BERAS PERANG

Tidak ramai antara kita yang kenal atau pernah makan beras perang, ini kerana rakyat Malaysia lebih gemar untuk makan beras biasa atau beras putih kerana ianya lebih murah, tahan lama (ketika disimpan) dan mudah didapati di mana mana kedai runcit atau pasaraya. Hanya mereka yang mengamalkan diet seimbang dan pesakit diabetes sahaja yang gemar makan beras perang kerana ianya lebih berkhasiat dan memberikan tenaga kepada tubuh badan. Tenaga yang terhasil dari pemakanan beras perang membuatkan si pemakannya berasa cepat kenyang dan lebih bertenaga. Beras perang merupakan beras yang tidak dikisar atau dikisar separuh dan dianggap sebagai biji bijian semulajadi yang lengkap. Ia mempunyai rasa kekacang, bersifat kenyal dan melekit apabila dimasak tetapi ianya cepat menjadi tengik. Penghasilan beras perang terjadi apabila lapisan paling luar kulit padi diproses, berbeza dengan proses penghasilan beras putih dimana lapisan sekam dan germ dikupas meninggalkan endosperm (butir beras putih) yang mempunyai kanji. Kedua kedua jenis beras mempunyai jumlah kalori, karbohidrat dan protein yang hampir sama tetapi proses penghasilan beras yang berbeza.

Budaya pengamalan beras perang tidak menjadi budaya masyarakat Asia Tenggara terutama Malaysia, Indonesia dan Singapore tetapi masyarakat Timur Tengah menjadikan beras perang dalam masakan nasi biryani, nasi arab dan pelbagai lagi. Ianya akan disajikan dengan masakan rempah kambing atau daging lembu bersama juadah yang lain. Apabila diimbas beberapa puluh tahun yang lalu, beras perang dikaitkan dengan zaman kemiskinan dan kekurangan makanan ketika zaman penjajahan dan peperangan yang melanda Tanah Melayu. Catuan beras oleh pihak penjajah menyebabkan rakyat Malaysia penduduk Tanah Melayu hanya makan apabila perlu sahaja, dan pada ketika itu hanya beras perang dan tumbuh tumbuhan kampung (ubi kayu) sahaja sumber makanan yang ada. Oleh itu, beras perang adalah sinonim dengan zaman kesusahan dan darurat.

LATAR BELAKANG BERAS PERANG

Terdapat nama yang berbeza beza gelaran untuk beras perang mengikut budaya negara masing masing seperti contoh:
• Jepun – dikenali dengan nama genmai
• China – dikenali dengan nama pinyin, caomi(beras kasar)
• Vietnam – dikenali dengan nama gao
• Korea – dikenali dengan nama hyeonmi

Ia juga dikenali dengan nama ‘brown rice’, ‘cargo rice’, ‘loonzain’, ‘hulled rice’ atau ‘unpolished rice’. Beras perang telah diiktiraf sebagai beras terbaik untuk kesihatan tubuh badan manusa kerana kandungan zat gizi manganese, selenium, magnesium dan tryptophan yang terdapat di dalamnya. Analisa daripada makmal kepada 100 gram beras perang mengandungi kandungan nutrisi seperti berikut:

PROSES PENGHASILAN BERAS PERANG

Proses penghasilan beras perang tidak serumit proses penghasilan beras putih. Proses penghasilan beras perang dimulakan dengan butir padi dimasukkan ke dalam mesin pengilingan dan pengelupasan kulit luar atau sekam lalu dibiarkan tanpa mengalami proses pengilatan seperti yang dialami untuk menghasilkan beras putih. Pengelupasan kulit luar padi akan menghasilkan butir beras yang berwarna coklat atau perang. Beras perang yang dihasilkan berbentuk lonjong, panjang atau pendek dan selaput bran yang mengandungi zat makanan dikekalkan lalu dipek atau dibungkus untuk dipasarkan. Beras perang dikatakan sangat berkhasiat dan kaya dengan kandungan nutrisi zat yang tinggi kerana ianya hanya mengalami proses pengelupasan kulit sekam sahaja. Maka kandungan zat atau mineral yang terhilang adalah sedikit.

