SOP Penanaman Timun secara Fertigasi berasaskan Tanah

Peningkatan hasil dan pertumbuhan pada tanaman cili, rockmelon, tomato dan cili sebanyak 2 – 3 kali ganda telah menarik minat petani dan usahawan tani untuk mengaplikasi teknologi moden ini.

Modal permulaan yang tinggi untuk memulakan perusahaan tanaman menggunakan teknologi fertigasi menjadi faktor utama yang menjadi halangan untuk usahawan tani bertukar kepada penanaman secara fertigasi sepenuhnya.

Kaedah penanaman fertigasi berasaskan tanah boleh dijadikan alternatif utama untuk mengatasi masalah kos yang tinggi ini.

Melalui penanaman secara fertigasi berasaskan tanah, usahawan tani dapat meningkatkan prestasi pertumbuhan dan hasil tanaman dengan kos pembajaan yang minimum.

Penanaman timun menggunakan kaedah fertigasi berasaskan tanah telah terbukti berkesan dalam meningkatkan pertumbuhan dan hasil tanaman.

Kaedah penanaman secara fertigasi berasaskan tanah ini sesuai untuk pengusaha yang ingin meningkatkan hasil tanaman, tetapi menghadapi kekangan modal yang terhad.

Berikut kami kongsikan SOP Penanaman Timun secara Fertigasi berasaskan Tanah secara ringkas.

SOP Penanaman Timun secara Fertigasi berasaskan Tanah

1. Penyediaan tanah

Kawasan projek perlu dibersihkan, dibajak dan digemburkan. Saiz batas yang sesuai adalah berukuran 0.5 m lebar dan 20 – 30 cm tinggi. Jarak di antara batas yang disyorkan ialah 2’ manakala jarak di antara tanaman ialah 1.5’ dan disusun sebaris bagi memudahkan kerja pengurusan tanaman. Pengapuran dijalankan 2 minggu sebelum kerja pemindahan anak benih dijalankan. Kadar pengapuran adalah mengikut jenis tanah. Manakala tinja ayam proses digunakan sebagai baja asas dan pokok diberikan baja NPK blue special (12:12:17 + TE) dengan selang masa 2 minggu.

2. Pemasangan sistem pengairan

Sistem pengairan yang digunakan adalah daripada jenis pita penipis atau drip tape. Pita penitis akan diletakkan di atas batas dengan setiap pokok akan mendapat satu lubang saluran air nutrien.

3. Membuat sokongan tanaman

Sokongan pada tanaman timun boleh dibuat menggunakan kayu pancang dawai dan jaring nylon. Jaring dipasang secara menegak bagi memboleh sulur atau pucuk tanaman timun memanjat dan menjalar pada jaring nylon secara menegak. Sistem sokongan tanaman seperti ini adalah lebih kos efektif berbanding pembinaan sistem sokongan para.

4. Penyediaan dan pemindahan anak benih

Biji benih timun disemai di dalam dulang semaian dengan menggunakan peat moss sebagai medium semaian. Biji benih akan bercambah dalam masa 2 – 3 hari dan dialihkan ke dalam rumah semaian. Anak benih timun akan dipindahkan ke ladang setelah berusia 7 – 10 hari.

5. Kaedah pembajaan

Bagi tanaman timun, EC yang disyorkan adalah antara 1.8 – 2.4. Selepas selesai kerja memindahkan anak pokok ke batas, anak pokok perlu diberi air kosong. Selepas tempoh 24 jam anak pokok cili padi diberikan larutan baja dengan kepekatan 1.8 EC sehingga berusia 3 minggu. Selepas 3 minggu, kepekatan baja dinaikkan menjadi 2.0 – 2.6 EC sehingga tamat musim penanaman.

6. Kawalan penyakit dan serangga perosak

Penanaman timun menghadapi risiko kerosakan yang tinggi akibat serangan penyakit dan serangga perosak. Walau bagaimanapun, kawalan penyakit dan serangga perosak yang dilakukan secara bersepadu menggunakan racun dan kaedah yang betul dapat meningkatkan kadar kejayaan.

7. Penuaian hasil

Hasil tuaian pertama bagi timun adalah sekitar 3 minggu selepas mengubah anak ke polibeg. Kutipan hasil dilakukan dengan selangan 3 hari bergantung kepada jumlah bilangan polibeg. Prestasi kutipan hasil yang perlu dicapai oleh pengusaha ialah 3 – 6 kg sepokok. Prestasi minimum ini haruslah dicapai bagi memastikan pengusaha mendapat modal pelaburan dalam masa yang singkat. Walau bagaimanapun, hasil timun yang melebihi prestasi minimum ini boleh diperoleh dengan pengurusan tanaman yang betul dan cekap.

Rumusan

Penanaman timun menggunakan sistem fertigasi berasaskan tanah memberi hasil yang tinggi dan pertumbuhan pokok yang baik dengan penambahan kos yang minimum. Sistem fertigasi berasaskan tanah juga dapat meningkatkan keberkesanan penggunaan baja sekali gus meningkatkan pendapatan usahawan tani.

Harress
Latest posts by Harress (see all)

About Harress

Senior Editor myagriDotComDotMy yang serius sewaktu berkebun.
This entry was posted in Fertigasi, Timun, Timun fertigasi and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply