain-lain (hampas kacang soya,hampas kelapa,hampas kacang tanah, kepala ikan bilis)

3. Makanan rumusan(pelet)
Merupakan makanan yang lengkap dan seimbang. Terdiri dari campuran karbohiderat, protein, lemak, mineral dan vitamin.

Sumber bahan adalah seperti berikut :

• Sumber protein
-Fish meal
-Hampas kacang soya
-Hampas kacang tanah

• Sumber karbohidrat
-Dedak padi
-Dedak gandum
-Dedak barli

• Sumber lipid
-Minyak ikan
-Makanan rumusan biasanya dalam bentuk basah & kering
-Makanan rumusan kering dipanggil pelet
-Pelet digemari oleh penternak kerana ia mudah didapati di pasaran dan senang disimpan. Pelet timbul lebih digemari oleh penternak kerana mereka boleh beri sedikit demi sedikit sehingga ikan tidak mahu makan lagi.

Makanan rumusan yang terdiri dari pelet starter yang mengandungi 30-32% protein adalah disyorkan dalam ternakan keli dalam tangki dengan kadar pemberian seperti berikut:
Umur ikan dan peratus dari berat badan(%)
a. 1-20 (5%)
b. 21-40 (4%)
c. 41-60 (3%)
d. 61-80 (3%)

Kadar penukaran makanan (fcr) bagi keli adalah 2.0-2.51:1. Ini bermaksud dua hingga 2.5 kilogram pelet diperlukan untuk menghasilkan satu kilogram ikan keli. Anggarkan bilangan ikan yang masih terdapat dalam tangki dan didarabkan berat purata dengan bilangan ikan untuk mendapatkan jumlah berat ikan. Darabkan jumlah berat ikan dengan kadar pemberian makanan untuk mendapatkan jumlah yang perlu diberi sehari bagi 14 hari berikutnya.

Contoh pengiraan:
Katakan purata berat seekor ikan adalah 50gram. Andaikan terdapat 350 ekor ikan dalam tangki. Maka jumlah berat ikan adalah 350 ekor x 50gram = 17.5kg

Katakan kadar pemberian makanan adalah 5%, maka jumlah makanan sehari adalah 5% x 17.5kg = 0.85kg, atau 875gram. Ini bermakna jumlah makanan yang perlu diberi adalah sebanyak 875g, sehari selama 14hari berikutnya.

Selepas 14hari buat lagi persampelan untuk menentukan jumlah makanan yang diperlukan untuk 14 hari berikutnya. Proses ini diulangi sehingga 14 hari sebelum kutipan hasil dijalankan.

Makanan tersebut dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu 437.5gram diberi pada sebelah pagi dan 437.5gram diberi pada sebelah petang pada jam 6.00 ptg. Makanan perlu diberi pada waktu senja kerana pada masa itu ikan keli sedang aktif dan kadar metabolisme adalah tinggi bagi membantu meningkatkan penghadaman.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in IKAN KELI. Bookmark the permalink.

Leave a Reply