Manakala bagi penghasilan beras putih, saki baki selaput germ (perang) yang menyeliputi beras akan dikuti menghasilkan endosperm (beras putih) yang dimakan oleh kebanyakkan masyarakat Malaysia. Ianya akan mengalami 2 kali proses pengelupasan dan proses pengilatan dan dikhuatiri zat zat yang terkandung di dalam butir beras akan terhilang dan terbebas.

PANDUAN & TIPS MEMASAK BERAS PERANG

Sebelum memasak beras perang, ianya perlu dicuci dengan air bersih lalu direndam selama 30 minit sebelum dimasak. Tujuan rendaman adalah untuk menjadikan nasi beras perang lebih lembut dan cepat masak. Kemudian, beras tersebut akan dimasak dengan kuantiti air yang lebih banyak berbanding dengan air beras putih biasa. Apabila air telah mulai kering, ini memberikan petunjuk bawa nasi telah separuh masak lalu ditoskan airnya. Bagi membuatkan nasi beras perang ini lebih masak, ianya perlu dikukus bagi membuatkan nasi tersebut lebih lembut. Setelah dikukus, jangan biarkan nasi ditutup dengan penutup terlalu lama kerana wap yang terdapat dipentutup periuk akan membuatkan nasi itu menjadi lebih lembik.

Semasa memasak, gunakan api sederhana supa nasi masak lebih sekata dan melambatkan kehilangan air atau air cepat kering tetapi nasi belum masak sepenuhnya. Kacau nasi yang telah dikukus dengan perlahan supaya tekstur nasi lembut dan masak. Hidangkan ketika panas dengan juadah yang bersesuaian. Juadah nasi dagang yang popular di masyarakat negeri Terengganu juga menggunakan beras perang sebagai beras utama juadah ini. Ianya mempunyai rasa yang sangat sedap dan enak dinikmati bersama gulai ikan tongkol.

MANFAAT & KHASIAT

Beras perang mengandungi kandungan zat mineral yang berguna untuk mengurangkan risiko kanser kolon. Kandungan selenium dan fenol yang terkandung di dalam setiap butir beras perang menjadikan sistem penghadam tubuh manusia lebih baik. Kandungan serat ini membantu kolon menjalankan proses pencernaan lebih efektif dan berkesan. Najis dari proses penyahtinjaan juga lebih lembut dan mengatasi masalah sembelit.

Selain itu, kajian dari para penyelidik mengenai khasiat beras perang mendapati pengambilan beras perang dalam diet boleh mencegah penyakit jantung dan mengurangkan kolestrol dalam badan. Lapisan tisu disekeliling beras mengurangkan tindakan protein Angiotensin II yang bertindak meningkatkan tekanan darah. Kandungan serat dalam beras perang juga akan melarutkan sel sel lemak yang akan menempel di dinding perut, jantung dan hati.

Bagi pesakit dietbetis (kencing manis) yang memakan beras peras, kadar penghadaman karbohidrat menjadi lebih perlahan mengakibatkan pentstabilan kandungan gula dalam darah. Pengeluaran gula dalam darah dikawal oleh kandungan glicemic index yang rendah di dalam beras perang. Walaupun beras perang kaya dengan pelbagai nutrisi berguna kepada kesihatan jantung, mengatasi masalah obesiti dan kadar kandungan gula di dalam darah namun masih ramai masyarakat yang tidak peka mengenai khasiat dan manfaat kesihatan yang terkandung di dalam beras perang. Kempen dari Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai amalan pemakanan sihat dipandang sepi dan ambil sikap tidak peduli.

Kajian daripada pihak Institut Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pada tahun 2005 mengenai amalan pemakanan beras perang bagi rakyat Malaysia pula mendapati hanya 16.3 peratus kaum cina yang mengamalkan pemakanan beras perang dalam diet harian mereka diikuti dengan Kaum India pula sebanyak 15.6 peratus. Namun kaum melayu kurang peka mengenai amalan pemakanan beras perang dimana melalui kajian tersebut hanya 6 peratus kaum melayu yang memakan beras perang.

Harress
Latest posts by Harress (see all)

About Harress

Senior Editor myagriDotComDotMy yang serius sewaktu berkebun.
This entry was posted in Beras perang and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply