KUIH MUIH TRADISIONAL SEJUK BEKU

Terdapat banyak produk di pasaran sama ada di hypermarket, pasaraya kecil, kedai dan gerai makanan yang menjual produk sejuk beku seperti nugget, kentang (fries), roti canai, kuih muih tradisional (karipap, samosa, pau, popia dan sebagainya) serta pastry (pizza, muffin dan lain lain). Harga yang ditawarkan juga berpatutan sesuai dengan ekonomi pengguna masa kini. Secara tidak langsung, ianya sebagai penyelamat kepada suri rumah dan para ibu yang sibuk menguruskan rumah tangga dan keluarga.

Pada asasnya, produk sejuk beku sangat mudah untuk diproses cuma ianya memelukan sedikit ilmu, kemahiran dan kesungguhan untuk membuatnya. Ianya juga boleh dijadikan sebagai ilmu asas kepada semua untuk menjadi usahawan produk sejuk beku. Keperluan utama dalam penghasilan produk sejuk beku adalah produk (kuih atau juadah) yang sedap, peti ais dingin (freezer dengan suhu diantara 00C hingga 200C dan plastik pembungkusan yang sesuai.

Disini diterangkan tips untuk membuat beberapa kuih muih produk sejuk beku yang boleh dilakukan oleh para isteri dan ibu di rumah.

KUIH KARIPAP

Kuih karipap merupakan kuih tradisional popular bagi rakyat Malaysia dan beberapa negara nusantara seperti Indonesia, Singapura, Borneo dan Thailand. Kuih jenis bergoreng ini biasanya berinitikan kentang atau keledek di campur dengan daging atau ayam, akan tetapi kuih karipap juga mengalami fasa revolusi apabila diperkenalkan beberapa jenis karipap berisikan sardin dan cheese. Walaupun ianya mengalami revolusi, tetapi rasa dan keenakan karipap asli masih menjadi pilihan rakyat Malaysia. Kebiasaanya karipap akan berbentuk hemisfera dengan bahagian bucunya dikelim supaya inti didalam nya tidak terkeluar.

Selain karipap biasa, ada juga karipap pusing yang lebih ranggup apabila digoreng. Karipap ini biasanya dimakan pada waktu pagi atau waktu petang bersama secawan kopi. Ianya juga sebagai suatu menu wajib dan mudah disediakan terutama pada majlis seperti mesyuarat, kenduri atau apa juga majlis.

Berikut merupakan cara ringkas untuk menghasilkan kuih karipap sejuk beku:

1. Sediakan bahan pastri bagi membuat bahagian kulit karipap iaitu
½ kg tepung gandum, ½ cawan mentega, 1 cawan minyak masak, garam dan 400ml air

Tepung diuli bersama mentega dan dan minyak masak yang dipanaskan. Garam dan air dituang ke dalam adunan secara sedikit sedikit dan tepung di uli sehingga menjadi doh yang lembut dan mudah untuk dicanai. Doh direhatkan dalam 10 minit sebelum dibentuk menjadi karipap.

2. Bahan untuk inti karipap adalah seperti berikut:

7 biji kentang, 8-10 ulas bawang putih, 2 biji bawang putih dipotong dadu, 3-4 sudu besar serbuk kari daging, perencah (ayam ,daging, udang, ikan bilis dan sebagainya), daun sup, garam dan gula

Semua bahan diatas ditumis sehingga naik bau sebelum dicampurkan bersama kentang yang telah dipotong dadu. Masakkan inti tersebut sehingga kentang lembut dan dibiarkan sejuk

3. Karipap dibentuk dengan menggelek kulit pastry dan diisi dengan inti yang dibuat. Bahagian bucu dikelim menggunakan acuan atau guna jari.

4. Susun karipap tersebut di dalam bekas atau talam dan jangan ditindih kerana dikhuatiri kulit pastry akan melekat antara satu sama lain

5. Terdapat 2 kaedah penyimpanan bagi menghasilkan karipap sejuk beku iaitu goreng separuh masak atau terus disejukkan (defrost).

i. Kaedah goreng separuh masak dilakukan dengan menggoreng karipap tersebut separuh masak supaya bahagian kulit pastry tersebut sedikit keras dan tidak melekat antara satu sama lain. Kuih tersebut disejat minyak dan disejukkan sebelum disusun di dalam plastik atau bekas yang sesuai dan terus disimpan di dalam peti ais beku (freezer).

Sebelum dimasak, karipap perlu dikeluarkan 10 minit awal bagi mencairkan dan membuang rasa sejuk yang menyeliputi kuih karipap tersebut.

ii. Kaedah terus sejukbeku pula boleh dilakukan dengan memasukkan terus karipap yangtelah dikelim ke dalam freezer. Karipap tersebut terus dibekukan sehingga kulitnya sedikit keras dan kelihatan kristal ais selama sejam. Setelah itu, barulah dikeluarkan dan dibungkus dengan plastik yang sesuai.

Setelah dibungkus, masukkan semula ke dalam freezer dan jangan biarkan karipap tersebut mencair. Ia akan merosakkan semula karipap yang telah diproses.

6. Ada juga sesetengah pengusaha yang membakar sedikit karipap yang telah dikelim dalam ketuhar atau oven bagi mengeringkan dan menyejat kulit pastry karipap tersebut sebelum dimasukkan ke dalam plastik atau bekas untuk difrozen kan.

7. Karipap yang telah digoreng separuh masak, dibekukan atau dibakar boleh disusun secara berlapis-lapis sebelum disejukkan semula.

KUIH SAMOSA DAN POPIA

Kuih samosa adalah juga produk sejuk beku yang menjadi pilihan rakyat Malaysia kerana ianya mudah untuk disediakan. Kuih samosa adalah makanan yang popular di negara Asia Barat seperti Pakistan, India dan Sri Lanka. Kuih berbentuk segitiga dengan berkulit nipis serta mempunyai inti kentang.

Pada asasnya ianya sama seperti kuih popia tetapi kebiasaannya popia diisi dengan sayur sayuran seperti taugeh, kobis dan lobak dan popia dilipat secara memanjang.

Popia biasanya dimakan bersama sos cili manakala samosa boleh dimakan begitu sahaja.

Cara untuk membuat samosa dan popia sejuk beku ialah dengan menggoreng separuh masak kedua kedua produk ini sebelum dimasukkan kedalam bekas atau plastik pembungkusan yang sesuai.minyak yang terdapat di kuih tersebut perlu disejatkan sedikit sebelum dibungkus. Kemudian, barulah dimasukkan ke dalam peti sejuk beku.

KUIH CUCUR BADAK, KERIA DAN DONUT

Kuih cucur badak adalah salah satu kuih tradisional masyarkat melayu akan tetapi sangat digemari pelbagai kaum di Malaysia. Kuih yang diperbuat daripada keledek dan berintikan kelapa yang telah ditumis bersama udang kering akan dibentuk bulat2 atau leper, ada juga seperti bentuk bola golf. Rasanya enak dan harum baunya setelah digoreng.

Kuih keria atau kuih gelang juga sejenis kuih yang diperbuat daripada keledek, adunan yang sama seperti membuat kuih cucur badak. Namun begitu, kuih keria akan disira atau disalut dengan gula yang dicairkan. Kuih ini sangat digemari oleh kanak kanak. Terkini, kuih keria antarabangsa dari Melaka menjadi tumpuan pelanggan kerana ianya lebih enak dan sedap kerana disalut dengan gula Melaka.

Manakala kuih donut pula sama bentuk seperti kuih keria namun ianya dihasilkan dari tepung gandum dan yis sebagai bahan penaik. Ianya lebih gebu dan mempunyai rongga di dalam bahagian dalam doh. Donut pula akan disalut atau disira dengan gula halus.

Bagi cara untuk memproses kuih cucur badak, keria dan donut adalah sama seperti kaedah sejuk beku kuih karipap. Pastikan kulit cucur badak, keria dan donut, betul-betul kering dan tidak melekat antara satu sama lain untuk memudahkan proses pembungkusan sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk beku.
Bagi kuih keria dan donut sejuk beku, selepas digoreng barulah disira dengan gula. Kedua dua kuih ini tidak perlu disira sebelum disejukbeku.

Pelbagai jenis kuih tradisional boleh disejukbeku kan. Ini adalah salah satu cara untuk memelihara nilai tradisi untuk tatapan generasi anak cucu kita. Selain itu, ianya sebagai satu platform untuk semua menambah pendapatan dengan jualan produk sejuk beku.

Selain rasa yang sedap, pengusaha perlu menambah pelbagai nilai dalam produk sejuk beku anda seperti plastik pembungkusan yang menarik, siijil halal, tahan lama (ada tarikh luput), harga yang berpatutan serta promosi yang baik kerana dewasa ini terdapat pelbagai jenis produk sejuk beku yang dijual dipasaran. Apakah nilai istimewa dalam produk sejuk beku kita yang dapat menarik perhatian pengguna untuk mencuba, merasai dan membeli produk kita.

Harress
Latest posts by Harress (see all)

About Harress

Senior Editor myagriDotComDotMy yang serius sewaktu berkebun.
This entry was posted in Pemprosesan Makanan and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply