Kilang tanaman atau lebih disebut plant factory merupakan fenomena terbaru yang diperkenalkan oleh para penyelidik pertanian di Malaysia. Ianya masih terlalu mentah untuk digunapakai oleh pekebun atau pengusaha tanaman di Malaysia kerana tanah pertanian di Malaysia masih ada berbanding Negara Negara Asia seperti Jepun dan Singapura. Namun, kaedah seperti ini tidak mustahil untuk diaplikasi di negara kita yang semakin hari kekurangan tanah pertanian.
Kilang tanaman adalah sistem pertumbuhan sayur sayuran secara tertutup (didalam bangunan) dimana ianya membantu petani atau pengurus agro untuk mencapai penghasilan sayur sayuran secara berterusan sepanjang tahun. Teknologi terbaru ini menggunakan teknologi kawalan dari segi cahaya, suhu, kelembapan dan kepekatan karbon dioksida. Ianya merupakan kaedah penanaman sayur sayuran di dalam bilik tertutup tanpa melibatkan ruang tanah yang besar menggunakan teknologi sepenuhnya berbanding dengan pertanian secara konvensional. Pengusaha tanaman boleh menghasilkan bekalan sayur sayuran 2 hingga 4 kali pantas berbanding dengan pertanian secara terbuka.
Dicadangkan agar pengusaha tanaman memanfaatkan kawasan gudang atau kilang industri yang telah ditutup akibat dari kegawatan industri perkilangan. Secara kasarnya, sayur sayuran akan ditanam di atas rak rak yang diterangi cahaya lampu. Suhu dan kelembapan serta kepekatan karbon dioksida dikawal oleh pengusaha dengan kehadiran sistem pengaliran udara yang bagus.
OBJEKTIF
Tanah pertanian kini telah diambil oleh pihak pemaju untuk pembinaan rumah dan bangunan pencakar langit. Jika keadaan ini berterusan, bekalan makanan negara pasti akan berkurangan dan kebergantungan negara kepada import makanan dari negara luar pasti bertambah. Pihak kerajaan dengan kerjasama dari pada penyelidik dari dalam dan luar negara telah memperkenalkan kaedah kilang tanaman.
Kilang tanaman diwujudkan bertujuan untuk menjamin keberlangsungan bekalan makanan negara dalam tempoh 5 hingga 8 tahun lagi. Sekaligus, kadar KDNK negara bertambah dan nilai import makanan dari negara luar berkurangan. Sekaligus ianya boleh menyelesaikan masalah kekurangan tanah pertanian. Ianya juga sebagai salah satu agenda amalan pertanian bandar yang baik. Penduduk boleh menikmati sayur sayuran lebih segar dan mendapat udara yang bersih kerana secara sainstifiknya, tumbuh tumbuhan akan membebaskan kandungan oksigen ke udara semasa proses fotosintesis.
KELEBIHAN
Antara kelebihan yang boleh diperoleh daripada pengamalan kilang tanaman ialah sayur sayuran hijau yang dihasilkan lebih segar, organik dan bersih daripada kandungan racun. Sayur sayuran ditanam di dalam bangunan yang tertutup, faktor serangan penyakit boleh dikurangkan dan sekaligus penggunaan racun serangga pada kadar minimum (chemical free agriculture).
Selain dari itu, ia juga boleh mengurangkan kos logistik atau pengangkutan dimana pengusaha tidak lagi akan mengeluh jika tidak dapat membekalkan sayur sayuran ke daerah atau tempat yang jauh dari kebun mereka. Keadaan ekonomi sekarang, kos minyak dan lori semakin meningkat menambahkan beban kepada pengusaha. Jadi kilang tanaman adalah pilihan terbaik kepada pengusaha tanaman. Kos operasi juga boleh dikurangkan kerana tidak perlu ramai pekerja bagi mengendalikan tanaman. Ini kerana, tidak banyak kerja yang perlu dilakukan berbanding pertanian konvensional yang perlu disembur racun 2 minggu sekali.
JENIS TANAMAN & KAEDAH PENANAMAN
Antara Negara yang telah mengamalkan konsep kilang tanaman adalah Negara Jepun dan Singapura. Malah kita ketinggalan jauh kerana Negara Jepun telah memulakan konsep penanaman di dalam bangunan ni kira kira 10 tahun yang lalu.
Di Jepun, tanaman seperti salad, herba, tomato, strawberi dan sayur sayuran hijau telah ditanam menggunakan konsep ini. Menurut sumber dari Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri pada tahun 2009, pihak kerajaan Jepun mengganggarkan peruntukan sebanyak 14.6 bilion yen telah disalurkan bagi mempromosikan dan implimentasi konsep kilang tanaman ini. Kesan dari itu, hasil tanaman mencapai produktiviti yang tinggi pada tahun 2011 sekaligus ianya menambah pendapatan negara.
Menurut data daripada Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Negara Jepun, kilang tanaman ini yang diamalkan disana boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu jenis pencahayaan lampu sepenuhnya (fully artificial light type) dan jenis pencahayaan cahaya matahari (sunlight type). Tanaman yang menggunakan kaedah pengunaan cahaya lampu sepenuhnya akan ditanam pada persekitaran tertutup tanpa pendedahan cahaya matahari. Proses fotosintesis tanaman akan dibantu oleh cahaya mentol sinar UV dan mentol LED yang dipasang berdekatan dengan tanaman. Cahaya lampu ini akan dipasang selama 24 jam tanpa henti. Seterusnya proses fotosintesis tanaman akan berlangsung tanpa henti, sekaligus proses pertumbuhan tanaman bertambah baik dan hasil akan cepat dituai.
Kaedah pencahayaan matahari pula menyebabkan tanaman di dalam rumah hijau bergantung dengan cahaya matahari untuk membesar. Selain itu, lampu kalimantang juga dipasang sebagai alat pembantu pendedahan cahaya kepada tanaman. Kaedah pencahayaan matahari adalah gabungan antara pencahayaan cahaya matahari dan cahaya lampu.
Kedua dua konsep ini boleh diaplikasikan di kawasan gurun yang mempunyai kadar takungan air yang kurang. Konsep tanaman hidroponic diamalkan dimana air daripada tanaman akan dikitar semula. Ulasan daripada Professor Emeritus Dr. Toyoki Kozai daripada University Chiba, Jepun mengenai kilang tanaman yang telah dilaksanakan di Jepun adalah hanya 1 peratus atau kurang daripada nilai tersebut penggunaan air diperlukan untuk proses tumbesaran pokok dilapangan manakalan hanya 2 peratus atau kurang air digunakan di rumah hijau. Air akan diserap oleh akar pokok sebanyak 95 peratus dan tersejat ke daun.
Apabila tanaman kilang disejukkan untuk mengeluarkan haba hasil dari pendedahan cahaya matahari, penyejatan air akan meluap ke persekitaran di hawa dingin dan kemudiannya akan terkitar semula menjadi air kepada tumbuhan. Konsep ini diterima dinegara Timur Tengah dimana mereka mengalami masalah kekurangan air (April 2014, Asian Productivity Organization (APO), Jepun).
Sinar elektrik akan ditukarkan kepada sumber cahaya dan seterusnya menjadi tenaga kimia di dalam tumbuhan. Di lapangan luar, kadar pertukaran tenaga solar ke tenaga kimia sebanyak 0.1% ke 0.2% termasuk kadar kehilangan manakala pada tanaman di kilang tanaman, kadar pertukaran tenaga elektrik ke tenaga kimia dianggar sekitar 11 peratus, tetapi pada realiti hanya maksimum 5% hingga 6% sahaja. Tanaman kilang lebih jimat tenaga jika operasi tanaman berterusan lebih dari 10 tahun (Prof Emeritus, Dr Toyoki Kozai).
Proses pertumbuhan tanaman di dalam rumah hijau menggunakan cahaya matahari pada waktu siang dan lampu akan dipasang pada waktu malam sahaja. Kos elektrik adalah kurang akan tetapi ianya memerlukan bahan api lain untuk memanaskan rumah hijau. Dalam erti kata lain, ianya menjimatkan elektrik dan meminimkan penggunaan alat mengatur suhu udara seterusnya ianya lebih mesra alam.
CONTOH KILANG TANAMAN, SYARIKAT SPREAD CO. LTD
Syarikat Spread Co. Ltd adalah salah satu syarikat di Jepun yang ditubuhkan pada tahun 2006 bertujuan untuk mencipta inovasi yang akhirnya mengubah masa bergantung kepada teknologi pertanian dan kemahiran seterusnya dapat diwariskan kepada generasi akan datang. Syarikat ini telah mengamalkan konsep kilang tanaman dan pada tahun 2007 sebanyak 21 000 sayur salad dalam masa sehari dan pada masa itu ianya merupakan satu kejayaan terbesar dalam penghasilan salad di dunia.
Pada tahun 2013, Syarikat Spread Co.Ltd telah memasarkan ke 2100 supermarket seluruh dunia produk salad yang dikenali sebagai “Vegetus” (Sinji Inada, CEO Spread Co.Ltd). berikut merupakan maklumat mengenai pembinaan kilang tanaman Spread Co.Ltd:
CABARAN
Konsep ini memerlukan pelaburan kos tenaga dan kos kemudahan pemasangan peralatan yang tinggi. Kilang atau juga yang akan digunakan perlu diubah suai dan dilengkapi dengan alat penghawa dingin serta kipas pengaliran udara bagi mewujudkan persekitaran yang bersih dan sesuai untuk pertanian. Suhu dan kadar kelembapan juga perlu dititik beratkan supaya tanaman tidak rosak atau mati dan pengusaha dapat hasil yang memberangsangkan. Setakat ini hanya tanaman hijau (salad, tomato, herba) dan tanaman hawa sejuk (strawberry) ahaja yang sesuai untuk ditanam di kilang tanaman ini. Sayuran seperti jagung, ubi kayu, cili, timun masih dalam penyelidikan.
RUMUSAN
Konsep kilang tanaman ini adalah konsep terbaru dalam industri pertanian di Malaysia dimana ianya akan beralih dari pertanian berasaskan tanah terbuka kepada pertanian di dalam bangunan. Kecanggihan teknologi menawarkan pengusaha untuk melabur dan menceburi bidang pertanian alaf baru yang lebih bersih dari racun serangga dan lebih segar. Hasil produktiviti juga tiggi selain tempoh tuaian yang singkat.
Akan tetapi, sesuatu teknologi memerlukan pelaburan kewangan yang banyak dimana kos untuk melaksanakan kilang tanaman ini sangat tinggi. Pihak kerajaan perlu menyokong usaha ini dan menyediakan test bed (kawasan percubaan) kepada pengusaha bagi menjayakan program ini. Ini merupakan satu inovasi yang menjamin bekalan makanan Negara berterusan.
- Salam Ramadan 1443H / 2022 - April 3, 2022
- Kepentingan Batas Tanaman - January 24, 2022
- Skim Pelaburan untuk Usahawatani - January 16, 2022