KANGAR 14 Mei – Sambutan terhadap mempelam harumanis terus hebat apabila lebih lima tan metrik buah tersebut telah terjual di Singapura sejak awal bulan ini.
Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak berkata, jumlah tersebut dijangka meningkat dengan sasaran sebanyak 12 tan metrik buah berkenaan terjual di negara itu selepas ini.
Katanya, permintaan tersebut adalah berdasarkan sambutan rakyat Singapura yang begitu menyukai buah mempelam tersebut yang hanya terdapat di negeri ini.
“Ramai rakyat Singapura yang menyatakan harumanis mempunyai kelainan tersendiri kerana baunya yang harum, manis selain sedap.
Malah, mereka juga sanggup membelinya dengan harga tinggi antara RM27 hingga RM30 bagi sekilogram.
“Mempelam ini dijual di lapan lokasi strategik di Singapura seperti Agro Bazar Malaysia-Singapura, Pusat Makanan dan Pasar Geylang Serai, Bazar Ramadan, hotel dan Expo Singapura,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Majlis Pelepasan Flag Off Jualan Terus dari Ladang (JTDL) Mempelam Harumanis Perlis ke Singapura di Pejabat FAMA Perlis di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, FAMA bersedia mempromosikan mempelam harumanis secara besar-besaran khususnya bersempena dengan sambutan Ramadan tahun ini.
“Kita bernasib baik kerana musim pengeluaran buah mempelam harumanis pada tahun ini agak panjang sehingga awal bulan Julai.
“Namun, bagi bulan Ramadan ini, FAMA telah bersiap sedia untuk mempromosikan mempelam ini secara agresif dengan hebahan iklan televisyen, berbuka puasa di hotel selain jualan di pasar raya utama di Lembah Klang,” katanya.- UTUSAN ONLINE
© Utusan Melayu (M) Bhd
- Salam Ramadan 1443H / 2022 - April 3, 2022
- Kepentingan Batas Tanaman - January 24, 2022
- Skim Pelaburan untuk Usahawatani - January 16, 2022